"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah keras." Ibrahim (7)
Friday, October 22, 2010
Syukur
Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, Allah beri saya hidup lagi hari ini dengan sejuta nikmat. Syukur.
Rutinnya, pagi saya akan bangun mandi pada pukul 6. Saya sedang cuba sebenarnya nak bangun lebih awal, jadi saya boleh solat sunat sebelum masuk waktu Subuh. Tapi, buat masa ni masih belum berjaya. Saya bukan nak buat alasan tapi sebabnya mungkin tidur saya kadang-kadang terganggu juga kerana Rayyan masih menyusu badan. Syukur Allah beri susu saya masih ada hingga hari ini, pada masa umur Rayyan sudah masuk 1 tahun 8 bulan.
Selepas solat subuh, saya akan bangunkan anak perempuan kesayangan saya, Keena, untuk bersiap ke sekolah. Saya sedang cuba sebenarnya nak bangunkan Keena lebih awal supaya dia boleh solat Subuh dengan saya, tapi jauh di sudut hati, kesian pula nak bangunkan dia awal-awal pagi. Jadi percubaan saya yang ini pun masih belum berjaya. Biasanya pada waktu ini, anak lelaki kesayangan saya, Rayyan, masih nyenyak tidur.
Selepas saya mandi dan siapkan Keena, kami sarapan bersama-sama dengan suami saya sekali. Biasanya sarapan pagi yang ringkas-ringkas sahaja, roti dengan jem atau 'western style' - scramble egg, baked beans & sausages. Cuma kadang-kadang kalau saya rajin sikit, saya akan buat mee goreng atau bihun goreng. Bab sarapan ni, sebenarnya saya sedang cuba nak disiplinkan balik diri saya untuk ambil Herbalife. Masalahnya, (alasan lagi...) Keena selalu ajak saya breakfast sama-sama dia sebelum dia pergi sekolah. Kesian pula kalau tak turuti permintaan dia. Jadinya, percubaan yang ini pun belum berjaya lagi nampaknya.
Biasanya, van sekolah Keena akan sampai pukul 7.40 pagi. Selepas hantar Keena naik van, saya akan 'hantar' suami pula ke pejabat. Maksud 'hantar' - salam dan cium tangan suami. Suami akan balas dengan cium tangan saya juga dan dua kucupan di pipi saya, satu kanan dan satu kiri. Wah, macam sudah terlebih kongsi. :)
Seterusnya, giliran saya pula ke pejabat. Buat masa ini, makcik saya tumpang saya sebab kebetulan kami satu pejabat. Tiap-tiap pagi ayah saya akan singgahkan makcik saya ni di rumah saya. Biasanya kami keluar dari rumah pukul 8 pagi. Sebelum sampai pejabat, kami biasa singgah minum di kedai-kedai di Bandar Baru Bangi. Kedai yang selalunya jadi pilihan ialah Restoran Asam Pedas atau D Limau Nipis. Saya paling suka Restoran Asam Pedas sebab ada banyak pilihan makanan! Jadi sekarang semua tahu kenapa sarapan pagi saya di rumah tadi ringkas-ringkas sahaja! :D
Saya dan makcik biasanya antara yang terawal sampai di pejabat. Waktu pejabat kami ialah dari 9.30 pagi hingga 5.30 petang. Biasanya, sampai sahaja di pejabat lebih kurang pukul 8.30 pagi, saya akan periksa emel dahulu, dan buka blogger sebab saya suka sangat baca blog-blog yang saya sedang ikut. Jujurnya, mula dengan membaca blog lah yang membuka pintu hati saya untuk membuat perubahan dalam hidup saya. Blog pertama yang saya ikut ialah blog Ummu Husna atau Ustazah Noraslina Jusin. Memang best! Saya masih ikut blog itu sampai hari ini. Satu lagi blog yang saya mula-mula ikut ialah blog Kak Cik iaitu Keluargaku Sayang. Pun best juga! Selepas beberapa lama, saya mula ikut blog-blog lain untuk tujuan menambah ilmu dan pengalaman. Pada masa yang sama, saya ber'FB' juga, untuk ikut perkembangan kawan-kawan. Pukul 9 pagi biasanya saya solat Sunat Dhuha dan baca Al Ma'thurat sebelum mula kerja. Alhamdulillah, saya cuba konsisten dengan ini setiap pagi. Semoga Allah beri saya kekuatan.
Kerja saya - Pastikan Jabatan Akaun di syarikat ini berjalan lancar. Alhamdulillah, setelah 6 tahun bekerja di sini, saya sekarang bergelar 'Pengurus Akaun' syarikat. Memang namanya nampak gah, tetapi hanya Allah yang tahu betapa kerdilnya saya rasakan diri saya untuk pegang jawatan itu. Ilmu bukannya banyak, pengalaman pun tak seberapa, tapi diberi kepercayaan sebegitu tinggi. Mungkin ada yang kata apalah sangat jawatan 'Pengurus Akaun' tu? Tapi bagi saya, gelaran itu cukup tinggi untuk diri saya yang tak seberapa. Apa pun, saya bersyukur dengan nikmat Allah, mungkin ada yang Allah mahu saya lakukan di syarikat ini. Semoga Allah redha dan beri petunjuk pada saya.
'Lunch Time' kami mula pukul 1 hingga 2 petang. Biasanya saya akan keluar dengan sepupu merangkap teman baik saya untuk makan tengahari. Restoran yang jadi pilihan pun di sekitar Bandar Baru Bangi juga, Restoran Asam Pedas atau Nasi Ulam. Bab makan tengahari ni pun sebenarnya saya sedang cuba nak disiplinkan diri hanya dengan Herbalife. Tapi masih belum berjaya. Wah, banyak juga percubaan-percubaan saya yang belum berjaya! Kena usaha lebih kuat ni!
Balik dari 'lunch', solat Zohor dulu sebelum sambung kerja lagi. Lagi satu yang buat saya sangat bersyukur kerja di sini ialah tiada halangan untuk bersolat. Maksudnya tiada had masa yang ditetapkan untuk kita solat. Kita boleh solat selama mana yang kita suka, tapi pandai-pandailah, jangan sampai kerja terbengkalai pula. Saya sendiri boleh solat dengan tenang di dalam bilik saya, Alhamdulillah. Syukur bos bagi bilik! :) Masuk sahaja waktu Asar, saya berhenti bekerja dan solat dahulu. Biasanya, kalau tidak terlalu sibuk, saya akan luangkan sedikit masa untuk Al Ma'thurat selepas solat Asar. Alhamdulillah, saya cuba juga konsisten dengan ini setiap petang. Semoga Allah beri saya kekuatan.
5.30 petang - Masa yang ditunggu-tunggu, masa balik! Biasanya saya terus balik ke rumah, tapi hari ini ada urusan masukkan duit kepada adik saya yang sedang belajar di KLMU. Selepas masukkan duit untuk dia, saya sempat sms kepadanya supaya gunakan duit tu dengan bijak. Sempat juga selitkan pesanan supaya tidak belanja untuk rokok yang hanya akan merosakkan. Saya pesan lagi, supaya berjimat cermat. Semoga pesan saya terkesan dihatinya. :)
Hari ini saya sampai di rumah agak lewat kerana singgah membeli barang-barang dapur di Billion. Tapi, Alhamdulillah, masih sempat masak. Walaupun saya ada pembantu, saya akan pastikan saya yang memasak untuk makan malam. Bukannya masakan pembantu saya tu tak sedap, tapi saya lebih selesa menyediakan makanan sendiri untuk suami dan anak-anak. Cukuplah anak-anak kesayangan saya makan masakan pembantu pada tengahari nya, saya mahu juga anak-anak dan suami makan air tangan saya. Saya cuma minta pembantu saya sediakan sahaja bahan-bahannya. Menu hari ini - Sup Ayam & Kentang, Sambal Kacang & Ikan Bilis, Bayam Goreng & Tempe Goreng. Alhamdulillah, banyaknya rezeki Allah bagi.
Masa sedang masak, anak-anak duduk di lantai dapur sambil mengunyah. Kelakar juga tengok gelagat mereka menunggu saya masak. Mungkin kedua-duanya lapar, jadi sementara menunggu saya masak, mereka mengunyah kacang dan honey star... Kesian... :)
Tengoklah badan Rayyan, habis putih kena lumur dengan losyen. Sudah seminggu Rayyan kena penyakit kaki tangan dan mulut. Paling teruk, kakinya. Kesian dia. Tapi Alhamdulillah, minggu ini dia dah beransur baik.
Selesai masak, saya segera mandi. Sudah masuk waktu maghrib. Saya ajak Keena solat Maghrib berjemaah. Suami masih belum pulang. Biasanya suami sampai di rumah pukul 8 malam atau lebih lewat. Keena bertanya juga, kenapa ayah balik lambat? Saya jawab, ayah kerja, cari duit lebih untuk kita semua. Ya Allah, semoga Kau berkati rezeki yang Kau berikan kepada kami, Amin. Selepas solat Maghrib, saya solat sunat seperti biasa. Yang menggembirakan saya hari ini, Keena pun ikut solat sunat. Biasanya dia tak mahu, penat, katanya. Hari ini, syukur, dia buat solat sunat Maghrib, Alhamdulillah. Selepas itu, saya ajak dia baca Yaasin, syukur lagi dia mahu mengikut walaupun mengeluh dia tidak tahu baca Yaasin. Saya jawab, tak apa, ikut ibu, ibu baca perlahan-lahan. Syukur, kami berjaya baca Yaasin bersama, Alhamdulillah. Semasa baca doa selesai Yaasin, suami pulang. Saya dan Keena terus solat Isya' pula berjemaah.
Kami makan malam bersama pada pukul 8.30 malam. Agak lambat juga. Rayyan biasanya sudah makan dulu, disuapkan pembantu saya. Selesai makan, kami duduk menonton televisyen bersama, sambil berbual-bual sesama kami. Keena ceritakan harinya di sekolah dan di rumah. Rayyan minta disusukan.
Saya gembira dan teruja juga hari ini sebab buku yang saya pesan sudah sampai. Saya beli buku Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, Jilid 1 & 2 daripada Pustaka Iman. Rasa berkobar-kobar hendak 'mengaji' buku ini selepas membaca majalah Anis keluaran November 2010 tentang bagaimana bapa kepada hafiz muda, adik Muhammad Ahmad Zahid mendidik anaknya itu. Subhanallah, terbayang Rayyan jadi hafiz juga! :) Semoga Allah beri kekuatan, petunjuk dan hidayah kepada saya dan suami dalam mendidik anak-anak kami.
Kebetulan, Astro Prima siarkan cerita 'Pondok Plastik Tepi Kubur'. Bagus juga cerita tu, jadi saya ajak Keena menonton bersama. Hari ini dia minta 'excuse' Iqra' sebab dah letih baca Yaasin, katanya. Saya senyum sahaja. Saya fikir, tak mengapalah, saya sudah gembira dia mahu solat sunat & baca Yaasin tadi. Jadi kami menonton bersama. Bagus pengajaran cerita tu, balasan kepada anak yang tidak sayang dan hormat pada ibu. Semoga kami semua dapat sesuatu daripadanya. Suami sempat berpesan pada Keena, "Nampak tu, balasan orang yang tak dengar cakap orang tua, tak hormat orang tua." Keena senyum. Mungkin terkena juga batang hidungnya sedikit. Apa pun, saya harap dia belajar sesuatu.
Lambat juga kami semua tidur malam ini, sebab tunggu cerita tu habis. Pukul 11 baru naik tidur. Saya pesan dengan Keena supaya jangan lambat bangun tidur esok pagi. Saya siapkan Keena untuk tidur dan buka bacaan Al Quran di laptop untuk jadi teman Keena tidur. Saya baru mula buat ni semalam, lepas baca tips untuk anak hafal Al Quran dari blog ibu hafizah kecil - Darwisya, di DarwishDarwisya. Saya tidaklah meletakkan harapan terlalu tinggi pada Keena, tapi kalau dia mampu, saya syukur. Target saya cuma mahu Keena dan Rayyan jadi anak-anak soleh dan solehah. Jadi, saya sedang berusaha sedaya upaya untuk itu, Insya Allah...
Sebelum tidur, saya solat Sunat Taubat, minta Allah ampunkan dosa-dosa saya pada hari ini. Saya juga minta Allah ampunkan dosa suami dan anak-anak. Tidak lupa, saya minta Allah ampunkan dosa mak dan ayah, serta adik-adik saya yang tersayang. Dengan rasa rendah diri juga saya minta agar hari esok akan lebih baik buat saya dan keluarga.
Sudah jadi rutin, saya akan baca Surah Al Mulk sambil duduk di tepi katil Keena. Rayyan pula akan bermain-main di sekeliling bilik Kak Longnya, sekali-sekali naik ke katil untuk kacau Keena. Selepas baca Al Mulk, saya usap dahi Keena, peluk dan cium dia, sambil kata "Ibu sayang sangat kat Keena. Jadi anak yang baik ye, sayang." Dengan Rayyan pun saya buat begitu. Semoga Allah berikan kasih sayangNya kepada anak-anak saya kerana saya tahu kasih sayang Allah lebih dari segalanya. Saya tinggalkan Keena tidur dengan ucapan salam.
Hendak tidurkan Rayyan lebih mencabar sikit, kena nyanyi. Suami saya suka nyanyikan dia lagu 'Bangau oh Bangau', dan Rayyan pun nampaknya suka lagu itu. :)
Alhamdulillah, saya sudah buat yang terbaik untuk hari ini. Saya berdoa agar hari esok lebih baik.
"Barangsiapa yang hari ini lebih baik dari hari semalam maka dia termasuk dalam golongan orang yang beruntung, yang hari ini sama seperti semalam maka dia termasuk dalam golongan orang yang rugi dan yang hari ini lebih buruk dari semalam maka dia termasuk dalam golongan orang yang celaka."
Semoga Allah Redha.
Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.
Thursday, October 21, 2010
ingin jadikan blog sebagai diari... :)
Sudah lama juga saya terfikir - blog ini untuk apa sebenarnya?
Saya bukannya seorang ilmuan, yang banyak ilmu untuk dikongsikan. Saya juga bukan pujangga, yang pandai berpuisi, bijak berbahasa. Saya bukan juga seorang penulis, yang pandai bercerita, pandai berkisah.
Saya cuma salah seorang dari jutaan hamba Allah SWT, yang sedang mencari Redha-Nya...
Saya cuma salah seorang dari jutaan umat Muhammad SAW, yang cuba mengikut Sunnahnya...
Saya cuma salah seorang dari jutaan wanita yang bernama Isteri, yang cuba meraih gelaran Solehah...
Saya cuma salah seorang dari jutaan wanita yang bergelar Ibu, yang cuba menjadi Mithali...
Saya cuma salah seorang dari jutaan anak, yang mahu berbakti kepada Mak & Ayah...
Saya cuma salah seorang dari jutaan kakak, yang mahu sentiasa melindungi Adik-Adik saya...
Selain itu, saya juga seorang teman, seorang ketua dan seorang pekerja. Mungkin juga, tanpa saya sedari, saya adalah banyak lagi..... Syukur, Allah jadikan saya 'somebody' juga... :)
Jadi, ini adalah catatan perjalanan hidup saya yang sementara ini. Hidup yang saya harapkan mendapat Redha Ilahi. Hidup yang saya ingin isi sebagai seorang Hamba Allah SWT, Umat Muhammad SAW, Isteri Solehah, Ibu Mithali, Anak yang Taat, Kakak yang Baik, Teman yang Sejati, Ketua yang Memahami dan Pekerja yang Amanah.
Wah, tinggi betul harapan saya pada diri saya sendiri... :)
Harapnya catatan ini sebagai kenangan hidup saya. Buat tatapan suami, anak-anak, mak ayah dan adik-adik kalau sudi. Syukur kalau ada yang membaca, dan ambil yang baiknya. Yang tak baik, jadikanlah pengajaran.
Semoga Allah Redha dengan saya...
Ingin terus meraih Solehah, demi cinta kepada Allah...
Tuesday, September 28, 2010
JADIKAN DIRIMU CONTOH TELADAN
Agak lama juga saya tidak mencoretkan apa-apa di dalam blog ini. Kurang kesempatan mungkin merupakan sebab utama, selain idea yang belum kunjung tiba. Tetapi semalam, sesuatu terjadi yang benar-benar menimbulkan keinsafan di dalam diri ini.
Ahad, 26 September 2010 (17 Syawal 1431) - Pada paginya, saya menjemput keluarga datang bersarapan pagi di rumah saya sambil beraya. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan meriah. Walaupun Makaroni Goreng saya kurang menjadi, nasib baik ada juadah-juadah lain yang dibawa oleh Mak - Laksa, Lempeng + Masak Lemak Cili Api Ayam & Goreng Pisang. Saya sempat juga buat Nasi Goreng & Cekodok Udang. Pak Long bawa Roti Canai, sepupu saya pula bawa Pizza & Sambal Goreng. Memang meriah meja makan di rumah saya pada pagi itu. Sayangnya, terlupa nak ambil gambar! Keluarga yang datang pun boleh tahan ramai. Saya gembira & bersyukur. Alhamdulillah...
Sebelah petangnya, adik saya pula jemput 'hi-tea' di rumahnya. Jadi, selepas asar, kami pergilah beramai-ramai. Insiden di rumah adik saya itulah yang tidak akan saya lupa.
Seperti biasa, puteri kesayangan saya - KEENA, yang sangat suka berpakaian cantik & bertudung ke mana saja dia pergi, akan mula menanggalkan tudungnya apabila dia mula rasa 'rimas'. Saya pun tidaklah terlalu tegas dengan dia tentang tudung, sebab dia masih 6 tahun. Masih kecil, pada saya. Bila Keena buka tudungnya, putera kesayangan saya - RAYYAN pula minta dipakaikan tudung Kak Longnya itu. Selepas saya pakaikan tudung kepada Rayyan, dia tersenyum tersipu-sipu apabila semua orang ketawa sambil mengusik dan memujinya - "Comelnya Rayyan...". Saya turut ketawa melihat gelagatnya. Adik saya kemudiannya menyuruh Rayyan bersalaman dengan semua orang. Lantas Rayyan pun mula bersalaman dengan datuk dan neneknya, dengan menggunakan tudung Kak Longnya sebagai lapik tangannya. Saya agak terkejut. Lantas adik saya berkata - "Tengok tu Rayyan salam macam ibu dia...". Pecah lagi ketawa semua orang. Saya tersenyum sambil di dalam hati, terbit satu keinsafan.
Betapa mudah anak sekecil Rayyan (1 tahun 7 bulan) mengikut apa yang saya, ibunya buat. Perbuatan melapik tangan ketika bersalaman itu pun bukannya setiap hari saya buat. Hanya apabila yang bukan mahram menghulur tangan untuk bersalaman dan saya pula mahu menjaga hati mereka, barulah saya lapik tangan dengan tudung saya. Itu pun dapat dilihat dan diingat oleh si kecil itu sehingga jadi ikutannya.
Jadi, bagaimana pula perkara-perkara yang saya lakukan setiap hari? Perkara-perkara yang sudah jadi kebiasaan? Andai kebiasaan itu memang suruhan Allah & Rasulullah SAW, saya amat bersyukur sekiranya Keena & Rayyan mudah mengikut. Tetapi andai kebiasaan itu merupakan kelemahan atau kepincangan diri saya yang perlu dibetulkan? Tahukah Keena & Rayyan kebiasaan mana yang wajar dan tidak wajar diikut? Mungkin Keena yang umurnya akan masuk 7 tahun boleh mengerti serba sedikit yang mana baik dan yang mana buruk. Itu pun panjang lebar soalan mencabarnya minta justifikasi kenapa A baik dan kenapa B buruk? Tapi bagaimana dengan Rayyan?
Pengajaran kisah di atas MUDAH - Jika ingin anak-anak jadi SOLEH & SOLEHAH, maka ibu & ayah mesti terlebih dahulu jadi SOLEH & SOLEHAH. Saya mahu Keena jadi seperti Saidatina Aisyah RA, maka saya mesti terlebih dahulu jadi seperti Saidatina Aisyah RA. Saya mahu Rayyan jadi seperti Junjungan Besar Muhammad SAW, maka saya perlu ikut Sunnah Junjungan. Bunyinya macam mustahil untuk jadi seperti Rasulullah SAW dan Saidatina Aisyah RA kerana mereka insan terpilih. Mereka insan istimewa yang Allah beri mukjizat dan kelebihan-kelebihan utama. Tetapi pada saya, tiada salahnya bercita-cita tinggi. Jika kita letakkan matlamat setinggi itu, maka usaha kita juga perlu bersungguh-sungguh ke arah itu. Dalam pada berusaha, permohonan kepada ALLAH SWT juga tidak kurang penting kerana sesungguhnya Dia Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.
Saya pulang dari rumah adik saya dengan AZAM baru. Saya mahu jadi CONTOH TERBAIK untuk anak-anak saya. Dan saya juga mahu ajak suami bersama-sama jadi CONTOH TERBAIK buat anak-anak kami. Justeru, diri kami perlu diperbaiki. Ilmu kami perlu dipertingkatkan lagi. Akhlak kami perlu diperelokkan lagi. Ibadah kami perlu diperbanyakkan lagi. Mudah-mudahan Keena & Rayyan melihat Ibu & Ayah yang taat pada ALLAH, ikut Sunnah Rasulullah SAW, sayang dan kasih pada kedua orang tua & keluarga dan sentiasa berbaik-baik dengan semua makhluk Allah.
Semoga Allah SWT redha...
رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ
"Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak dari orang-orang yang SOLEH."
(Doa Nabi Ibrahim AS)
"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mengerjakan solat, Ya Tuhan kami, perkenankanlah doa kami. Ya Tuhanku, ampunkanlan daku dan kedua ibu bapaku dan sekelian orang-orang mukmin pada hari hisab nanti."
(Surah Ibrahim, 40-41)
Monday, September 27, 2010
KULLU 'AM, WA ANTUM BI KHAIR...
Agak terlewat juga, tetapi bak kata pepatah Inggeris, "the thought that counts!". Jadi, SALAM LEBARAN dari kami sekeluarga. Semoga diampunkan segala silap dan dosa. Juga ucapan penuh bermakna - KULLU 'AM, WA ANTUM BI KHAIR - "Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan..."
Wednesday, August 25, 2010
diari Ramadhan 25 - hari penuh hiba

sudah 25 hari Ramadhan berlalu. sana sini, lagu raya mula berkumandang. sebenarnya, lagu raya dah mula berkumandang sejak hari pertama puasa di setengah-setengah tempat. di pejabat saya sendiri, semua sibuk menghias. gantung ketupat, gantung lampu. tanda tak sabar-sabar nak sambut hari raya.
seronok juga tengok suasana begitu. sambil buat kerja, semua orang menyanyi-nyanyi sendiri lagu raya. mana yang gantung lampu, berkelip-kelip lampu menyala. meriah.
tapi, ada satu keluhan berat jauh di sudut hati. susah juga nak dengar keluhan itu sebab terlalu perlahan. ditenggelamkan dek lagu-lagu raya yang rancak. tapi saya cuba juga nak dengar keluhan itu. dari sejak pagi, saya cuba diamkan diri, dan akhirnya saya rasa saya berjaya mendengarnya.
risau. sudah masuk 25 hari puasa. bagaimana pencapaian saya agaknya di mata Yang Esa?
sejak 5 hari lepas, fitrah wanita datang melanda saya, menyebabkan ibadah yang cuba saya tingkatkan, jadi tergendala. tapi saya cuba juga buat apa yang boleh. dengar ayat-ayat suci al quran, zikir puji-pujian kepada Allah, dengar tazkirah, ceramah, tonton rancangan-rancangan 'membina' di tv, nyanyi lagu nasyid dengan anak-anak, masak juadah berbuka yang sedap-sedap untuk suami, ya, apa saja yang masih dikira ibadah. saya cuba. rugi juga rasanya tak dapat mengecapi 10 malam terakhir ramadhan, tapi saya yakin Allah Maha Mengetahui. saya berserah saja pada-Nya. doa saya, semoga dapat saya cari juga sesuatu di 10 malam terakhir ini. kalau tak dapat pada malam 10, 9, 8, 7, 6 dan 5, mungkin pada malam 4, 3, 2 dan 1. insya allah.
itu sebab pertama saya agak hiba.
saya juga hiba apabila masih ada yang tidak bersyukur di kalangan kita dengan bonus raya yang kita dapat. hiba juga apabila di ajak berbuka di hotel-hotel mewah, kita seronok. tapi bila di ajak berbuka di dalam khemah, juadah ala kadar catering & ada aktiviti solat terawikh selepasnya, kita mencebik.
na'uzubillah, begitukah rupanya iman kita semua? ramadhan yang bakal berlalu, tiadakah iktibar yang kita ambil darinya? tiadakah walau sekelumit kesedaran tentang hakikat hidup kita?
saya pun masih bertatih hendak mencapai 'solehah'. pada saya, semua wanita patut jadikan gelaran 'solehah' itu sebagai cita-cita. walaupun sukar, hampir mustahil untuk mencapai darjat 'solehah' setaraf dengan wanita-wanita solehah pada zaman Rasulullah SAW, pada saya, kita mesti buat yang terbaik untuk dapatkan 'solehah'. the end result - sama ada dapat atau tidak, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. yang penting, usaha kita, istiqomah kita, meraih 'solehah'.
justeru, bila dapat bonus raya, walau sebanyak atau sedikit mana, sebagai seorang yang ingin meraih 'solehah', kita patut ucap syukur ALHAMDULILLAH. masih ada rezeki yang Allah ingin bagi pada kita, di saat masih jauh kita daripada-Nya. juga, bila di ajak berbuka puasa ala kadar, selebihnya solat terawikh berjamaah, sebagai seorang yang ingin meraih 'solehah', kita patut rasa seronok hendak merebut peluang itu. masih ada peluang untuk mendapat pahala & redha Allah, di saat kita jarang-jarang ingat pada-Nya. subhanallah, banyaknya nikmat Allah yang kita tak perasan?
dalam keberkatan bulan Ramadhan yang masih berbaki, saya tadahkan tangan memohon kepada Allah agar kita semua diberi petunjuk dan hidayah-Nya. juga, kita harus ingat, petunjuk & hidayah Allah takkan datang begitu sahaja tanpa kita berusaha untuk mendapatkannya. semoga kita semua diberi kekuatan untuk mendekatkan diri kepada Allah, agar diberi petunjuk & hidayah-Nya, dalam usaha kita mencapai 'solehah'. Amin.
saya masih hiba.
Tuesday, August 17, 2010
diari Ramadhan 7 - hari penuh dugaan

pejam celik, pejam celik, hari ini sudah masuk 7 hari aku 'cuba' menjalankan ibadah puasa. semoga dengan bertambahnya hari, bertambah jugalah tahap kejayaanku untuk benar-benar berpuasa. seawal pagi selepas bersahur dengan puteri kesayanganku, keena, aku bertadarrus al quran. dengan harapan tulus mulus agar hari ke 7 ramadhan ini dapat kulalui penuh insaf, penuh sabar. keena, selepas sahur, tidur semula. memang kebiasaannya begitu, dan aku pula tidak pernah menghalang kerana kasihan juga dengan puteriku itu. mana mungkin anak kesayanganku itu mengerti kelebihan beribadat dalam waktu sahur, sementara menunggu waktu subuh? yang dia tahu, dia masih mengantuk. aku cukup bersyukur dia mahu bangun sahur dan mahu berpuasa. semoga aku bersabar mendidiknya untuk melakukan ibadah-ibadah lain juga. amin.
selepas aku bersiap-siap, aku kejutkan keena supaya bersiap untuk ke sekolah. sudah 2 hari keena tidak ke sekolah. semalam aku diuji dengan migrain. tidak dapat bangun untuk ke pejabat. bila aku tidak bangun, keena pun ikut tidur hingga tidak ke sekolah. hari jumaat lepas pun keena tidak ke sekolah. kesnya sama, susah hendak dikejutkan semula bila tidur selepas sahur. nampaknya hari ini, Allah ingin menguji aku lagi. keena susah hendak dikejutkan. beberapa kali aku ajak dia ke bilik air dengan suara lembut, tetapi dia masih merengek-rengek di atas tilam, tidak mahu bangun. teruji sungguh kesabaranku. tetapi aku menahan diri daripada marah. aku cuba mengugut - yang aku akan tinggalkan dia sekiranya dia tidak bangun bersiap. rengekannya bertukar menjadi tangisan. lama kelamaan, tangisannya bertukar menjadi amukan. itu memang pekara biasa dengan keena. namun, aku tetap memandikan dia dan menyiapkan dia untuk ke sekolah. dia terus mengamuk, menangis, menjerit, membentak. aku lantas membuat keputusan - keena perlu didenda. lalu aku memberitahu dia yang aku tidak akan menjemput dia dari sekolah pada hari ini sebagai denda 'amukan'nya itu. keena lebih kuat menangis dan mengamuk. dia menjerit-jerit meminta aku menjemputnya juga. aku pula tetap dengan pendirianku. keena perlu diajar begitu, bukan semua yang dia mahu, dia akan dapat.
apabila dia tidak mahu masuk ke dalam kereta untuk ke sekolah, aku tidak dapat lagi mengawal amarahku, lalu aku mencubit keena kuat, di pehanya. dia menjerit kesakitan, tetapi dia akhirnya masuk ke dalam kereta. aku terus sahaja menghantarnya ke sekolah, walaupun dia terus menangis. selepas itu, aku terus ke pejabat. dalam perjalanan ke pejabat, aku terfikir-fikir sendiri adakah tindakan aku itu wajar? aku sendiri tidak dapat memutuskan apakah patut atau tidak aku biarkan keena balik dari sekolah dengan van pada hari ini. atau patutkah aku berikan keena peluang sekali lagi? jujurnya, aku lebih cenderung untuk pergi menjemputnya dan berikan dia peluang sekali lagi. tapi sekiranya dia masih 'buat perangai' begitu selepas ini, aku akan betul-betul mendendanya. aku sendiri buntu apa yang patut aku buat?
sekarang 10.30 pagi. ada baiknya aku solat dhuha dahulu. mungkin Allah akan berikan petunjuk-Nya nanti.
sambungan...
selepas solat dhuha, semacam ada dialog di hati ini:
a: kenapa mesti berkasar dengan keena tadi?
b: habis tu, nak buat macam mana lagi? dah puas dipujuk, dah puas berlembut, tapi keena macam tu juga. mungkin sekali sekala kena berkasar, kalau tak nanti dia akan rasa tak apa buat perangai macam tu.
a: betul ke macam tu? atau pun sebenarnya kalau terus berlembut, lebih baik?
b: rasanya tadi dah habis lembut dah mula-mula tu, tapi bila dia tetap buat perangai, baru naik angin sikit. itupun tak naik angin sangat, cuma cubit dia sikit je.
a: cubit sikit pun, dia tetap rasa sakit. mungkin sakit cubit tu boleh hilang tanpa kesan, tapi 'sakit' di hati dia, mana kita tahu? boleh ke kita didik dan asuh dia, lembutkan hatinya, kalau hati dia selalu 'sakit' dengan kita? ambil contoh diri kita sendiri - kalau orang yang selalu sakitkan hati kita, suruh kita dengar cakap dia, mahu ke kita dengar cakap dia?
b: (diam).(fikir).
a: kenapa terlalu pentingkan diri sendiri? hati sendiri? bagaimana dengan hati anak itu yang kau panggil puteri kesayanganmu? hati anak itu yang merupakan amanah Allah padamu? hati anak itu yang masih mentah. masih mudah dilentur mengikut acuan yang kau tetapkan. hati yang dicorakkan mengikut apa yang kau tunjukkan. kau tunjukkan marah, maka jadi marahlah hati itu. kau tunjukkan benci, maka jadi bencilah hati itu. itukah yang mahu kau jadikan di hati anak itu?
b: (terus diam). (tunduk ke bumi). (sesal).
a: sesal pun sudah tidak berguna lagi. terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, terlajak laku, bermakna syaitan dah berjaya!
b: habis tu, apa nak buat sekarang?
a: taubat kepada Allah. minta maaf dari anak kesayanganmu itu. berazam di dalam hatimu, perkara seperti ini tidak akan berulang lagi. pada anakmu itu, tunjukkan kasih sayang penuh belas kasihan. tunjukkan cinta dan rindu. tunjukkan belaian, pelukan dan ciuman. maka dalam hatinya nanti akan penuh dengan semua itu. di sana nanti, kau akan lihat betapa mudahnya melentur hatinya mengikut jalan yang benar.
b: ya Allah, ampunkan keterlanjuranku. hanya kepadaMu aku memohon petunjuk dan hidayah. janganlah dipalingkan semula petunjuk dan hidayahMu setelah Kau perkenankan kepadaku. berikanlah aku kekuatan untuk mencorakkan yang terbaik buat teladan anak-anakku. berikanlah aku kasih sayangMu, redhaMu, untuk kupanjangkannya buat anak-anakku. semoga dengan kasih sayang & redha itu, ikatan cinta kami bertambah kuat hanya untukMu, hanya keranaMu, ya ALLAH...
lalu aku bergegas meminta kebenaran bos untuk keluar sebentar menjemput keena di sekolah. sebaik melihat wajah gembira keena melihatku, air mataku hampir gugur. terbayang wajah sedih keena pagi tadi bila mana aku marahkan dia. aku berdoa lagi - semoga wajah gembira anak-anakku akan sentiasa di mataku, menjadi perisai tatkala diri dirasuk syaitan dengan amarah. semoga amarah itu akan hancur lebur dengan alunan hilai tawa anak-anakku yang kuharap sentiasa di telinga ini. ya Allah, hanya padaMu aku memohon. amin.
Wednesday, August 11, 2010
diari Ramadhan 1 - hari penuh kesyukuran

syukur alhamdulillah, semalam aku diberi kesempatan untuk solat isya' dan solat terawih pertama di masjid. ada beberapa sebab kenapa ia begitu bermakna:
1) masjidnya - masjid kg rinching hulu. masjid di mana ayahku menghabiskan banyak masanya di situ sebagai imam masjid. aku bangga dan bersyukur.
2) solat terawih di masjid rinching itu ajakan suamiku. aku bersyukur lagi.
3) solat bersama-sama puteri kesayanganku, keena. alhamdulillah, keena dapat ikut semua solat; solat sunat tahiyyatul masjid, solat sunat isya' qabliyyah, solat isya', solat sunat isya' ba'diyyah, solat terawih & solat witir. walaupun mengeluh letih, panas dan takut (sebab lampu dan kipas tiba2 terpadam di masjid. mungkin dugaan, mungkin juga hikmah!), keena sabar duduk di sebelahku. aku bersyukur lagi dan lagi.
tazkirah selepas solat isya' semalam menarik juga. tentang azam di bulan ramadhan. contohnya mudah, kalau ramadhan tahun lepas hanya buat solat terawih 8 rakaat, berazamlah ramadhan tahun ini nak buat 20 rakaat! sama juga dengan amalan lain. kalau selama ini hanya buat solat yang wajib, berazamlah ramadhan ini nak tambah dengan solat yang sunat. kalau selama ini baca al quran sekali sehari, berazamlah ramadhan ini nak baca al quran 5 kali sehari, setiap kali lepas solat! :)
pagi tadi, alhamdulillah, dapat ajak keena bangun sahur. kami makan nasi impit dengan kuah kari & ayam goreng. semua tapau dari rumah mak semalam. keena minta teh tarik. aku buatkan dengan senang hati. :) lepas sahur, keena sibuk kemas beg sekolah, semalam dapat beg baru ana muslim, terus nak pakai. sebenarnya beli beg tu untuk darjah 1 nanti! takpelah, janji keena happy! :) keena tengok cerita qalesya sementara tunggu nak solat subuh. aku ambil wudhu', capai tafsir al quran dan mula baca dari surah al baqarah.
solat subuh dengan keena pukul 6 pagi. lepas solat, keena kata dia mengantuk. aku suruh dia tidur sekejap. aku capai al ma'thurat dan mula baca. pukul 6.45 aku mandi dan bersiap-siap. pukul 7.15 kejutkan keena dan siapkan dia nak ke sekolah. keena minta bulan puasa ni supaya aku hantar dan ambil dia dari sekolah. dia juga minta nak ikut aku ke ofis lepas sekolah. aku setuju. apa saja untuk puteri kesayanganku, asalkan dia mahu puasa. :)
sampai di ofis jam 8.15, ambil wudhu' dan sambung baca al ma'thurat yang tak sempat habis lepas subuh tadi. bulan puasa, waktu kerja 8.30 hingga 4 petang. yang agak sedih sikit, waktu rehat tengahari dipendekkan, mula 12.30 hingga 1 tengahari. aku ada cerita-cerita dengan kak ngah nak buat tadarrus al quran di ofis bulan puasa ni. tapi kalau rehat cuma setengah jam, sempat ke bertadarrus? lalu semalam aku tanya bos a.k.a kak long, boleh ke panjangkan sikit waktu rehat jadi 1 jam (12.30 - 1.30). jadi 1.30 boleh terus solat zohor berjamaah. kak long kata nanti dia bincang dengan kak lang. alhamdulillah, semoga dibuka pintu hati mereka untuk luluskan permohonan kami. :)
11.15 pagi - minta kebenaran bos untuk keluar sekejap ambil keena di sekolah. alhamdulillah, aku dapat bos yang amat memahami. muka keena berseri-seri nampak ibunya sampai. dan aku, ibunya, gembira. :)
12.00 tengahari - sampai semula di ofis dengan keena. keena buat homework, aku sambung buat kerja.
12.30 tengahari - tadarrus al quran. alhamdulillah, ada 6 orang datang untuk turut serta. (sambutan yang tidak begitu menggalakkan, tapi tak apalah, mungkin esok lusa lebih ramai akan datang!) aku dapat juzu' 4 (surah ali imran & an nisaa'). tak sempat habis baca pada waktu setengah jam rehat. semua ahli tadarrus diminta habiskan di rumah dan esok akan dapat juzu' baru.
1.30 tengahari - solat zohor dengan keena. indah saat itu. :)
2.00 petang - dugaan ramadhan; keena mula mengadu haus, lapar. tapi aku pujuk juga. lekakan dia dengan mewarna carta ramadhan adik yang aku download dari blog kak cik @keluargakusayang.blogspot.
4.00 petang - keena mula menangis, minta nak minum sikit je... :) aku pujuk lagi. balik dari ofis, dalam kereta dia mula menangis-nangis mengamuk nak minum. aku masih sabar pujuk dia.
4.30 petang - sampai rumah, ajak keena mandi. ajak dia solat asar, tapi dia dah letih sangat menangis, aku ajak dia tidur dulu. alhamdulillah, dia tidur. aku solat asar & baca al ma'thurat.
5.30 petang - mula siapkan juadah untuk berbuka. tadi keena cerita kawan-kawan yang tak puasa di sekolah makan maggie goreng. jadi dia pun teringin maggie goreng. juadah berbuka hari ini - maggie goreng & cekodok udang. :)
7.00 petang - mandi bersihkan diri, siap-siap untuk berbuka. kejutkan keena tersayang. alhamdulillah, keena berjaya puasa penuh hari ini. alhamdulillah.
7.45 malam - lepas berbuka ala kadar, solat maghrib berjemaah dengan abang & keena. syukur alhamdulillah di atas nikmat ini. lepas solat, keena minta tengok dia baca iqra'. alhamdulillah. lepas dia habis iqra', aku sambung tadarrus juzu' 4.
8.30 malam - solat isya' & terawih berjemaah dengan abang & keena. syukur alhamdulillah. keena happy sikit sebab ayahnya buat 8 rakaat je, tak panjang sangat macam kat masjid semalam. :)
9.30 malam - habis solat terawih & witir, ingat nak bermanja-manja dengan rayyan. tapi dia dah tidur. kesian anak ibu, keletihan juga macam orang puasa. :) aku moreh dengan maggie goreng sambil tengok tv sekejap.
11.00 malam - ingat nak sambung tadarrus, tapi rayyan terjaga. tidurkan dia balik, aku pun tertidur sekali. :)
Subscribe to:
Posts (Atom)







