Thursday, November 4, 2010

Sakit Kepala



Sebenarnya, sejak hari Jumaat lepas, saya asyik sakit kepala. Sejak akhir-akhir ni, kerap juga saya sakit kepala, terutama masa 'didatangi fitrah wanita' itu (uzur). Kali ini, sakit kepala tu lebih sikit, dan tak lega-lega pula. Kalau lega pun, sekejap-sekejap akan datang juga sakitnya. Hari Jumaat, saya ke klinik dan doktor terkejut tengok tekanan darah saya yang katanya tinggi! Sebab tu saya sakit kepala, katanya. Dan lumrah kalau waktu uzur lebih  pening sebab darah keluar dari badan. Doktor tanya juga, tekanan kerja ke? Saya pun tak pasti jika betul saya tertekan sebab kerja. Tapi memang ada perkara yang agak mengganggu fikiran saya sejak akhir-akhir ini. Apa? Nak tau? Hmm... Saya sedang dalam dilema. Dilema nak terus jadi wanita bekerjaya atau nak jadi surirumah sepenuh masa? :] Ye, masih dilema...

Bila sakit, memang tak seronok. Tapi saya teringat satu hadith:

Dari Abdullah r.a katanya:”Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata: "Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk."

Jawab baginda, "Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu." Kataku pula, "Semoga anda mendapat pahala berganda pula." Jawab baginda: "Semoga!"

Kemudian sabda baginda pula: "Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya."

(Muslim)

Jadi, sakit bukanlah bala sebenarnya. Tapi ujian sakit diberi Allah dengan tujuan untuk menghapuskan dosa-dosa kita. Kalau begitu, Alhamdulillah, saya diberi sakit oleh Allah. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa saya.

Dan Alhamdulillah, akhirnya selepas 3 hari cuti sakit, sakit kepala saya sembuh! :)

Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

Foto pada 30 Oktober 2010... :)

Saja saya nak kongsi gambar anak-anak masa kami ke Alamanda pada 30 Oktober 2010 (hari jadi saya!) yang lalu. Saya dan suami sebenarnya mahu luangkan masa dengan anak-anak, dan Keena pula sibuk ajak ayahnya jalan-jalan ke Alamanda. Jadi, kami ikutkan saja. Selepas hantar pembantu ke rumah kawannya (minggu ini pembantu saya bercuti), kami sampai di Alamanda lebih kurang pukul 4 petang. Lepas penat jalan-jalan, kami duduk makan aiskrim. Bila lapar, Keena ajak makan A&W. Di A&W, suami saya cakap dengan Keena makan A&W untuk sambut harijadi saya. Saya senyum je. Tiba-tiba datang pelayan restoran hantar 2 kotak kecil, macam kotak isi 'mug'. Memang betul tekaan saya. Rupanya pelayan restoran tu minta sumbangan, beli 2 mug dengan harga RM19, duit tu mereka akan sumbangkan kepada yang memerlukan. Suami saya beritahu Keena, 'mug' tu hadiah harijadi saya. :)

Lepas makan, suami ajak ke surau untuk solat Asar. Saya yang uzur, tunggu suami sambil layan anak-anak tengok orang main bowling. Keena ajak juga main bowling, tapi saya tengok orang ramai sangat, saya pujuk dia supaya main bowling lain kali saja. Sementara tunggu waktu Maghrib, kami jalan-jalan lagi. Lepas suami saya solat Maghrib, Keena nak main permainan di arked. Ni gambar anak-anak saya main di arked tu... :)









Alhamdulillah, seronok dapat luang masa layan anak-anak macam ni... :)

Dalam perjalanan balik, dapat panggilan dari adik saya. Dia kata nak singgah rumah saya dengan mak, ayah, nenek dan semua. Sampai di rumah, mereka dah tunggu depan rumah saya. Rupanya nak suruh saya tiup lilin di kek dan potong kek! :D Sedap kek aiskrimnya. Gambar-gambar ada diambil oleh adik saya. Nantilah ye saya kongsikan. Terima kasih buat semua. Syukur Alhamdulillah dengan nikmat ini. :)

Semoga Allah redha.

Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

Wednesday, November 3, 2010

32? Alhamdulillah...


30 Oktober 2010 - Umur saya genap 32 tahun. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana pada usia ini, sudah terlalu banyak nikmat yang Allah beri kepada saya. Mari kita lihat kronologi hidup saya yang penuh nikmat ini. :)

30 Oktober 1978 - Saya lahir dengan nikmat ISLAM. Saya anak sulung ayah (Abd Talib) & mak (Rusmah). Saya cucu kedua Tok Wan (Hj Abd Hamid) & Arwah Tok (Hjh Som). Saya cucu ketiga Arwah Atok (Hj Juraimi) & Nenek (Hjh Peah).

15 Januari 1981 - Saya dapat adik lelaki (Asyraf).

5 Februari 1983 - Saya dapat adik perempuan (Refqah).

Januari 1985 - Saya mula sekolah darjah 1 di Sekolah Kebangsaan Kajang & Sekolah Rendah Agama Sungai Kantan.

16 Mei 1985 - Saya dapat adik perempuan lagi (Rifhan).

1990 - UPSR, saya dapat 4A. Sekolah agama - dapat nombor 3 keseluruhan darjah 6.

1991 - Dapat masuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sek Men Sultan Abdul Halim, Jitra. Tapi tahan 2 bulan je. Huhuhu...

1991 - Tukar ke Sekolah Menengah Agama Selangor, Kajang (tepi Masjid Kajang masa tu). Masa tingkatan 1 saya dapat Tempat Pertama peperiksaan akhir tingkatan 1, Alhamdulillah.

9 Februari 1991 - Saya dapat adik lelaki lagi (Amirul Aizat).

4 Mei 1993 - Saya dapat adik perempuan lagi (Rufaidah).

1993 - PMR, saya dapat 9A. Dapat tawaran ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Alhamdulillah.

1994 - Di KISAS, jumpa kawan-kawan yang best - OHARIS. O-Ojan (Fauzana), H-Hani (Hani Soraya), A-Ayan (Nor Azian), R-Ratna (sayalah tu!), I-Iezs (Aizatul Isla), S-Sera (Saira). Walaupun ada yang cop kami 'gengster', kami tak kesah! :)

1995 - SPM, saya dapat 8 aggregate, Alhamdulillah. Dapat biasiswa Tenaga Nasional Berhad dan dapat pergi UK buat A Levels! :D

1996 - Saya ke UK, Concord College untuk buat A Levels.

1998 - Saya balik Malaysia sambung Ijazah di UNITEN.

1999 - Mak pergi umrah, dan doakan saya di Jabal Rahmah semoga dapat jodoh yang baik. :)

April 1999 - Saya jumpa Kamarul bin Abdul Karim (suami sayalah!). Dia cikgu memandu saya. :)

Feb 2002 - Saya dilamar Kamarul bin Abdul Karim. :)

Jun 2002 - Saya dapat Bachelor in Accountancy dari UNITEN, Alhamdulillah.

Ogos 2002 - Saya berkongsi kegembiraan suami, dapat Bachelor in Business Administration dari UPM.

27 Disember 2002 - Saya sah menjadi isteri Kamarul bin Abdul Karim.

9 April 2004 - Saya menjadi ibu - KASREENA RUMAISYA BINTI KAMARUL lahir ke dunia, membahagiakan lagi kami suami isteri.

2006 - Bertambah ahli keluarga - Adik saya Refqah, disatukan dengan Ikhman Ariff.

17 Februari 2009 - Saya dikurniakan seorang mujahid - KASYFEE RAYYAN BIN KAMARUL.

Disember 2009 - Bertambah lagi ahli keluarga - Adik saya Rifhan, disatukan dengan Nurul Hafiz.

21 Februari 2010 - Yang dinanti-nanti telah tiba. Adik saya, Refqah melahirkan Imran Raheesh bin Ikhman Ariff, setelah melalui pelbagai dugaan!

Banyak betul nikmat Allah bagi saya, kan? Syukur Alhamdulillah. Mana mungkin saya betul-betul dapat membalas segala nikmat Allah itu. Rasa tidak cukup dengan hanya menjadi hamba yang taat. Tapi, itulah yang saya cuba buat, tanda syukur dan terima kasih saya kepada Allah Yang Maha Esa. Doa saya di hari lahir saya ini - Semoga Allah beri saya kekuatan untuk terus meraih SOLEHAH dan semoga Allah redha dengan saya.

Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

Monday, November 1, 2010

Sifat Pendidik


2 hari ni saya sibuk lebih sikit. Hari Selasa, saya sibuk siapkan dokumen untuk mesyuarat pada hari Rabu. Hari Rabu, saya sibuk mesyuarat. Alhamdulillah, mesyuarat selesai dengan baik.

Disebabkan kesibukan saya tu, saya tak berkesempatan nak tulis apa-apa. 2 hari ni pun, rutin harian berjalan macam biasa. Semalam saya seronok lebih sebab ada masa berkualiti dengan anak-anak. Saya jangkakan mesyuarat semalam akan berlarutan sampai lewat petang. Ternyata Allah Maha Mengetahui apa yang bermain dalam fikiran saya. Hati rasa tak tenang kalau balik lambat, tak dapat masak makan malam untuk suami dan anak-anak. Mesyuarat sebaliknya selesai awal, saya balik dan sempat masak makan malam. Lega rasanya walaupun masakan ringkas saja, Bayam Rebus, Ikan Goreng & Sambal Kentang. :)

Lepas masak, saya mandi dan ajak Keena solat Maghrib sama-sama. Lepas solat, saya rasa letih sangat, saya terus baring atas tilam. Tiba-tiba anak-anak pun melompat atas tilam dan baring sama-sama saya. Sambil baring, sambil bergurau, sambil berborak. Itu yang saya maksudkan - masa berkualiti dengan anak-anak. :)

Bicara tentang anak-anak, saya teringat buku yang saya sedang baca (belum habis baca lagi) - Mendidik Anak Perempuan oleh Abdul Mun'im Ibrahim. Yang ingin saya kongsikan dan semoga melekat juga di hati saya adalah sifat-sifat yang perlu ada pada seorang pendidik:
  1. Hikmah (sedang cuba berhikmah, semoga diberi petunjuk oleh Allah)
  2. Soleh/Solehah (ye, sedang cuba juga meraih solehah, semoga Allah redha)
  3. Mempunyai kemahiran dalam pengurusan manusia (menjadi pengurus jabatan turut memberi pengajaran kepada saya dalam mengurus manusia, semoga diberi petunjuk oleh Allah juga)
  4. Mewujudkan kemaslahatan manusia
  5. Melakukan kebaikan (Insya Allah, saya cuba buat baik sebanyak mungkin dalam hidup yang sementara ini. Semoga Allah redha.)
  6. Berpengetahuan, mengamalkan ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain.
  7. Mengajar secara berperingkat iaitu dimulakan daripada yang kecil ataupun yang mudah.
  8. Hanya mengamalkan dan mengajarkan ilmu yang diperintahkan oleh Allah
Hmm, bukan mudah ye nak jadi pendidik. Apa pun, mesti cuba jadi pendidik yang baik, sebab Allah dah bagi amanah. Semoga saya dapat didik anak-anak kesayangan saya dengan penuh kasih sayang. Hanya pada Allah saya memohon pertolongan. Semoga Allah Redha.
    Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

    Tuesday, October 26, 2010

    Semoga saya SABAR...


    Isnin, 25 Oktober 2010. Saya sangat bersyukur, Allah masih beri saya peluang hidup sampai hari ini. Saya yakin, Allah tidak hidupkan saya untuk saya sia-siakan. Jadi, Insya Allah, saya ingin jadikan setiap hari yang saya lalui penuh dengan kebaikan. Lagipun, bukankah itu tujuan hidup kita yang sebenar? Buat baik, buat pahala, untuk jadi bekalan kita di 'sana' nanti.

    Biasanya hari Isnin akan dikaitkan dengan 'Monday Blues'. Tapi saya cuba untuk tidak layan 'Monday Blues' saya. Saya bangun awal hari ni, 4.30 pagi sebab nak bersahur. Puasa ganti! :) Elok jugalah puasa, boleh juga bantu kurangkan makan! Selepas sahur, sementara tunggu Subuh, saya solat sunat. Tenang dan damai. Mesti seronok kalau dapat buat tiap-tiap hari. Saya akan cuba. Semoga Allah beri saya kekuatan. Selesai solat subuh, Rayyan terjaga. Saya tidurkan dia semula dan saya terus mandi. Selepas mandi, saya kejutkan Keena dan siapkan Keena pula untuk ke sekolah.

    Hari saya di pejabat macam biasa, cuma saya dapat tahu saya kena pergi mesyuarat di Shah Alam pada hari Rabu, pukul 4 petang. Betul, itu dah jadi tugas saya, tapi saya risau fikir pukul berapa agaknya mesyuarat tamat dan pukul berapa pula saya akan sampai di rumah? Sempat ke masak untuk makan malam nanti? Benda-benda macam ini yang buat saya rasa macam tak nak kerja lagi. Saya nak duduk rumah, jaga anak-anak. Tapi buat masa ini, saya perlu kerja untuk bantu suami. Suami pun tahu saya lebih suka duduk rumah, dan saya tahu dia sedang usaha keras supaya saya boleh duduk di rumah dengan anak-anak. Insya Allah, satu hari nanti, cita-cita saya nak duduk rumah jaga anak-anak pasti tercapai. Ya Allah, bantulah kami.

    Saya juga dapat berita dari kawan baik saya, yang suaminya yang ada tumor dalam otak dah beransur baik. Suaminya dah jalani 2 pembedahan dan masih di hospital untuk pemantauan. Alhamdulillah, leganya hati dengar berita baik ini. Yang saya agak terkilan, sampai hari ini, saya masih belum berkesempatan untuk pergi melawatnya. Apa pun, saya doakan kesejahteraan dia, walau dari jauh. 

    Habis waktu pejabat, saya balik dan singgah di Billion untuk beli barang dapur. Hari hujan, jadi saya tak dapatlah ke pasar malam macam biasa. Sebab hari dah lewat dan saya pula puasa, saya cuma beli makanan di kedai hari ni. Nasi Goreng Cina, Nasi Goreng Kampung, Mee Bandung dan Sotong Masak Pedas. Alhamdulillah, masih ada rezeki yang banyak Allah bagi. Sampai di rumah dah hampir masuk waktu maghrib. Saya berbuka dengan buah tamar dan teh tarik. Lepas tu mandi dulu sebelum solat Maghrib berjemaah dengan Keena. Suami baru pulang masa tu.

    Lepas makan malam, ajar Keena Iqra'. Dia sibuk nak saya ajarkan dia Iqra' 2. Tapi saya tengok Iqra' 1 pun dia masih belum lancar, jadi saya tak mahu. Saya rasa dia dah bosan asyik ulang Iqra' 1. Apa pun, saya nak dia betul-betul lancar Iqra' 1 baru boleh ke Iqra' 2. Dia baca juga Iqra' 1 walaupun 'moncong' je. Saya ingat nak buat sesuatu supaya dia tak bosan baca Iqra' 1. Idea dah ada, esok saya nak cuba. :)

    Lepas Iqra', Keena main dengan Rayyan sambil saya dan suami tengok TV - The Good Wife. Saya suka juga cerita ni. Selain sebab ceritanya tentang peguam dan penyiasatan (saya dulu cita-cita nak jadi peguam! tapi Allah ada rancangan lain untuk saya. Akhirnya jaga akaun!), ceritanya juga tentang isteri yang terpaksa hadapi ujian bila suami ada 'affair' yang 'public' tahu, dia terpaksa kerja semula sebab suami masuk penjara, pada masa yang sama, ada tanggungjawab sebagai ibu. Ada banyak juga pengajaran yang boleh diambil dari cerita ni.

    Kami naik tidur pukul 10.30 malam. Keena meragam lagi malam ni. Mulanya, saya tak mahu layan, tapi akhirnya saya terpaksa buat sesuatu bila dia mula menangis. Saya tak mahu tangisannya berlarutan dan ganggu tidur suami dan Rayyan pula. Saya temankan dia sekejap di biliknya, sambil bagi nasihat. Memang kalau ikut hati, rasa nak marah sebab dah 2-3 hari ni setiap kali nak tidur dia akan meragam. Tapi saya pujuk hati, ini amanah Allah pada saya. Mesti ada sebab kenapa dia asyik meragam. Mungkin adalah silap atau dosa saya yang Allah nak ampunkan. Jadi, saya mesti banyak bersabar dengan ragam anak-anak. Semoga Allah redha dan hanya Allah yang Maha Mengetahui. 


    Saya tidur pukul 12.15 malam akhirnya. Ingat nak tidur awal, sebab esok nak puasa lagi. Harap boleh bangun sahur.

    Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

    Monday, October 25, 2010

    Bismillahirrahmanirrahim,

    Hujung minggu datang lagi. :)

    Sabtu, hari bekerja saya. Minggu ini, suami saya pun kerja hari Sabtu dan Ahad. Sedikit mengganggu 'mood' saya bila suami kena kerja hujung minggu. Tapi takpelah kan, dia cari rezeki untuk kami sekeluarga juga. Apa pun, saya boleh luang masa dengan anak-anak hujung minggu ini.

    Pagi Sabtu, pagi-pagi lagi, mak dah bawa anak-anak dan pembantu saya ke rumahnya. Rutin biasa juga, mak selalunya minta tolong pembantu saya kemas rumahnya pada setiap hujung minggu. Hari Sabtu biasanya saya pakai santai sahaja, hari ini saya pakai seluar jeans dan blaus. (Tapi saya pastikan jeans longgar dan blaus longgar serta labuh!) Terkejut juga bila jeans tu macam dah ketat sikit. Terdetik dalam kepala, dah gemuk ke saya ni? Saya pun terus naik atas penimbang. Masya Allah, 67kg! Malu juga nak sebutkan berapa berat saya di sini, tapi agaknya kalau disebut, boleh jadi motivasi untuk saya turunkan berat badan. Kali terakhir saya timbang, 62kg, lebih kurang seminggu selepas raya. Maksudnya, dalam lebih kurang sebulan, berat saya naik 5kg! Tak boleh jadi ni, mesti jaga makan selepas ini! Dan terfikir juga nak sambung balik program Herbalife saya. Yang penting, saya tak mahu berat saya bertambah lagi!

    Di pejabat, terjadi pula satu peristiwa yang menambahkan lagi azam saya untuk turunkan berat badan. Tengah saya dan sepupu saya, yang juga rakan sekerja dan teman baik saya, berbual-bual di dalam bilik saya, tiba-tiba kerusi yang saya duduk tu patah! Nasib baik saya tak terhempas duduk di lantai! Apa lagi, terbahak-bahak lah kami berdua ketawa sampai keluar airmata saya! Astaghfirullahal'azim, semoga Allah ampunkan saya. Yang sebenarnya, saya dah beberapa kali juga cakap dengan sepupu saya yang kerusi saya tu dah bergoyang-goyang dan lain macam rasanya. Tak sangka pula pada hari tu dia nak patah. Walaupun mungkin memang kerusi tu dah sampai 'ajalnya', saya tetap rasa berat badan saya yang bertambah pun jadi punca kerusi tu patah pada hari tu. Kesiannya wahai kerusi...

    Inilah rupa kerusi saya setelah patah!

    Petang Sabtu tu ada majlis 'post' raya di rumah keluarga mertua saya. Jadi, lepas habis waktu pejabat, di samping nak hantar Nyang balik, saya ke rumah mak untuk ambil anak-anak dan pembantu saya. Majlis mula jam 4 petang. Saya suruh anak-anak dan pembantu saya siap pada pukul 3. Masa tu cuaca dah mendung. Saya ingat nak keluar sebelum hujan mula turun, tapi belum sempat kami naik kereta, hujan tiba-tiba turun dengan lebat. Jadi, terpaksalah kami tunda pemergian kami ke majlis tu. Saya sms kakak ipar saya yang kami akan sampai lambat sikit sebab tunggu hujan reda. Rasa tak seronok juga sebab dahlah saya tak dapat tolong masak sebab saya kerja, datang pula lambat! Walaupun kakak-kakak ipar saya mungkin tak berkira sangat, tapi saya tetap terasa bersalah. Kami keluar dari rumah mak saya selepas solat asar, lebih kurang pukul 5 petang.

    Sampai di rumah mertua, semua dah ada di sana kecuali suami saya yang masih belum balik kerja dan abang sulungnya, pun kerja. Masa kami sampai, Pak Usu dan Mak Usu dari Shah Alam ada di situ, menjemput kenduri kahwin anak mereka minggu depan. Saya mulanya cuma tegur Pak Usu, ingat tak perlu salam, tapi Pak Usu pula hulurkan tangan. Saya lapik tangan untuk salam dengan dia. Harap dia boleh terima walaupun saya nampak air muka dia berubah sikit. Saya cuma buat benda yang betul. Semoga Allah redha.

    Juadah majlis - Nasi Minyak dan Laksa. Nasi Minyak tu keluarga dari Sungai Kantan buat. Laksa pula, kakak-kakak ipar saya yang buat. Dua-dua pun sedap! Sambil makan, kami borak-borak dan gelak-gelak. Bukan senang nak berkumpul macam tu selalu! Suami sampai pukul 7 petang, dah masuk waktu Maghrib. Kami balik pukul 10.30 malam. Masa nak balik, Keena pula nak tidur di rumah mertua saya. Ayahnya tak bagi, jadi dia meragam lah sikit. Pujuk punya pujuk, akhirnya dia ikut kata ayahnya. Dalam kereta, saya ambil peluang nasihatkan dia sikit. Alhamdulillah, nampak dia boleh terima. Ni gambar anak-anak di rumah mertua saya. :)

    Rayyan yang suka masukkan semua benda dalam mulut!
    Habis telefon rumah nenek kene hisap!
    Keena yang suka bercerita, tengah cerita apalah tu!

    Sampai di rumah, kami semua terus siap-siap untuk tidur sebab semua keletihan. Alhamdulillah, solat Isya' dah selesai di rumah mertua tadi, Keena pun saya suruh solat dulu tadi. Malam ni, Keena minta nak tidur di bilik saya. Pada mulanya saya tak bagi, tapi bila suami bagi, saya ikut je lah. Saya sempat solat sunat Witir, tapi belum sempat baca Al Mulk, Rayyan dah menangis minta 'nenen'! Saya pun terus baring dan tidurlah.

    Hari Ahad - saya dikejutkan dek azan subuh dari surau di depan rumah saya. Saya terus bangun, gosok gigi dan ambil wudhu' untuk solat subuh. Selesai solat Subuh, rasa masih mengantuk. Di luar, hujan renyai-renyai, rasa sejuk, tengok anak-anak masih sedap tidur, lagi buat saya nak sambung tidur! Sedar-sedar, suami sedang cium pipi, dah siap nak pergi kerja. Jam dah pukul 8 pagi. Saya nak bangun, tapi Rayyan pula merengek minta 'nenen' lagi, tak jadilah saya bangun. Sambil 'nenen'kan Rayyan, saya tertidur lagi.

    Pukul 9 baru saya terjaga balik, Keena pun dah jaga. Kami terus bangun mandi. Rayyan dimandikan oleh pembantu saya. Sebelum ke pejabat rupanya suami belikan nasi lemak untuk sarapan saya dan anak-anak. Lepas sarapan, Keena buat kerja rumahnya, saya dan Rayyan tengok TV. Sambil tu, saya ajak Rayyan Iqra'. Tak sampai seminit, Rayyan dah sibuk nak main 'toys' dia. Saya biarkan aje. Saya habiskan masa pagi tu tengok 'movie' - Resident Evil - Afterlife & The Last Airbender. Lepas tu, sambung pula tengok CSIs. Tersedar yang saya asyik tengok TV je hari ni, lepas solat Zohor berjemaah dengan Keena, saya ajak Keena kemas almari bajunya. Dah lama sebenarnya saya nak pilih dan asingkan baju-baju Keena yang dia dah tak muat. Biasanya baju-baju tu saya hantar ke rumah mak saya dan mak saya akan bagi kepada orang susah di kampung. Dapat setengah plastik besar baju Keena yang dah tak muat.

    Lepas kemas, kami solat asar berjemaah. Rayyan tidur sejak lepas zohor tadi. Lepas solat asar, saya capai buku yang saya beli pada hari Jumaat di MPH Alamanda - Mendidik Anak Perempuan. Memang best lah buku tu. Saya akan kongsikan nanti apa yang saya dapat dari buku tu. Sambil baca buku, saya layan anak-anak main. Leka sangat baca buku dan layan anak-anak, tiba-tiba dah azan maghrib! Selesai azan, saya terus mandi dan solat Maghrib berjemaah dengan Keena. Siang tadi Keena dah telefon ayahnya ajak makan malam di luar malam ni. Jadi, lepas solat Maghrib, suami balik, kami siap-siap nak keluar. Keena ajak ke Metro Point Kajang, nak makan makaroni di Secret Recipe, katanya. Suami ikut saja. Saya nak makan lasagna, tapi dah habis. Jadi, saya pesan Fish & Chips. Suami makan nasi goreng, Rayyan makan burger dan kentang goreng.

    Lepas makan, kami jalan-jalan sekejap di Metro Point. Di kedai serbaneka, Keena minta beli buku tulis, kipas tangan bateri dan 'sticker glow in the dark' untuk lekat di dinding bilik dia. Saya belikan Rayyan buku dan kipas yang sama, supaya tak berebut. Saya juga beli bakul untuk mainan Rayyan dan beg sandang untuk barang-barang Rayyan kalau berjalan. Balik rumah pukul 9.30 malam, saya ajak Keena solat Isya' sebelum masuk tidur. Saya ingat nak tampal 'sticker glow in the dark' tadi dalam bilik Keena, tapi takut Keena tidur lewat nanti dia bangun lewat pula esok. Jadi saya cakap dengan Keena, esok saya akan tampalkan. Keena meragam juga sebelum tidur, katanya dia tak mengantuklah, minta bukakan lampu lah. Saya yang letih rasa nak marah juga, tapi saya cuba sabar. Lepas penat pujuk dan naik suara sikit (sebab dah tak boleh pujuk!), baru dia nak tidur, itupun dia dah mula menangis. Hai Keena... semoga Allah beri saya lebih kekuatan untuk hadapi dia. Memang banyak ragamnya...

    Keena dengan ayah...
    Posing yang ibu tak suka, tapi dia suka buat!
    Rayyan tengok lampu putih, dia kata "tu bulan!" :)
    Anak ibu yang cantik... semoga jadi anak solehah!
    Anak ibu yang hensem... semoga jadi anak soleh!
    TV yang belakang Rayyan tu ayah suka... ehem... ehem... :D
    Sambil jalan-jalan, sambil bergurau...
    Anak-anak kesayangan ibu...

    Ya Allah, aku sangat bersyukur dengan nikmat yang kau beri... suami yang baik, anak-anak yang cerdik, keluarga yang bahagia, Alhamdulillah... Andai kami ada dosa, maka ampunkanlah kami Ya Allah, kerana kami hanya hamba yang selalu lalai dan alpa. Semoga Kau redha dengan kami.

    Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

    Saturday, October 23, 2010

    Bismillahirrahmanirrahim...



    Hari ini hari Jumaat. Hari penuh barakah. :)

    Pagi-pagi lagi mak saya dah telefon, ajak saya bersarapan di rumahnya. Mak Ngah saya dari Kedah baru sampai, menghantar cucunya yang dibawa pulang ke kampung buat beberapa ketika. Kebetulan pula, setiap hari Jumaat, ayah saya tidak bekerja. Biasanya ayah akan hantar juga Mak Anjang (Nyang) saya yang menumpang saya ke pejabat, tapi disebabkan hari ini mak ajak saya bersarapan di sana, Nyang tunggu di rumah mak sahaja.

    Selepas Keena ke sekolah dan suami ke pejabat, saya terus ke rumah mak. Mak Ngah nampak sihat. Cuma nampak dia sedikit cengkung, walaupun sebenarnya Mak Ngah memang kurus orangnya. Lebih kurang macam ayah saya juga, susah nak gemuk! Mak Ngah datang dengan anak bongsunya, yang kami semua panggil Kak Cik, dan cucunya, Iman. Mak Ngah datang sebab nak hantar Iman balik ke rumah umminya, anak Mak Ngah juga, yang duduk di Seremban. Kami sarapan nasi lemak pedas dan goreng pisang. Saya tak jumpa pun Kak Cik dan Iman sebab mereka tidur. Penat naik bas mungkin.

    Keluar dari rumah mak pukul 8.30, saya sampai di pejabat pukul 9 pagi. Sebelum mula kerja, saya solat Sunat Dhuha dulu seperti biasa, cuma nak baca Al Ma'thurat tidak berkesempatan. Jadi, saya buka bacaan Al Ma'thurat di YouTube dan mendengarnya sahaja sambil mulakan kerja.

    Hari ini, saya minta izin bos untuk keluar sebentar untuk urusan peribadi. Saya ke Sri Petaling dengan adik saya untuk urusan pelaburan. Alhamdulillah, urusan selesai dan pelaburan saya ada hasil. :) Gembiranya hati saya, sambil ucap syukur tak terhingga pada Allah. Kami kemudiannya makan tengahari di The Manhattan Fish Market, Alamanda dengan 2 orang sepupu kami. Alhamdulillah, kami kenyang dan seronok makan di situ. :)

    Sebelum balik ke pejabat, kami singgah di MPH Bookstores, sebab sepupu saya ada cadangkan saya beli satu buku untuk buat persediaan jika anak-anak tanya tentang Allah dan benda-benda ghaib. Sepupu saya tahu anak saya suka bertanya itu dan ini. :) Tapi saya tak beli pun buku tu sebab kurang puas hati dengan jawapan-jawapan di dalamnya. Akhirnya, saya beli satu buku -  Mendidik Anak Perempuan tulisan Abdul Mun'im Ibrahim. Sepupu saya kata, buku ini bagus. Sebenarnya, banyak juga buku yang saya beli tapi saya belum baca! Tak apalah, kan? Saya ada cita-cita nak buat 'mini-library' di rumah. Mesti best! :D

    Solat Zohor dan Asar agak lambat juga hari ini, semoga Allah ampunkan saya. Bukan saya sengaja, tapi terleka dek timbunan kerja. Saya terasa hari ini kurang baik dari semalam sebab semalam saya berjaya solat awal. Tetapi Allah Maha Mengetahui. Saya berdoa semoga saya tidak tergolong dalam golongan yang celaka apabila hari ini lebih buruk dari semalam. Ya Allah, ampunkan hambaMu yang alpa ini...

    Hari ini suami ajak ke majlis BBQ di rumah kawan pejabatnya. Jadi, pulang dari pejabat, saya terus bersiap-siap dan minta pembantu siapkan anak-anak juga. Saya agak berat hati juga nak bawa Rayyan, sebab penyakit kaki tangan dan mulutnya itu. Walaupun sudah beransur baik, saya risau juga. Tapi, suami kata dia nak bawa Rayyan. Jadi, saya pun tak membantah, cuma berdoa agar Rayyan baik-baik sahaja. Lagipun, dah lebih seminggu Rayyan tak ke mana-mana dek penyakitnya itu. Kesian pula...

    Selepas solat Maghrib berjemaah, kami bertolak ke Puchong. Rayyan nampak seronok naik kereta, mungkin sebab dah lama tak berjalan-jalan! Saya pun seronok tengok dia seronok. Rayyan dah pandai menjawab bila saya tanya:
    Saya: Rayyan anak siapa?
    Rayyan: Ayah... (dengan pantas!)
    Saya: Rayyan sayang siapa?
    Rayyan: Ayah...
    Saya: Rayyan bucuk siapa?
    Rayyan: Ibu... (sambil senyum tersipu-sipu...)
    Saya: Rayyan cucu siapa?
    Rayyan: Atok...

    Alhamdulillah, nampak dah agak jelas juga cakap Rayyan. Saya dah lama bercadang nak ajarkan Rayyan mengaji. Mula dengan Aa, Ba, Ta, Tha... Tapi belum berjaya lagi sebab susah juga nak suruh dia duduk diam-diam. Biasanya sampai Tha atau Ja, dah tak mahu. Tapi saya tak putus asa, Insya Allah, saya akan terus cuba ajar dia. Semoga Allah beri kekuatan pada saya.

    Sampai di rumah kawan suami pukul 8.15, dah ramai tetamu yang sampai. Suami kenalkan saya pada semua kawan-kawan pejabatnya, ramai yang berbangsa Cina, tapi semua peramah dan baik. Tuan rumah, Farah, pun baik dan layan tetamu dengan ceria. Sempat juga dia berborak-borak dengan saya bertanya tentang anak-anak. Rumah Farah cantik, makanan yang dihidangkan pun sedap-sedap. Selain Ayam Bakar dan Ikan Bakar, ada makaroni sup, makaroni bakar dan steamboat! Saya makan steamboat yang pedas tapi sedap, ayam bakar dan makaroni bakar. Keena makan makanan kegemaran dialah, makaroni bakar. Rayyan makan main-main sebab pembantu saya dah suapkan bubur sebelum kami ke sini tadi. Alhamdulillah, kenyang juga walaupun sebenarnya teringin nak makan nasi sebab satu hari ni tak makan nasi lagi! Kami berbual-bual dan makan-makan sampai pukul 10. Perangai Keena - Masa orang lain beria-ia makan, dia beria-ia main. Bila suami ajak balik, tiba-tiba Keena kata dia lapar nak makan! Terpaksalah kami tunggu dia makan 2 ketul ayam bakar. Habis semua tetamu dah balik barulah kami balik! Kelakar juga... Seronok majlis BBQ malam ni, dan terima kasih kepada Farah sebab jamu kami makan macam-macam! Alhamdulillah...

    Sampai di rumah pukul 11 malam, Rayyan dah tidur dari dalam kereta. Keena pun dah mula mengantuk. Saya siapkan Keena untuk tidur, peluk dan cium dia sebelum dia tidur. Dia pun dah tak banyak cakap, letih dan mengantuk lah tu! Sebelum tidur, saya solat Isya'. Mata saya pun dah layu, langsung tak baca Al Mulk malam ni. Saya rebahkan diri di sebelah Rayyan sambil baca doa dan zikir. Pukul berapa saya terlelap, saya pun tak sedar, tapi memang tak lama selepas saya baring. Tengok muka Rayyan sedap tidur, lagi buat saya cepat-cepat nak lelap!

    Ya Allah, aku rasakan hari ini kurang baik jika dibandingkan dengan semalam. Sungguh aku tidak mahu tergolong dalam golongan yang celaka, Ya Allah. Ampunkanlah dosa-dosaku, Ya Allah. Semoga Kau beri kekuatan untuk aku tempuhi esok dengan lebih baik. Amin.

    Semoga Allah redha dengan saya.

    Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.