Tuesday, September 28, 2010

JADIKAN DIRIMU CONTOH TELADAN


Agak lama juga saya tidak mencoretkan apa-apa di dalam blog ini. Kurang kesempatan mungkin merupakan sebab utama, selain idea yang belum kunjung tiba. Tetapi semalam, sesuatu terjadi yang benar-benar menimbulkan keinsafan di dalam diri ini.

Ahad, 26 September 2010 (17 Syawal 1431) - Pada paginya, saya menjemput keluarga datang bersarapan pagi di rumah saya sambil beraya. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan meriah. Walaupun Makaroni Goreng saya kurang menjadi, nasib baik ada juadah-juadah lain yang dibawa oleh Mak - Laksa, Lempeng + Masak Lemak Cili Api Ayam & Goreng Pisang. Saya sempat juga buat Nasi Goreng & Cekodok Udang. Pak Long bawa Roti Canai, sepupu saya pula bawa Pizza & Sambal Goreng. Memang meriah meja makan di rumah saya pada pagi itu. Sayangnya, terlupa nak ambil gambar! Keluarga yang datang pun boleh tahan ramai. Saya gembira & bersyukur. Alhamdulillah...

Sebelah petangnya, adik saya pula jemput 'hi-tea' di rumahnya. Jadi, selepas asar, kami pergilah beramai-ramai. Insiden di rumah adik saya itulah yang tidak akan saya lupa.

Seperti biasa, puteri kesayangan saya - KEENA, yang sangat suka berpakaian cantik & bertudung ke mana saja dia pergi, akan mula menanggalkan tudungnya apabila dia mula rasa 'rimas'. Saya pun tidaklah terlalu tegas dengan dia tentang tudung, sebab dia masih 6 tahun. Masih kecil, pada saya. Bila Keena buka tudungnya, putera kesayangan saya - RAYYAN pula minta dipakaikan tudung Kak Longnya itu. Selepas saya pakaikan tudung kepada Rayyan, dia tersenyum tersipu-sipu apabila semua orang ketawa sambil mengusik dan memujinya - "Comelnya Rayyan...". Saya turut ketawa melihat gelagatnya. Adik saya kemudiannya menyuruh Rayyan bersalaman dengan semua orang. Lantas Rayyan pun mula bersalaman dengan datuk dan neneknya, dengan menggunakan tudung Kak Longnya sebagai lapik tangannya. Saya agak terkejut. Lantas adik saya berkata - "Tengok tu Rayyan salam macam ibu dia...". Pecah lagi ketawa semua orang. Saya tersenyum sambil di dalam hati, terbit satu keinsafan.

Betapa mudah anak sekecil Rayyan (1 tahun 7 bulan) mengikut apa yang saya, ibunya buat. Perbuatan melapik tangan ketika bersalaman itu pun bukannya setiap hari saya buat. Hanya apabila yang bukan mahram menghulur tangan untuk bersalaman dan saya pula mahu menjaga hati mereka, barulah saya lapik tangan dengan tudung saya. Itu pun dapat dilihat dan diingat oleh si kecil itu sehingga jadi ikutannya.

Jadi, bagaimana pula perkara-perkara yang saya lakukan setiap hari? Perkara-perkara yang sudah jadi kebiasaan? Andai kebiasaan itu memang suruhan Allah & Rasulullah SAW, saya amat bersyukur sekiranya Keena & Rayyan mudah mengikut. Tetapi andai kebiasaan itu merupakan kelemahan atau kepincangan diri saya yang perlu dibetulkan? Tahukah Keena & Rayyan kebiasaan mana yang wajar dan tidak wajar diikut? Mungkin Keena yang umurnya akan masuk 7 tahun boleh mengerti serba sedikit yang mana baik dan yang mana buruk. Itu pun panjang lebar soalan mencabarnya minta justifikasi kenapa A baik dan kenapa B buruk? Tapi bagaimana dengan Rayyan?

Pengajaran kisah di atas MUDAH - Jika ingin anak-anak jadi SOLEH & SOLEHAH, maka ibu & ayah mesti terlebih dahulu jadi SOLEH & SOLEHAH. Saya mahu Keena jadi seperti Saidatina Aisyah RA, maka saya mesti terlebih dahulu jadi seperti Saidatina Aisyah RA. Saya mahu Rayyan jadi seperti Junjungan Besar Muhammad SAW, maka saya perlu ikut Sunnah Junjungan. Bunyinya macam mustahil untuk jadi seperti Rasulullah SAW dan Saidatina Aisyah RA kerana mereka insan terpilih. Mereka insan istimewa yang Allah beri mukjizat dan kelebihan-kelebihan utama. Tetapi pada saya, tiada salahnya bercita-cita tinggi. Jika kita letakkan matlamat setinggi itu, maka usaha kita juga perlu bersungguh-sungguh ke arah itu. Dalam pada berusaha, permohonan kepada ALLAH SWT juga tidak kurang penting kerana sesungguhnya Dia Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

Saya pulang dari rumah adik saya dengan AZAM baru. Saya mahu jadi CONTOH TERBAIK untuk anak-anak saya. Dan saya juga mahu ajak suami bersama-sama jadi CONTOH TERBAIK buat anak-anak kami. Justeru, diri kami perlu diperbaiki. Ilmu kami perlu dipertingkatkan lagi. Akhlak kami perlu diperelokkan lagi. Ibadah kami perlu diperbanyakkan lagi. Mudah-mudahan Keena & Rayyan melihat Ibu & Ayah yang taat pada ALLAH, ikut Sunnah Rasulullah SAW, sayang dan kasih pada kedua orang tua & keluarga dan sentiasa berbaik-baik dengan semua makhluk Allah.

Semoga Allah SWT redha...


رَبِّ هَبْ لِى مِنَ الصَّـلِحِينِ


"Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak dari orang-orang yang SOLEH."
(Doa Nabi Ibrahim AS)


"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mengerjakan solat, Ya Tuhan kami, perkenankanlah doa kami. Ya Tuhanku, ampunkanlan daku dan kedua ibu bapaku dan sekelian orang-orang mukmin pada hari hisab nanti."
(Surah Ibrahim, 40-41)


Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada ALLAH.

Monday, September 27, 2010

KULLU 'AM, WA ANTUM BI KHAIR...

Agak terlewat juga, tetapi bak kata pepatah Inggeris, "the thought that counts!". Jadi, SALAM LEBARAN dari kami sekeluarga. Semoga diampunkan segala silap dan dosa. Juga ucapan penuh bermakna - KULLU 'AM, WA ANTUM BI KHAIR - "Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan..."