Innalillahi Wa Inna Ilaihi Roji'uun...
Al Fatihah buat:
- Ibu kepada birasku, Abang Teh Nazri atau lebih mesra dengan panggilan Ayah Wak di kalangan anak-anak. Ibunya yang sudah tua dan uzur telah dimasukkan ke hospital sejak 20 Ogos yang lalu.
- Abdul Ghani Liew Abdullah, suami kepada sahabat baikku, Saira. Ghani akhirnya pergi setelah dua tahun diuji dengan barah otak. Terakhir, beliau dimasukkan ke hospital sejak 28 Ogos yang lalu.
Perjalanan ke Kuala Selangor bagi menziarahi arwah ibu Ayah Wak diiringi alunan nasyid kumpulan Raihan,
"Ingat 5 perkara, sebelum 5 perkara, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, HIDUP SEBELUM MATI..."
Allahu Akbar, dengan kematian Allah sentuh hati hamba-Nya yang masih hidup. Lelaki atau perempuan, tua atau muda, bila tiba masa dicabut nyawa, tidak terlewat walau satu saat. Sihat atau sakit, kaya atau miskin, bila tiba masa tinggalkan dunia, tidak tercepat walau satu minit. Allahu Akbar.
Syukurilah nikmat sihat, kerana kesihatan membolehkan kita beribadah kepada-Nya; namun jangan lupa syukuri nikmat sakit, kerana sakit itu kadangkala menghapus dosa.
Syukurilah nikmat muda, kerana tenaga muda kita boleh disalurkan ke jalan-Nya; namun jangan lupa syukuri nikmat tua, kerana pengalaman yang tua boleh menjadi panduan bagi yang muda.
Syukurilah nikmat kaya, kerana kekayaan membolehkan kita bersedekah dan berzakat di jalan-Nya; namun jangan lupa syukuri nikmat miskin, kerana miskin harta tiadalah apa-apa berbanding miskin jiwa.
Syukurilah nikmat lapang, kerana kelapangan membolehkan kita beribadah dengan tenang kepada-Nya; namun jangan lupa syukuri nikmat sempit, kerana kesempitan mengajar kita erti kesabaran dan kebergantungan penuh kepada-Nya.
Syukurilah nikmat HIDUP, kerana selagi hidup, selagi itu ibadah dan pahala dihitung buat bekalan apabila mati. Dan syukurilah jua nikmat MATI, kerana itulah jalan untuk bertemu CINTA ABADI.
No comments:
Post a Comment