Wednesday, August 25, 2010

diari Ramadhan 25 - hari penuh hiba


sudah 25 hari Ramadhan berlalu. sana sini, lagu raya mula berkumandang. sebenarnya, lagu raya dah mula berkumandang sejak hari pertama puasa di setengah-setengah tempat. di pejabat saya sendiri, semua sibuk menghias. gantung ketupat, gantung lampu. tanda tak sabar-sabar nak sambut hari raya.

seronok juga tengok suasana begitu. sambil buat kerja, semua orang menyanyi-nyanyi sendiri lagu raya. mana yang gantung lampu, berkelip-kelip lampu menyala. meriah.

tapi, ada satu keluhan berat jauh di sudut hati. susah juga nak dengar keluhan itu sebab terlalu perlahan. ditenggelamkan dek lagu-lagu raya yang rancak. tapi saya cuba juga nak dengar keluhan itu. dari sejak pagi, saya cuba diamkan diri, dan akhirnya saya rasa saya berjaya mendengarnya.

risau. sudah masuk 25 hari puasa. bagaimana pencapaian saya agaknya di mata Yang Esa?

sejak 5 hari lepas, fitrah wanita datang melanda saya, menyebabkan ibadah yang cuba saya tingkatkan, jadi tergendala. tapi saya cuba juga buat apa yang boleh. dengar ayat-ayat suci al quran, zikir puji-pujian kepada Allah, dengar tazkirah, ceramah, tonton rancangan-rancangan 'membina' di tv, nyanyi lagu nasyid dengan anak-anak, masak juadah berbuka yang sedap-sedap untuk suami, ya, apa saja yang masih dikira ibadah. saya cuba. rugi juga rasanya tak dapat mengecapi 10 malam terakhir ramadhan, tapi saya yakin Allah Maha Mengetahui. saya berserah saja pada-Nya. doa saya, semoga dapat saya cari juga sesuatu di 10 malam terakhir ini. kalau tak dapat pada malam 10, 9, 8, 7, 6 dan 5, mungkin pada malam 4, 3, 2 dan 1. insya allah.

itu sebab pertama saya agak hiba.

saya juga hiba apabila masih ada yang tidak bersyukur di kalangan kita dengan bonus raya yang kita dapat. hiba juga apabila di ajak berbuka di hotel-hotel mewah, kita seronok. tapi bila di ajak berbuka di dalam khemah, juadah ala kadar catering & ada aktiviti solat terawikh selepasnya, kita mencebik.

na'uzubillah, begitukah rupanya iman kita semua? ramadhan yang bakal berlalu, tiadakah iktibar yang kita ambil darinya? tiadakah walau sekelumit kesedaran tentang hakikat hidup kita?

saya pun masih bertatih hendak mencapai 'solehah'. pada saya, semua wanita patut jadikan gelaran 'solehah' itu sebagai cita-cita. walaupun sukar, hampir mustahil untuk mencapai darjat 'solehah' setaraf dengan wanita-wanita solehah pada zaman Rasulullah SAW, pada saya, kita mesti buat yang terbaik untuk dapatkan 'solehah'. the end result - sama ada dapat atau tidak, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. yang penting, usaha kita, istiqomah kita, meraih 'solehah'.

justeru, bila dapat bonus raya, walau sebanyak atau sedikit mana, sebagai seorang yang ingin meraih 'solehah', kita patut ucap syukur ALHAMDULILLAH. masih ada rezeki yang Allah ingin bagi pada kita, di saat masih jauh kita daripada-Nya. juga, bila di ajak berbuka puasa ala kadar, selebihnya solat terawikh berjamaah, sebagai seorang yang ingin meraih 'solehah', kita patut rasa seronok hendak merebut peluang itu. masih ada peluang untuk mendapat pahala & redha Allah, di saat kita jarang-jarang ingat pada-Nya. subhanallah, banyaknya nikmat Allah yang kita tak perasan?

dalam keberkatan bulan Ramadhan yang masih berbaki, saya tadahkan tangan memohon kepada Allah agar kita semua diberi petunjuk dan hidayah-Nya. juga, kita harus ingat, petunjuk & hidayah Allah takkan datang begitu sahaja tanpa kita berusaha untuk mendapatkannya. semoga kita semua diberi kekuatan untuk mendekatkan diri kepada Allah, agar diberi petunjuk & hidayah-Nya, dalam usaha kita mencapai 'solehah'. Amin.

saya masih hiba.

Tuesday, August 17, 2010

diari Ramadhan 7 - hari penuh dugaan



pejam celik, pejam celik, hari ini sudah masuk 7 hari aku 'cuba' menjalankan ibadah puasa. semoga dengan bertambahnya hari, bertambah jugalah tahap kejayaanku untuk benar-benar berpuasa. seawal pagi selepas bersahur dengan puteri kesayanganku, keena, aku bertadarrus al quran. dengan harapan tulus mulus agar hari ke 7 ramadhan ini dapat kulalui penuh insaf, penuh sabar. keena, selepas sahur, tidur semula. memang kebiasaannya begitu, dan aku pula tidak pernah menghalang kerana kasihan juga dengan puteriku itu. mana mungkin anak kesayanganku itu mengerti kelebihan beribadat dalam waktu sahur, sementara menunggu waktu subuh? yang dia tahu, dia masih mengantuk. aku cukup bersyukur dia mahu bangun sahur dan mahu berpuasa. semoga aku bersabar mendidiknya untuk melakukan ibadah-ibadah lain juga. amin.

selepas aku bersiap-siap, aku kejutkan keena supaya bersiap untuk ke sekolah. sudah 2 hari keena tidak ke sekolah. semalam aku diuji dengan migrain. tidak dapat bangun untuk ke pejabat. bila aku tidak bangun, keena pun ikut tidur hingga tidak ke sekolah. hari jumaat lepas pun keena tidak ke sekolah. kesnya sama, susah hendak dikejutkan semula bila tidur selepas sahur. nampaknya hari ini, Allah ingin menguji aku lagi. keena susah hendak dikejutkan. beberapa kali aku ajak dia ke bilik air dengan suara lembut, tetapi dia masih merengek-rengek di atas tilam, tidak mahu bangun. teruji sungguh kesabaranku. tetapi aku menahan diri daripada marah. aku cuba mengugut - yang aku akan tinggalkan dia sekiranya dia tidak bangun bersiap. rengekannya bertukar menjadi tangisan. lama kelamaan, tangisannya bertukar menjadi amukan. itu memang pekara biasa dengan keena. namun, aku tetap memandikan dia dan menyiapkan dia untuk ke sekolah. dia terus mengamuk, menangis, menjerit, membentak. aku lantas membuat keputusan - keena perlu didenda. lalu aku memberitahu dia yang aku tidak akan menjemput dia dari sekolah pada hari ini sebagai denda 'amukan'nya itu. keena lebih kuat menangis dan mengamuk. dia menjerit-jerit meminta aku menjemputnya juga. aku pula tetap dengan pendirianku. keena perlu diajar begitu, bukan semua yang dia mahu, dia akan dapat.

apabila dia tidak mahu masuk ke dalam kereta untuk ke sekolah, aku tidak dapat lagi mengawal amarahku, lalu aku mencubit keena kuat, di pehanya. dia menjerit kesakitan, tetapi dia akhirnya masuk ke dalam kereta. aku terus sahaja menghantarnya ke sekolah, walaupun dia terus menangis. selepas itu, aku terus ke pejabat. dalam perjalanan ke pejabat, aku terfikir-fikir sendiri adakah tindakan aku itu wajar? aku sendiri tidak dapat memutuskan apakah patut atau tidak aku biarkan keena balik dari sekolah dengan van pada hari ini. atau patutkah aku berikan keena peluang sekali lagi? jujurnya, aku lebih cenderung untuk pergi menjemputnya dan berikan dia peluang sekali lagi. tapi sekiranya dia masih 'buat perangai' begitu selepas ini, aku akan betul-betul mendendanya. aku sendiri buntu apa yang patut aku buat?

sekarang 10.30 pagi. ada baiknya aku solat dhuha dahulu. mungkin Allah akan berikan petunjuk-Nya nanti.

sambungan...

selepas solat dhuha, semacam ada dialog di hati ini:

a: kenapa mesti berkasar dengan keena tadi?
b: habis tu, nak buat macam mana lagi? dah puas dipujuk, dah puas berlembut, tapi keena macam tu juga. mungkin sekali sekala kena berkasar, kalau tak nanti dia akan rasa tak apa buat perangai macam tu.
a: betul ke macam tu? atau pun sebenarnya kalau terus berlembut, lebih baik?
b: rasanya tadi dah habis lembut dah mula-mula tu, tapi bila dia tetap buat perangai, baru naik angin sikit. itupun tak naik angin sangat, cuma cubit dia sikit je.
a: cubit sikit pun, dia tetap rasa sakit. mungkin sakit cubit tu boleh hilang tanpa kesan, tapi 'sakit' di hati dia, mana kita tahu? boleh ke kita didik dan asuh dia, lembutkan hatinya, kalau hati dia selalu 'sakit' dengan kita? ambil contoh diri kita sendiri - kalau orang yang selalu sakitkan hati kita, suruh kita dengar cakap dia, mahu ke kita dengar cakap dia?
b: (diam).(fikir).
a: kenapa terlalu pentingkan diri sendiri? hati sendiri? bagaimana dengan hati anak itu yang kau panggil puteri kesayanganmu? hati anak itu yang merupakan amanah Allah padamu? hati anak itu yang masih mentah. masih mudah dilentur mengikut acuan yang kau tetapkan. hati yang dicorakkan mengikut apa yang kau tunjukkan. kau tunjukkan marah, maka jadi marahlah hati itu. kau tunjukkan benci, maka jadi bencilah hati itu. itukah yang mahu kau jadikan di hati anak itu?
b: (terus diam). (tunduk ke bumi). (sesal).
a: sesal pun sudah tidak berguna lagi. terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, terlajak laku, bermakna syaitan dah berjaya!
b: habis tu, apa nak buat sekarang?
a: taubat kepada Allah. minta maaf dari anak kesayanganmu itu. berazam di dalam hatimu, perkara seperti ini tidak akan berulang lagi. pada anakmu itu, tunjukkan kasih sayang penuh belas kasihan. tunjukkan cinta dan rindu. tunjukkan belaian, pelukan dan ciuman. maka dalam hatinya nanti akan penuh dengan semua itu. di sana nanti, kau akan lihat betapa mudahnya melentur hatinya mengikut jalan yang benar.
b: ya Allah, ampunkan keterlanjuranku. hanya kepadaMu aku memohon petunjuk dan hidayah. janganlah dipalingkan semula petunjuk dan hidayahMu setelah Kau perkenankan kepadaku. berikanlah aku kekuatan untuk mencorakkan yang terbaik buat teladan anak-anakku. berikanlah aku kasih sayangMu, redhaMu, untuk kupanjangkannya buat anak-anakku. semoga dengan kasih sayang & redha itu, ikatan cinta kami bertambah kuat hanya untukMu, hanya keranaMu, ya ALLAH...

lalu aku bergegas meminta kebenaran bos untuk keluar sebentar menjemput keena di sekolah. sebaik melihat wajah gembira keena melihatku, air mataku hampir gugur. terbayang wajah sedih keena pagi tadi bila mana aku marahkan dia. aku berdoa lagi - semoga wajah gembira anak-anakku akan sentiasa di mataku, menjadi perisai tatkala diri dirasuk syaitan dengan amarah. semoga amarah itu akan hancur lebur dengan alunan hilai tawa anak-anakku yang kuharap sentiasa di telinga ini. ya Allah, hanya padaMu aku memohon. amin.

Wednesday, August 11, 2010

diari Ramadhan 1 - hari penuh kesyukuran




syukur alhamdulillah, semalam aku diberi kesempatan untuk solat isya' dan solat terawih pertama di masjid. ada beberapa sebab kenapa ia begitu bermakna:

1) masjidnya - masjid kg rinching hulu. masjid di mana ayahku menghabiskan banyak masanya di situ sebagai imam masjid. aku bangga dan bersyukur.
2) solat terawih di masjid rinching itu ajakan suamiku. aku bersyukur lagi.
3) solat bersama-sama puteri kesayanganku, keena. alhamdulillah, keena dapat ikut semua solat; solat sunat tahiyyatul masjid, solat sunat isya' qabliyyah, solat isya', solat sunat isya' ba'diyyah, solat terawih & solat witir. walaupun mengeluh letih, panas dan takut (sebab lampu dan kipas tiba2 terpadam di masjid. mungkin dugaan, mungkin juga hikmah!), keena sabar duduk di sebelahku. aku bersyukur lagi dan lagi.

tazkirah selepas solat isya' semalam menarik juga. tentang azam di bulan ramadhan. contohnya mudah, kalau ramadhan tahun lepas hanya buat solat terawih 8 rakaat, berazamlah ramadhan tahun ini nak buat 20 rakaat! sama juga dengan amalan lain. kalau selama ini hanya buat solat yang wajib, berazamlah ramadhan ini nak tambah dengan solat yang sunat. kalau selama ini baca al quran sekali sehari, berazamlah ramadhan ini nak baca al quran 5 kali sehari, setiap kali lepas solat! :)

pagi tadi, alhamdulillah, dapat ajak keena bangun sahur. kami makan nasi impit dengan kuah kari & ayam goreng. semua tapau dari rumah mak semalam. keena minta teh tarik. aku buatkan dengan senang hati. :) lepas sahur, keena sibuk kemas beg sekolah, semalam dapat beg baru ana muslim, terus nak pakai. sebenarnya beli beg tu untuk darjah 1 nanti! takpelah, janji keena happy! :) keena tengok cerita qalesya sementara tunggu nak solat subuh. aku ambil wudhu', capai tafsir al quran dan mula baca dari surah al baqarah.

solat subuh dengan keena pukul 6 pagi. lepas solat, keena kata dia mengantuk. aku suruh dia tidur sekejap. aku capai al ma'thurat dan mula baca. pukul 6.45 aku mandi dan bersiap-siap. pukul 7.15 kejutkan keena dan siapkan dia nak ke sekolah. keena minta bulan puasa ni supaya aku hantar dan ambil dia dari sekolah. dia juga minta nak ikut aku ke ofis lepas sekolah. aku setuju. apa saja untuk puteri kesayanganku, asalkan dia mahu puasa. :)

sampai di ofis jam 8.15, ambil wudhu' dan sambung baca al ma'thurat yang tak sempat habis lepas subuh tadi. bulan puasa, waktu kerja 8.30 hingga 4 petang. yang agak sedih sikit, waktu rehat tengahari dipendekkan, mula 12.30 hingga 1 tengahari. aku ada cerita-cerita dengan kak ngah nak buat tadarrus al quran di ofis bulan puasa ni. tapi kalau rehat cuma setengah jam, sempat ke bertadarrus? lalu semalam aku tanya bos a.k.a kak long, boleh ke panjangkan sikit waktu rehat jadi 1 jam (12.30 - 1.30). jadi 1.30 boleh terus solat zohor berjamaah. kak long kata nanti dia bincang dengan kak lang. alhamdulillah, semoga dibuka pintu hati mereka untuk luluskan permohonan kami. :)

11.15 pagi - minta kebenaran bos untuk keluar sekejap ambil keena di sekolah. alhamdulillah, aku dapat bos yang amat memahami. muka keena berseri-seri nampak ibunya sampai. dan aku, ibunya, gembira. :)

12.00 tengahari - sampai semula di ofis dengan keena. keena buat homework, aku sambung buat kerja.

12.30 tengahari - tadarrus al quran. alhamdulillah, ada 6 orang datang untuk turut serta. (sambutan yang tidak begitu menggalakkan, tapi tak apalah, mungkin esok lusa lebih ramai akan datang!) aku dapat juzu' 4 (surah ali imran & an nisaa'). tak sempat habis baca pada waktu setengah jam rehat. semua ahli tadarrus diminta habiskan di rumah dan esok akan dapat juzu' baru.

1.30 tengahari - solat zohor dengan keena. indah saat itu. :)

2.00 petang - dugaan ramadhan; keena mula mengadu haus, lapar. tapi aku pujuk juga. lekakan dia dengan mewarna carta ramadhan adik yang aku download dari blog kak cik @keluargakusayang.blogspot.

4.00 petang - keena mula menangis, minta nak minum sikit je... :) aku pujuk lagi. balik dari ofis, dalam kereta dia mula menangis-nangis mengamuk nak minum. aku masih sabar pujuk dia.

4.30 petang - sampai rumah, ajak keena mandi. ajak dia solat asar, tapi dia dah letih sangat menangis, aku ajak dia tidur dulu. alhamdulillah, dia tidur. aku solat asar & baca al ma'thurat.

5.30 petang - mula siapkan juadah untuk berbuka. tadi keena cerita kawan-kawan yang tak puasa di sekolah makan maggie goreng. jadi dia pun teringin maggie goreng. juadah berbuka hari ini - maggie goreng & cekodok udang. :)

7.00 petang - mandi bersihkan diri, siap-siap untuk berbuka. kejutkan keena tersayang. alhamdulillah, keena berjaya puasa penuh hari ini. alhamdulillah.

7.45 malam - lepas berbuka ala kadar, solat maghrib berjemaah dengan abang & keena. syukur alhamdulillah di atas nikmat ini. lepas solat, keena minta tengok dia baca iqra'. alhamdulillah. lepas dia habis iqra', aku sambung tadarrus juzu' 4.

8.30 malam - solat isya' & terawih berjemaah dengan abang & keena. syukur alhamdulillah. keena happy sikit sebab ayahnya buat 8 rakaat je, tak panjang sangat macam kat masjid semalam. :)

9.30 malam - habis solat terawih & witir, ingat nak bermanja-manja dengan rayyan. tapi dia dah tidur. kesian anak ibu, keletihan juga macam orang puasa. :) aku moreh dengan maggie goreng sambil tengok tv sekejap.

11.00 malam - ingat nak sambung tadarrus, tapi rayyan terjaga. tidurkan dia balik, aku pun tertidur sekali. :)