Saturday, November 12, 2011

KISAH RUMAISYA

Nama penuhnya ialah RUMAISYA BINTI MILHAN. Beliau adalah ibu kepada Anas bin Malik. Keturunan bangsawan dari kabilah Ansar suku Khazraj. Memiliki sifat keibuan dan berwajah manis menawan. Berfikiran cerdas dan bersikap tertib, berhati-hati, matang serta berakhlak mulia. Beliau merupakan salah seorang wanita pertama memeluk Islam dan juga seorang wanita solehah yang istimewa di mata Rasulullah SAW.

Suaminya, Malik bin Nadhir, tidak memeluk Islam seperti Rumaisya dan sangat marah apabila isterinya memeluk Islam, dan mengajarkan pula Islam kepada anak mereka, Anas. Dalam keadaan marah, Malik telah keluar dari rumah dan dibunuh pula oleh musuhnya di tengah jalan. Biar pun kematian suami, Rumaisya tetap tabah membesarkan anaknya, Anas dan telah berjanji untuk tidak berkahwin lagi sehingga Anas sendiri yang menyuruhnya.

Apabila Anas meningkat remaja, Rumaisya membawa Anas bertemu Rasulullah SAW dan menyerahkan satu-satunya anak kesayangannya itu untuk menjadi pembantu Baginda. Rasulullah SAW pula menerima Anas dengan rasa gembira.

Rumaisya kemudiannya telah dilamar oleh seorang bangsawan musyrik yang bernama Abu Thalhah, tetapi ditolaknya pinangan itu walaupun Abu Thalhah menawarkan mas kahwin yang banyak. Rumaisya tidak tergoda sedikit pun dengan kesenangan dan kemewahan dunia yang sementara yang dijanjikan oleh Abu Thalhah, tetapi sebaliknya memberi syarat supaya Abu Thalhah memeluk Islam terlebih dahulu. Abu Thalhah yang kagum dengan sifat Rumaisya yang langsung tidak memandang kekayaan, terus memeluk Islam dengan rela hati dan menikah dengan Rumaisya.

Diriwayatkan oleh Tsabit dari Anas - "Aku tidak pernah mendengar mas kahwin yang lebih mulia daripada mas kahwin Rumaisya binti Milhan iaitu keislaman suaminya."

Rumaisya dan Abu Thalhah dikurniakan seorang anak iaitu Abu Umair, namun, Allah SWT ingin menduga pasangan ini lalu Abu Umair jatuh sakit dan telah meninggal dunia. Sewaktu anak mereka meninggal dunia, Abu Thalhah tiada di rumah kerana menunaikan solat berjemaah di masjid. Apabila beliau pulang dan bertanyakan khabar anaknya, isterinya Rumaisya menjawab dengan penuh tenang bahawa anak mereka sudah semakin sembuh kerana tidak mahu menyedihkan hati suaminya. Ternyata Rumaisya adalah seorang isteri yang sangat tabah dan sabar. Jawapannya membuatkan suaminya berasa senang hati dan terus tidur kerana terlalu letih.

Keesokan harinya, barulah Rumaisya memberitahu suaminya tentang pemergian anak kesayangan mereka ke Rahmatullah, itu pun dengan pertanyaan penuh hikmah:

"Wahai suamiku, apa pendapatmu jika ada orang yang meminjamkan barang kepada kita dan sekarang dia mahukan barang yang dipinjamnya itu kembali? Patutkah kita memulangkannya?"

Lalu Abu Thalhah menjawab dengan penuh yakin, "Sudah tentu sekali kita perlu memulangkannya!"

"Wahai suamiku, oleh itu, redhakanlah pemergian anakanda Abu Umair kerana Allah SWT yang telah meminjamkan Abu Umair kepada kita, telah pun mengambil kembali barang pinjamanNya itu."

Walaupun sangat terkejut dan sedih dengan berita itu, Abu Thalhah menerima dan redha dengan ketentuan Ilahi. Mereka kemudiannya telah pergi bertemu dengan Rasulullah SAW untuk mengkhabarkan tentang kematian anak mereka. Rasulullah SAW mendoakan Rumaisya & Abu Thalhah - "Semoga Allah SWT memberikan barakah pada malam pengantin kalian berdua."

Rumaisya & Abu Thalhah dikurniakan pula seorang lagi anak lelaki yang diberi nama Abdullah bin Thalhah oleh Rasulullah SAW. Abdullah bin Thalhah pula dikurniakan dengan 7 orang anak lelaki yang kesemuanya bergelar 'Hafiz'.

Rumaisya binti Milhan adalah seorang wanita solehah istimewa yang dijanjikan syurga. Sabda Rasulullah SAW: "Aku bermimpi memasuki syurga, dan ternyata di sana ada Rumaisya binti Milhan!"

Ya Allah, semoga anak kami KASREENA RUMAISYA BINTI KAMARUL akan jadi srikandi Islam,
persis RUMAISYA BINTI MILHAN... Ameen...

Nota Ibu: Kisah Rumaisya telah Ibu ceritakan pada Keena pada suatu malam sebelum Keena tidur. Daripada riak wajahnya, Ibu tahu Keena sangat gembira dengan cerita 'dirinya' itu. Terima kasih nenek Keena kerana memberikan nama 'Rumaisya' kepada Keena lebih 7 tahun yang lalu. Semoga Keena akan jadikan Rumaisya binti Milhan dan semua srikandi Islam sebagai idola hidup Keena.

1 comment: