Thursday, July 12, 2012

Cerita Tudung Labuh

"Akak baru balik umrah ke?" soalan yang terpacul keluar dari mulut adik yang biasa saya beli makan tengahari di kedainya. Saya sedikit tersentak lalu pantas menggeleng, "Taklah.." Belum sempat saya tanya kenapa dia tanya begitu, dia terus berkata, "Cantik akak pakai macam ni..." Saya hanya tersenyum. 

Tudung ni lah yang saya pakai hari ni... ;)

Saya tersenyum bukanlah kerana 'kembang' dengan pujian adik tu. Tapi saya tersenyum kerana soalan adik tu mula-mula tadi. Tudung labuh yang saya pakai hari ini menjadi penyebab adik tu bertanya adakah saya baru balik umrah. Agaknya dia tak pernah nampak saya pakai tudung labuh macam ni, tu yang dia rasa pelik dan bagi soalan 'cepumas' tu kat saya.

Jauh di sudut hati, saya rasa sangat bersyukur. Mungkin saya bersyukur kerana Allah gerakkan hati saya untuk terus berusaha menutup aurat dengan sebaik mungkin, walaupun belum berkesempatan menunaikan umrah. Kenyataannya, hanya Allah yang Maha Mengetahui betapa kuatnya keinginan saya untuk ke Tanah Suci. 

Astaghfirullah, takutnya kalau riak dengan perasaan sendiri. Tapi apa yang saya nak kongsikan ialah betapa Allah itu Maha Pengasih & Maha Penyayang. Insya Allah, kalau kita niat dengan ikhlas nak jadi lebih baik dan selalu berdoa kepada-Nya, Allah pasti akan bantu, tak kira di mana kita berada, tak kira di mana kita berdoa. Saya tak nafikan mustajabnya doa di Tanah Suci sebab nyata dah terbukti doa mak untuk saya di Jabal Rahmah termakbul. (Nota: Mak doakan saya dapat jodoh yang baik. Dan masa mak di Tanah Suci itulah saya mula kenal dengan suami saya! Alhamdulillah...) Tapi, doa yang diiringi kesungguhan, keikhlasan dan airmata keinsafan, walaupun berdoa di mana-mana bumi Allah ini, pasti tetap juga akan termakbul, Insya Allah.

Tudung labuh yang saya pakai hari ni dah lama saya beli dari Tudung Nur tapi hanya sekali sekala sahaja saya pakai sebab saya dah terlalu biasa dengan tudung instant yang pakai sarung je tu. Tudung labuh yang macam Tudung Nur ni saya ada 2-3 helai. Tak tahulah kalau lepas ni bertambah koleksi tudung labuh yang macam 'budak sekolah agama' ni dalam almari saya! Saya hanya berdoa mohon yang terbaik. Apa pun, peringatan untuk diri sendiri, bertudung labuh bukanlah bererti kita lebih baik daripada yang tidak bertudung labuh. Dan Na'uzubillah, janganlah kita bertudung labuh kerana hendak tunjukkan pada orang yang kita ni baik. Tapi biarlah niat kita melabuhkan tudung itu untuk mencari keredhaan & kasih sayang Allah. Allah Maha Mengetahui apa yang tersirat di hati kita semua. 

Satu perasaan yang lebih teruja, soalan adik tadi membuatkan keinginan saya untuk ke Tanah Suci lebih membuak-buak! Semoga Allah izin, satu hari nanti...

Ya Allah, semoga Kau beri kekuatan kepada hamba-Mu yang hina penuh dosa ini untuk jadi lebih baik, dalam apa jua keadaan, walau di mana pun aku berada. Kerana sesungguhnya aku tahu Kau sentiasa bersamaku.


No comments:

Post a Comment