Friday, October 22, 2010

Syukur



Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, Allah beri saya hidup lagi hari ini dengan sejuta nikmat. Syukur.

Rutinnya, pagi saya akan bangun mandi pada pukul 6. Saya sedang cuba sebenarnya nak bangun lebih awal, jadi saya boleh solat sunat sebelum masuk waktu Subuh. Tapi, buat masa ni masih belum berjaya. Saya bukan nak buat alasan tapi sebabnya mungkin tidur saya kadang-kadang terganggu juga kerana Rayyan masih menyusu badan. Syukur Allah beri susu saya masih ada hingga hari ini, pada masa umur Rayyan sudah masuk 1 tahun 8 bulan.

Selepas solat subuh, saya akan bangunkan anak perempuan kesayangan saya, Keena, untuk bersiap ke sekolah. Saya sedang cuba sebenarnya nak bangunkan Keena lebih awal supaya dia boleh solat Subuh dengan saya, tapi jauh di sudut hati, kesian pula nak bangunkan dia awal-awal pagi. Jadi percubaan saya yang ini pun masih belum berjaya. Biasanya pada waktu ini, anak lelaki kesayangan saya, Rayyan, masih nyenyak tidur.

Selepas saya mandi dan siapkan Keena, kami sarapan bersama-sama dengan suami saya sekali. Biasanya sarapan pagi yang ringkas-ringkas sahaja, roti dengan jem atau 'western style' - scramble egg, baked beans & sausages. Cuma kadang-kadang kalau saya rajin sikit, saya akan buat mee goreng atau bihun goreng. Bab sarapan ni, sebenarnya saya sedang cuba nak disiplinkan balik diri saya untuk ambil Herbalife. Masalahnya, (alasan lagi...) Keena selalu ajak saya breakfast sama-sama dia sebelum dia pergi sekolah. Kesian pula kalau tak  turuti permintaan dia. Jadinya, percubaan yang ini pun belum berjaya lagi nampaknya.

Biasanya, van sekolah Keena akan sampai pukul 7.40 pagi. Selepas hantar Keena naik van, saya akan 'hantar' suami pula ke pejabat. Maksud 'hantar' - salam dan cium tangan suami. Suami akan balas dengan cium tangan saya juga dan dua kucupan di pipi saya, satu kanan dan satu kiri. Wah, macam sudah terlebih kongsi. :)

Seterusnya, giliran saya pula ke pejabat. Buat masa ini, makcik saya tumpang saya sebab kebetulan kami satu pejabat. Tiap-tiap pagi ayah saya akan singgahkan makcik saya ni di rumah saya. Biasanya kami keluar dari rumah pukul 8 pagi. Sebelum sampai pejabat, kami biasa singgah minum di kedai-kedai di Bandar Baru Bangi. Kedai yang selalunya jadi pilihan ialah Restoran Asam Pedas atau D Limau Nipis. Saya paling suka Restoran Asam Pedas sebab ada banyak pilihan makanan! Jadi sekarang semua tahu kenapa sarapan pagi saya di rumah tadi ringkas-ringkas sahaja! :D

Saya dan makcik biasanya antara yang terawal sampai di pejabat. Waktu pejabat kami ialah dari 9.30 pagi hingga 5.30 petang. Biasanya, sampai sahaja di pejabat lebih kurang pukul 8.30 pagi, saya akan periksa emel dahulu, dan buka blogger sebab saya suka sangat baca blog-blog yang saya sedang ikut. Jujurnya, mula dengan membaca blog lah yang membuka pintu hati saya untuk membuat perubahan dalam hidup saya. Blog pertama yang saya ikut ialah blog Ummu Husna atau Ustazah Noraslina Jusin. Memang best! Saya masih ikut blog itu sampai hari ini. Satu lagi blog yang saya mula-mula ikut ialah blog Kak Cik iaitu Keluargaku Sayang. Pun best juga! Selepas beberapa lama, saya mula ikut blog-blog lain untuk tujuan menambah ilmu dan pengalaman. Pada masa yang sama, saya ber'FB' juga, untuk ikut perkembangan kawan-kawan. Pukul 9 pagi biasanya saya solat Sunat Dhuha dan baca Al Ma'thurat sebelum mula kerja. Alhamdulillah, saya cuba konsisten dengan ini setiap pagi. Semoga Allah beri saya kekuatan.

Kerja saya - Pastikan Jabatan Akaun di syarikat ini berjalan lancar. Alhamdulillah, setelah 6 tahun bekerja di sini, saya sekarang bergelar 'Pengurus Akaun' syarikat. Memang namanya nampak gah, tetapi hanya Allah yang tahu betapa kerdilnya saya rasakan diri saya untuk pegang jawatan itu. Ilmu bukannya banyak, pengalaman pun tak seberapa, tapi diberi kepercayaan sebegitu tinggi. Mungkin ada yang kata apalah sangat jawatan 'Pengurus Akaun' tu? Tapi bagi saya, gelaran itu cukup tinggi untuk diri saya yang tak seberapa. Apa pun, saya bersyukur dengan nikmat Allah, mungkin ada yang Allah mahu saya lakukan di syarikat ini. Semoga Allah redha dan beri petunjuk pada saya.

'Lunch Time' kami mula pukul 1 hingga 2 petang. Biasanya saya akan keluar dengan sepupu merangkap teman baik saya untuk makan tengahari. Restoran yang jadi pilihan pun di sekitar Bandar Baru Bangi juga, Restoran Asam Pedas atau Nasi Ulam. Bab makan tengahari ni pun sebenarnya saya sedang cuba nak disiplinkan diri hanya dengan Herbalife. Tapi masih belum berjaya. Wah, banyak juga percubaan-percubaan saya yang belum berjaya! Kena usaha lebih kuat ni!

Balik dari 'lunch', solat Zohor dulu sebelum sambung kerja lagi. Lagi satu yang buat saya sangat bersyukur kerja di sini ialah tiada halangan untuk bersolat. Maksudnya tiada had masa yang ditetapkan untuk kita solat. Kita boleh solat selama mana yang kita suka, tapi pandai-pandailah, jangan sampai kerja terbengkalai pula. Saya sendiri boleh solat dengan tenang di dalam bilik saya, Alhamdulillah. Syukur bos bagi bilik! :) Masuk sahaja waktu Asar, saya berhenti bekerja dan solat dahulu. Biasanya, kalau tidak terlalu sibuk, saya akan luangkan sedikit masa untuk Al Ma'thurat selepas solat Asar. Alhamdulillah, saya cuba juga konsisten dengan ini setiap petang. Semoga Allah beri saya kekuatan.

5.30 petang - Masa yang ditunggu-tunggu, masa balik! Biasanya saya terus balik ke rumah, tapi hari ini ada urusan masukkan duit kepada adik saya yang sedang belajar di KLMU. Selepas masukkan duit untuk dia, saya sempat sms kepadanya supaya gunakan duit tu dengan bijak. Sempat juga selitkan pesanan supaya tidak belanja untuk rokok yang hanya akan merosakkan. Saya pesan lagi, supaya berjimat cermat. Semoga pesan saya terkesan dihatinya. :)

Hari ini saya sampai di rumah agak lewat kerana singgah membeli barang-barang dapur di Billion. Tapi, Alhamdulillah, masih sempat masak. Walaupun saya ada pembantu, saya akan pastikan saya yang memasak untuk makan malam. Bukannya masakan pembantu saya tu tak sedap, tapi saya lebih selesa menyediakan makanan sendiri untuk suami dan anak-anak. Cukuplah anak-anak kesayangan saya makan masakan pembantu pada tengahari nya, saya mahu juga anak-anak dan suami makan air tangan saya. Saya cuma minta pembantu saya sediakan sahaja bahan-bahannya. Menu hari ini - Sup Ayam & Kentang, Sambal Kacang & Ikan Bilis, Bayam Goreng & Tempe Goreng. Alhamdulillah, banyaknya rezeki Allah bagi.

Masa sedang masak, anak-anak duduk di lantai dapur sambil mengunyah. Kelakar juga tengok gelagat mereka menunggu saya masak. Mungkin kedua-duanya lapar, jadi sementara menunggu saya masak, mereka mengunyah kacang dan honey star... Kesian... :)




Tengoklah badan Rayyan, habis putih kena lumur dengan losyen. Sudah seminggu Rayyan kena penyakit kaki  tangan dan mulut. Paling teruk, kakinya. Kesian dia. Tapi Alhamdulillah, minggu ini dia dah beransur baik.

Selesai masak, saya segera mandi. Sudah masuk waktu maghrib. Saya ajak Keena solat Maghrib berjemaah. Suami masih belum pulang. Biasanya suami sampai di rumah pukul 8 malam atau lebih lewat. Keena bertanya juga, kenapa ayah balik lambat? Saya jawab, ayah kerja, cari duit lebih untuk kita semua. Ya Allah, semoga Kau berkati rezeki yang Kau berikan kepada kami, Amin. Selepas solat Maghrib, saya solat sunat seperti biasa. Yang menggembirakan saya hari ini, Keena pun ikut solat sunat. Biasanya dia tak mahu, penat, katanya. Hari ini, syukur, dia buat solat sunat Maghrib, Alhamdulillah. Selepas itu, saya ajak dia baca Yaasin, syukur lagi dia mahu mengikut walaupun mengeluh dia tidak tahu baca Yaasin. Saya jawab, tak apa, ikut ibu, ibu baca perlahan-lahan. Syukur, kami berjaya baca Yaasin bersama, Alhamdulillah. Semasa baca doa selesai Yaasin, suami pulang. Saya dan Keena terus solat Isya' pula berjemaah.

Kami makan malam bersama pada pukul 8.30 malam. Agak lambat juga. Rayyan biasanya sudah makan dulu, disuapkan pembantu saya. Selesai makan, kami duduk menonton televisyen bersama, sambil berbual-bual sesama kami. Keena ceritakan harinya di sekolah dan di rumah. Rayyan minta disusukan.

Saya gembira dan teruja juga hari ini sebab buku yang saya pesan sudah sampai. Saya beli buku Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, Jilid 1 & 2 daripada Pustaka Iman. Rasa berkobar-kobar hendak 'mengaji' buku ini selepas membaca majalah Anis keluaran November 2010 tentang bagaimana bapa kepada hafiz muda, adik Muhammad Ahmad Zahid mendidik anaknya itu. Subhanallah, terbayang Rayyan jadi hafiz juga! :) Semoga Allah beri kekuatan, petunjuk dan hidayah kepada saya dan suami dalam mendidik anak-anak kami.

Kebetulan, Astro Prima siarkan cerita 'Pondok Plastik Tepi Kubur'. Bagus juga cerita tu, jadi saya ajak Keena menonton bersama. Hari ini dia minta 'excuse' Iqra' sebab dah letih baca Yaasin, katanya. Saya senyum sahaja. Saya fikir, tak mengapalah, saya sudah gembira dia mahu solat sunat & baca Yaasin tadi. Jadi kami menonton bersama. Bagus pengajaran cerita tu, balasan kepada anak yang tidak sayang dan hormat pada ibu. Semoga kami semua dapat sesuatu daripadanya. Suami sempat berpesan pada Keena, "Nampak tu, balasan orang yang tak dengar cakap orang tua, tak hormat orang tua." Keena senyum. Mungkin terkena juga batang hidungnya sedikit. Apa pun, saya harap dia belajar sesuatu.

Lambat juga kami semua tidur malam ini, sebab tunggu cerita tu habis. Pukul 11 baru naik tidur. Saya pesan dengan Keena supaya jangan lambat bangun tidur esok pagi. Saya siapkan Keena untuk tidur dan buka bacaan Al Quran di laptop untuk jadi teman Keena tidur. Saya baru mula buat ni semalam, lepas baca tips untuk anak hafal Al Quran dari blog ibu hafizah kecil - Darwisya, di DarwishDarwisya. Saya tidaklah meletakkan harapan terlalu tinggi pada Keena, tapi kalau dia mampu, saya syukur. Target saya cuma mahu Keena dan Rayyan jadi anak-anak soleh dan solehah. Jadi, saya sedang berusaha sedaya upaya untuk itu, Insya Allah...

Sebelum tidur, saya solat Sunat Taubat, minta Allah ampunkan dosa-dosa saya pada hari ini. Saya juga minta Allah ampunkan dosa suami dan anak-anak. Tidak lupa, saya minta Allah ampunkan dosa mak dan ayah, serta adik-adik saya yang tersayang. Dengan rasa rendah diri juga saya minta agar hari esok akan lebih baik buat saya dan keluarga.

Sudah jadi rutin, saya akan baca Surah Al Mulk sambil duduk di tepi katil Keena. Rayyan pula akan bermain-main di sekeliling bilik Kak Longnya, sekali-sekali naik ke katil untuk kacau Keena. Selepas baca Al Mulk, saya usap dahi Keena, peluk dan cium dia, sambil kata "Ibu sayang sangat kat Keena. Jadi anak yang baik ye, sayang." Dengan Rayyan pun saya buat begitu. Semoga Allah berikan kasih sayangNya kepada anak-anak saya kerana saya tahu kasih sayang Allah lebih dari segalanya. Saya tinggalkan Keena tidur dengan ucapan salam.

Hendak tidurkan Rayyan lebih mencabar sikit, kena nyanyi. Suami saya suka nyanyikan dia lagu 'Bangau oh Bangau', dan Rayyan pun nampaknya suka lagu itu. :)

Alhamdulillah, saya sudah buat yang terbaik untuk hari ini. Saya berdoa agar hari esok lebih baik. 


"Barangsiapa yang hari ini lebih baik dari hari semalam maka dia termasuk dalam golongan orang yang beruntung, yang hari ini sama seperti semalam maka dia termasuk dalam golongan orang yang rugi dan yang hari ini lebih buruk dari semalam maka dia termasuk dalam golongan orang yang celaka."

Semoga Allah Redha.

Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

No comments:

Post a Comment