Kullu Am wa Antum Bi Khair ( كل عام و انتم بخير )
Semoga Aidilfitri kita lebih bermakna di sisi Allah SWT. Syukur, Aidilfitri kami sekeluarga disambut dengan bertambah ahli keluarga. Adik saya, Asyraf, kini beraya berdua dengan isterinya, Leela. Dan adik saya, Refqah, menerima 'miracle baby' - Intessar Raiqa.
Blog saya sudah 'berhabuk'. Namun, semoga tulisan "comeback" ini dapat membuang habuknya dan memberi manfaat buat kita semua, Insya Allah.
Semalam saya diberi peluang oleh Allah SWT untuk solat zuhur di Masjid Kajang. Saya sebenarnya sangat terkesan setiap kali membaca tulisan
Prof Muhd Kamil Ibrahim tentang solat berjemaah di masjid. Dengan kata lain - "bertemu dengan Allah SWT di rumah-Nya". Saya bukan seorang yang terlalu teruja untuk ke masjid. Bukankah bagi muslimah lebih baik solat di rumah sahaja? Jadi, masjid hanya akan jadi tempat solat jika dalam musafir. Tetapi kali ini, Allah SWT buka pintu hati saya untuk menuju ke masjid dengan niat untuk solat berjemaah.
Sebaik sampai di perkarangan masjid, hati saya sudah sebak. Tapi saya kuatkan hati dan menahan diri dari menangis sebab malu pula kalau dilihat orang. "Allahu Akbar", tuan imam memulakan solat zuhur. Dan tanpa dapat ditahan lagi, airmata saya turun mencurah-curah. Saya terpaksa menahan diri dari teresak-esak sehingga seluruh badan saya menggeletar. Namun, saya tetap kuatkan hati meneruskan solat. Pada masa itu saya rasa sangat kerdil, sangat hina dan sangat berdosa. Dan saya hanya memohon agar Allah ampunkan saya dan bimbing saya. Saat berkongsi pengalaman itu di saat ini pun saya masih sebak dan mengalirkan airmata. Saya pun kurang pasti mengapa sampai begitu, namun saya bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk menikmati perasaan seperti itu.
Usai solat zuhur berjemaah, saya rasa sangat sayang untuk meninggalkan masjid dan membiarkan perasaan itu berlalu pergi. Saya teruskan dengan solat-solat sunat dan tadarus Al Quran. Airmata terus turun membasahi pipi tatkala saya bersolat sunat dan bertadarus Al Quran. Tiba-tiba saya teringatkan suami, dan sangat ingin minta maaf padanya. Terasa diri ini terlalu banyak melukakan hatinya. Bukankah sepatutnya sebagai seorang muslimah, selepas Allah SWT & Rasulullah SAW, saya perlu dahulukan suami saya? Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda, "Sekiranya manusia dibenarkan menyembah manusia lain, maka aku akan perintahkan para isteri supaya menyembah suami masing-masing."? Saya capai telefon bimbit dan terus menghantar sms memohon maaf kepadanya. Airmata terus mengalir, lebih banyak daripada airmata yang keluar semasa memohon maaf darinya pada pagi hari raya.
Ia satu perasaan yang berbeza yang belum pernah saya rasa sebelum ini. Aneh, airmata yang turun tidak mendukacitakan, tetapi menenangkan saya. Syukur kepada Allah kerana memberikan saya ketenangan yang sangat saya perlukan. Mungkin kerana terlalu banyak komitmen dan tekanan yang menghimpit menyebabkan saya "down". Namun, Allah Maha Mengasihani, Allah Maha Penyayang, Dia tidak membiarkan saya "down" terus.
Saya simpulkan 2 perkara penting daripada pengalaman ini:
1. "Inna mal a'malu binniat" - Sesungguhnya sesuatu perkara itu bergantung kepada niat. Mungkin niat saya ke masjid untuk solat berjemaah itu menjadikan ia sesuatu yang lebih bermakna. Wallahua'lam.
2. "Innallaha ma'ana" - Sesungguhnya Allah bersama-sama kita. Selama ini Allah SWT sangat hampir, tetapi mungkin saya yang lalai dan tidak sedar kenyataan itu. Astaghfirullah.
~ Dari Abu Hurayrah r.a., katanya: Bersabda Rasulullah Saw.: “Berfirman Allah Yang Maha Agung: Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal) ~
Terlalu banyak doa yang saya panjatkan kepada Allah SWT. Malu kerana meminta terlalu banyak sedang diri begitu banyak dosa dan kurang pula beribadat kepada-Nya. Namun, hanya kepada-Nya tempat meminta, kerana Dia Yang Maha Mendengar dan Maha Memberi.
Ya Allah, ampunkan kami dan bimbinglah kami menuju redha-Mu.