Ceramah Ramadhan di Pejabat - 17 Ogos 2012 (Jumaat) |
Perkongsian ilmu dari Ceramah Ramadhan oleh Ustaz Mohd Zamri bin Mohd Shapik:
Kata Stephen R. Covey: "BEGIN WITH THE END IN MIND!". Sebagai seorang Islam, kita tahu kita semua akan mati dan bertemu Allah. Di kehidupan abadi itu nanti, tempat kita sama ada Syurga atau Neraka. Tiada orang waras yang ingin jumpa Allah di Neraka. Semua kita mesti menyimpan impian untuk bertemu Allah di Syurga. Jadi, kehidupan kita di dunia mestilah laksana seorang ahli Syurga.
Seorang ahli Syurga beriman dengan Allah dengan sebenar-benar iman mengikut landasan Al-Quran & As Sunnah. Perumpamaan seorang insan adalah seperti sebuah kapal terbang yang sedang menuju destinasi. Destinasi setiap insan adalah Allah Yang Maha Besar. Untuk menuju destinasinya, sebuah kapal terbang akan mengikut koordinat yang telah ditentukan (GPS). Perumpamaan GPS bagi seorang insan adalah Al Quran & As Sunnah. Seperti mana setiap kapal terbang mempunyai enjin dan sayap di kiri dan kanannya, begitulah insan yang mempunyai Roh dan Jasad. Roh adalah lebih penting (70%) kerana kebaikan Roh akan menentukan kebaikan akhirat kita. Jasad juga penting (30%) kerana kebaikan Jasad menentukan kebaikan dunia kita. Seperti mana enjin dan sayap sebuah kapal terbang perlu seimbang, begitu jugalah dengan Roh dan Jasad yang perlukan keseimbangan (Wasadtiyah) supaya kita mencapai keseimbangan dunia dan akhirat.
Pengaruh Roh dalam kejayaan sesebuah organisasi:
70% kejayaan sesebuah organisasi ditentukan oleh pekerjanya. 30% lagi ditentukan oleh lain-lain faktor seperti strategi perniagaan dan sebagainya.
70% keberkesanan pekerja di dalam sesebuah organisasi ditentukan oleh pemimpin yang baik. 30% lagi ditentukan oleh latihan dan kursus-kursus.
70% yang menentukan pemimpin yang baik di dalam sesebuah organisasi adalah tahap spiritual atau kerohaniannya.
Terdapat 5 standard Roh seperti yang disebutkan Allah SWT di dalam Al Quran:
- Muslim: Tahu (tetapi tidak percaya dan tidak laksana).
- Mukmin: Tahu & Percaya (tetapi tidak laksana).
- Muttaqin: Tahu, Percaya & Laksana. Roh yang sederhana baik. Peringkat Roh yang terbaik yang termudah dicapai. Disebut perkataan 'Muttaqin' sebanyak 270 kali di dalam Al Quran.
- Mukhsinin: Tahu, Percaya, Laksana & Bersungguh-sungguh (Itqan). Roh yang sangat baik.
- Mukhlisin: Tahu, Percaya, Laksana, Bersungguh-sungguh & Ikhlas. Laksana semata-mata kerana Allah SWT. Roh yang terbaik. Contoh: Isteri laksana tanggungjawab bukan kerana suami, tetapi kerana Allah semata-mata, akan lebih gembira dan tidak akan kecewa. Setiap apa yang dilakukan dalam rumahtangganya dianggap mengutip pahala!
Standard Roh yang baik-baik (High Quality People) perlu Taqwa dalam hati. Taqwa adalah raja dalam diri insan. Tanda-tanda hati yang bertaqwa:
- Takut Dengan Allah.
- Amal Apa Yang Allah Perintah.
- Qana'ah: Merasa Cukup Dengan Yang Sedikit.
- Bersedia Untuk Bertemu Allah, menjadikannya seorang yang rajin beribadat dan rajin bekerja.
Kesan Taqwa pada diri setiap High Quality People ialah akan merasa sensitif terhadap perkara mungkar dan sensitif juga kepada perkara ma'ruf. Contoh sensitif terhadap perkara mungkar: Rasa tidak senang hati melihat kawan-kawan sekerja tidak solat. Contoh sensitif terhadap perkara ma'ruf: Rasa seronok bila menyertai majlis ilmu.
Bagaimana meningkatkan dan menguruskan Taqwa?
- Takhalli (Hapuskan Sifat-Sifat Mazmumah) - Ramadhan jadi pemangkin untuk meninggalkan sifat-sifat buruk. Puasa mengajar kita menahan diri daripada melakukan dosa maksiat yang biasa kita lakukan. Solat Terawih mengajar kita membiasakan diri dengan solat sunat sebagai pencuci sifat-sifat mazmumah kita. Amalan sedekah yang sering dilebihkan dalam bulan Ramadhan mensucikan diri dari dosa.
- Tahalli (Masukkan Sifat-Sifat Mahmudah) - Gandaan pahala yang dijanjikan dalam bulan Ramadhan membantu kita menanam sifat-sifat baik di dalam diri.
- Tajalli (Galakan Dengan Ganjaran) - Ganjaran yang dijanjikan di akhir 10 Ramadhan adalah BEBAS DARIPADA API NERAKA.
Api Neraka Jahannam digambarkan kepada Rasulullah SAW oleh Malaikat Jibril: Api merah yang dibakar selama 1000 tahun sehingga menjadi putih. (Api merah adalah api yang biasa kita lihat di dunia. Api putih kita biasa lihat di bengkel-bengkel impalan besi. Besi cair dengan mudah apabila terkena api putih.) Api putih dibakar pula selama 1000 tahun lagi sehingga menjadi hitam. Saidina Ali Karamallahu Wajhah menggambarkan kepanasan api neraka sebagai 70 kali ganda lebih panas daripada api di dunia.
Apalah yang lebih membahagiakan seorang hamba Allah selain jaminan Allah yang dia bebas daripada api neraka?
Wallahua'lam.
Apalah yang lebih membahagiakan seorang hamba Allah selain jaminan Allah yang dia bebas daripada api neraka?
Wallahua'lam.