Tuesday, July 31, 2012

Andai Hari Ini Hari Terakhir Bersamamu

Ayah,

Semalam kita dikejutkan dengan berita pemergian jiran kita yang baik. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Sungguh mati itu pasti, tidak terlewat walau satu saat. Ibu masih terbayang wajahnya yang seringkali bersiar-siar di sekeliling taman perumahan kita dengan menaiki motosikal bersama-sama anak perempuannya yang masih kecil. Ibu yakin dia ayah yang baik dan mendoakan dia tergolong di dalam golongan ahli syurga, Al-Fatihah.

Pagi ini, Ibu mendengar rakaman segmen 'Islam Itu Indah' bersama Prof Dr Muhaya di IKIM.fm. Antara kata-kata beliau yang sangat menyentuh jiwa Ibu ialah, "Cuba bayangkan hari ini adalah hari terakhir suami bersama kita, bagaimana kita akan layan suami? Macam tu lah kita sepatutnya layan suami setiap hari..." Allahu Allah... Allah beri pengajaran sangat besar hari ini. 

Melalui peristiwa semalam, sedikit sebanyak Ibu terkesan juga dengan berita pemergian jiran kita apabila terkenangkan isterinya yang kehilangan cinta suami dan anak-anaknya yang kehilangan kasih ayah pada usia yang Ibu kira masih muda juga. Dan hari ini apabila mendengar kata-kata Prof Dr Muhaya, hati Ibu tersentuh lebih lagi. Ibu lantas terkenangkan Ayah dan anak-anak kita, Ustazah Pilihan Kasreena & Imam Muda Rayyan. Ibu cuba membayangkan, andai hari ini hari terakhir bersama kalian...?

SubhanAllah, hanya dengan membayangkannya cukup untuk membuat hati Ibu rasa sangat sebak. Airmata mula turun membasahi pipi. Bersama-sama airmata sebak itu juga terbit airmata keinsafan untuk memberikan yang lebih baik dan terbaik kepada Ayah dan anak-anak. Hanya kepada Allah Ibu pohonkan kekuatan untuk menjadi suri teladan buat Ayah, dan ibu mithali buat anak-anak. La haula wa la quwwata illa billah.

Benarlah, dengan mengingati mati, hati akan jadi lembut. Bukan hanya pipi yang basah lembab dek airmata, tetapi juga hati turut basah subur dek keinsafan. Kepada Allah jua Ibu pohonkan keampunan, dan semoga Allah sentiasa memandang kita dengan pandangan kasih sayang. 

Andai hari ini hari terakhir kami bersama, Ya Allah, temukanlah kami semula di syurga yang abadi...

Syurga Dunia Ibu... Ya Allah, kami ingin bersama hingga ke SyurgaMu yang abadi...

Saturday, July 28, 2012

Nikmat Ramadhan

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Ayah,

Ibu jarang dapat peluang masak untuk Ayah & anak-anak, kan? Tapi berkat bulan Ramadhan ini agaknya, Ibu belum 'miss' lagi sediakan sendiri juadah berbuka dengan tangan sendiri. Memang kemahuan Ibu sangat kuat untuk masak sendiri Ramadhan kali ini, dan Alhamdulillah, Allah Maha Mendengar hasrat hati Ibu.

Ini juadah berbuka pada hari Jumaat pertama Ramadhan kali ini. Ibu gembira sangat tengok Ayah & anak-anak menikmati juadah yang Allah rezekikan kepada kita. Terima kasih atas teguran Ayah (Mee Bandung masin sikit, terlebih udang kering agaknya!), Insya Allah, Ibu akan perbaiki lagi masakan Ibu. Terima kasih anak-anak, terutamanya Ustazah Pilihan Kasreena yang tidak putus-putus memuji, "Sedapnya pau ibu buat..." sambil mulut bersungguh-sungguh menguyah Pau Kari Ayam. 

"Nikmat Allah yang mana lagi yang hendak didustakan?"

Pau Kari Ayam & Pau Jem Anggur (yang ada tanda merah, khas untuk Rayyan)

Lepat Pisang Nangka

Mee Bandung Muar

Sunday, July 15, 2012

Esok Isnin menjelma lagi. Tak puas rasanya berehat hujung minggu dengan suami dan anak-anak. Terbaca pula puisi ini oleh Zurinah Hassan yang sangat menggambarkan luahan isi hati saya sebagai seorang ibu yang bekerja...


~Kesal Seorang Ibu Yang Bekerja~


Anakku
maafkanlah ibu meninggalkamu setiap pagi
melepaskan pelukan muketika kau ingin bermanja
di meja ini mengadap kertas-kertas
di meja ini mengadap tugas-tugas
sesekali terganggu oleh matamu yang redup 
sesekali terpanggil oleh suaramu yang sayup


Sekecil itu aku sudah meminta pengertianmu
yang kita tidak dapat bermanja dengan hidup.


(oleh: Zurinah Hassan)


Sudah tentu anak-anak belum mengerti, tetapi saya berdoa agar Allah lembutkan hati anak-anak. Saya juga berdoa agar dalam keterbatasan waktu, saya masih diberi masa dan kekuatan untuk mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak. Amin.


Thursday, July 12, 2012

Cerita Tudung Labuh

"Akak baru balik umrah ke?" soalan yang terpacul keluar dari mulut adik yang biasa saya beli makan tengahari di kedainya. Saya sedikit tersentak lalu pantas menggeleng, "Taklah.." Belum sempat saya tanya kenapa dia tanya begitu, dia terus berkata, "Cantik akak pakai macam ni..." Saya hanya tersenyum. 

Tudung ni lah yang saya pakai hari ni... ;)

Saya tersenyum bukanlah kerana 'kembang' dengan pujian adik tu. Tapi saya tersenyum kerana soalan adik tu mula-mula tadi. Tudung labuh yang saya pakai hari ini menjadi penyebab adik tu bertanya adakah saya baru balik umrah. Agaknya dia tak pernah nampak saya pakai tudung labuh macam ni, tu yang dia rasa pelik dan bagi soalan 'cepumas' tu kat saya.

Jauh di sudut hati, saya rasa sangat bersyukur. Mungkin saya bersyukur kerana Allah gerakkan hati saya untuk terus berusaha menutup aurat dengan sebaik mungkin, walaupun belum berkesempatan menunaikan umrah. Kenyataannya, hanya Allah yang Maha Mengetahui betapa kuatnya keinginan saya untuk ke Tanah Suci. 

Astaghfirullah, takutnya kalau riak dengan perasaan sendiri. Tapi apa yang saya nak kongsikan ialah betapa Allah itu Maha Pengasih & Maha Penyayang. Insya Allah, kalau kita niat dengan ikhlas nak jadi lebih baik dan selalu berdoa kepada-Nya, Allah pasti akan bantu, tak kira di mana kita berada, tak kira di mana kita berdoa. Saya tak nafikan mustajabnya doa di Tanah Suci sebab nyata dah terbukti doa mak untuk saya di Jabal Rahmah termakbul. (Nota: Mak doakan saya dapat jodoh yang baik. Dan masa mak di Tanah Suci itulah saya mula kenal dengan suami saya! Alhamdulillah...) Tapi, doa yang diiringi kesungguhan, keikhlasan dan airmata keinsafan, walaupun berdoa di mana-mana bumi Allah ini, pasti tetap juga akan termakbul, Insya Allah.

Tudung labuh yang saya pakai hari ni dah lama saya beli dari Tudung Nur tapi hanya sekali sekala sahaja saya pakai sebab saya dah terlalu biasa dengan tudung instant yang pakai sarung je tu. Tudung labuh yang macam Tudung Nur ni saya ada 2-3 helai. Tak tahulah kalau lepas ni bertambah koleksi tudung labuh yang macam 'budak sekolah agama' ni dalam almari saya! Saya hanya berdoa mohon yang terbaik. Apa pun, peringatan untuk diri sendiri, bertudung labuh bukanlah bererti kita lebih baik daripada yang tidak bertudung labuh. Dan Na'uzubillah, janganlah kita bertudung labuh kerana hendak tunjukkan pada orang yang kita ni baik. Tapi biarlah niat kita melabuhkan tudung itu untuk mencari keredhaan & kasih sayang Allah. Allah Maha Mengetahui apa yang tersirat di hati kita semua. 

Satu perasaan yang lebih teruja, soalan adik tadi membuatkan keinginan saya untuk ke Tanah Suci lebih membuak-buak! Semoga Allah izin, satu hari nanti...

Ya Allah, semoga Kau beri kekuatan kepada hamba-Mu yang hina penuh dosa ini untuk jadi lebih baik, dalam apa jua keadaan, walau di mana pun aku berada. Kerana sesungguhnya aku tahu Kau sentiasa bersamaku.