"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah keras." Ibrahim (7)
Tuesday, August 17, 2010
diari Ramadhan 7 - hari penuh dugaan
pejam celik, pejam celik, hari ini sudah masuk 7 hari aku 'cuba' menjalankan ibadah puasa. semoga dengan bertambahnya hari, bertambah jugalah tahap kejayaanku untuk benar-benar berpuasa. seawal pagi selepas bersahur dengan puteri kesayanganku, keena, aku bertadarrus al quran. dengan harapan tulus mulus agar hari ke 7 ramadhan ini dapat kulalui penuh insaf, penuh sabar. keena, selepas sahur, tidur semula. memang kebiasaannya begitu, dan aku pula tidak pernah menghalang kerana kasihan juga dengan puteriku itu. mana mungkin anak kesayanganku itu mengerti kelebihan beribadat dalam waktu sahur, sementara menunggu waktu subuh? yang dia tahu, dia masih mengantuk. aku cukup bersyukur dia mahu bangun sahur dan mahu berpuasa. semoga aku bersabar mendidiknya untuk melakukan ibadah-ibadah lain juga. amin.
selepas aku bersiap-siap, aku kejutkan keena supaya bersiap untuk ke sekolah. sudah 2 hari keena tidak ke sekolah. semalam aku diuji dengan migrain. tidak dapat bangun untuk ke pejabat. bila aku tidak bangun, keena pun ikut tidur hingga tidak ke sekolah. hari jumaat lepas pun keena tidak ke sekolah. kesnya sama, susah hendak dikejutkan semula bila tidur selepas sahur. nampaknya hari ini, Allah ingin menguji aku lagi. keena susah hendak dikejutkan. beberapa kali aku ajak dia ke bilik air dengan suara lembut, tetapi dia masih merengek-rengek di atas tilam, tidak mahu bangun. teruji sungguh kesabaranku. tetapi aku menahan diri daripada marah. aku cuba mengugut - yang aku akan tinggalkan dia sekiranya dia tidak bangun bersiap. rengekannya bertukar menjadi tangisan. lama kelamaan, tangisannya bertukar menjadi amukan. itu memang pekara biasa dengan keena. namun, aku tetap memandikan dia dan menyiapkan dia untuk ke sekolah. dia terus mengamuk, menangis, menjerit, membentak. aku lantas membuat keputusan - keena perlu didenda. lalu aku memberitahu dia yang aku tidak akan menjemput dia dari sekolah pada hari ini sebagai denda 'amukan'nya itu. keena lebih kuat menangis dan mengamuk. dia menjerit-jerit meminta aku menjemputnya juga. aku pula tetap dengan pendirianku. keena perlu diajar begitu, bukan semua yang dia mahu, dia akan dapat.
apabila dia tidak mahu masuk ke dalam kereta untuk ke sekolah, aku tidak dapat lagi mengawal amarahku, lalu aku mencubit keena kuat, di pehanya. dia menjerit kesakitan, tetapi dia akhirnya masuk ke dalam kereta. aku terus sahaja menghantarnya ke sekolah, walaupun dia terus menangis. selepas itu, aku terus ke pejabat. dalam perjalanan ke pejabat, aku terfikir-fikir sendiri adakah tindakan aku itu wajar? aku sendiri tidak dapat memutuskan apakah patut atau tidak aku biarkan keena balik dari sekolah dengan van pada hari ini. atau patutkah aku berikan keena peluang sekali lagi? jujurnya, aku lebih cenderung untuk pergi menjemputnya dan berikan dia peluang sekali lagi. tapi sekiranya dia masih 'buat perangai' begitu selepas ini, aku akan betul-betul mendendanya. aku sendiri buntu apa yang patut aku buat?
sekarang 10.30 pagi. ada baiknya aku solat dhuha dahulu. mungkin Allah akan berikan petunjuk-Nya nanti.
sambungan...
selepas solat dhuha, semacam ada dialog di hati ini:
a: kenapa mesti berkasar dengan keena tadi?
b: habis tu, nak buat macam mana lagi? dah puas dipujuk, dah puas berlembut, tapi keena macam tu juga. mungkin sekali sekala kena berkasar, kalau tak nanti dia akan rasa tak apa buat perangai macam tu.
a: betul ke macam tu? atau pun sebenarnya kalau terus berlembut, lebih baik?
b: rasanya tadi dah habis lembut dah mula-mula tu, tapi bila dia tetap buat perangai, baru naik angin sikit. itupun tak naik angin sangat, cuma cubit dia sikit je.
a: cubit sikit pun, dia tetap rasa sakit. mungkin sakit cubit tu boleh hilang tanpa kesan, tapi 'sakit' di hati dia, mana kita tahu? boleh ke kita didik dan asuh dia, lembutkan hatinya, kalau hati dia selalu 'sakit' dengan kita? ambil contoh diri kita sendiri - kalau orang yang selalu sakitkan hati kita, suruh kita dengar cakap dia, mahu ke kita dengar cakap dia?
b: (diam).(fikir).
a: kenapa terlalu pentingkan diri sendiri? hati sendiri? bagaimana dengan hati anak itu yang kau panggil puteri kesayanganmu? hati anak itu yang merupakan amanah Allah padamu? hati anak itu yang masih mentah. masih mudah dilentur mengikut acuan yang kau tetapkan. hati yang dicorakkan mengikut apa yang kau tunjukkan. kau tunjukkan marah, maka jadi marahlah hati itu. kau tunjukkan benci, maka jadi bencilah hati itu. itukah yang mahu kau jadikan di hati anak itu?
b: (terus diam). (tunduk ke bumi). (sesal).
a: sesal pun sudah tidak berguna lagi. terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, terlajak laku, bermakna syaitan dah berjaya!
b: habis tu, apa nak buat sekarang?
a: taubat kepada Allah. minta maaf dari anak kesayanganmu itu. berazam di dalam hatimu, perkara seperti ini tidak akan berulang lagi. pada anakmu itu, tunjukkan kasih sayang penuh belas kasihan. tunjukkan cinta dan rindu. tunjukkan belaian, pelukan dan ciuman. maka dalam hatinya nanti akan penuh dengan semua itu. di sana nanti, kau akan lihat betapa mudahnya melentur hatinya mengikut jalan yang benar.
b: ya Allah, ampunkan keterlanjuranku. hanya kepadaMu aku memohon petunjuk dan hidayah. janganlah dipalingkan semula petunjuk dan hidayahMu setelah Kau perkenankan kepadaku. berikanlah aku kekuatan untuk mencorakkan yang terbaik buat teladan anak-anakku. berikanlah aku kasih sayangMu, redhaMu, untuk kupanjangkannya buat anak-anakku. semoga dengan kasih sayang & redha itu, ikatan cinta kami bertambah kuat hanya untukMu, hanya keranaMu, ya ALLAH...
lalu aku bergegas meminta kebenaran bos untuk keluar sebentar menjemput keena di sekolah. sebaik melihat wajah gembira keena melihatku, air mataku hampir gugur. terbayang wajah sedih keena pagi tadi bila mana aku marahkan dia. aku berdoa lagi - semoga wajah gembira anak-anakku akan sentiasa di mataku, menjadi perisai tatkala diri dirasuk syaitan dengan amarah. semoga amarah itu akan hancur lebur dengan alunan hilai tawa anak-anakku yang kuharap sentiasa di telinga ini. ya Allah, hanya padaMu aku memohon. amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment