"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah keras." Ibrahim (7)
Wednesday, August 25, 2010
diari Ramadhan 25 - hari penuh hiba
sudah 25 hari Ramadhan berlalu. sana sini, lagu raya mula berkumandang. sebenarnya, lagu raya dah mula berkumandang sejak hari pertama puasa di setengah-setengah tempat. di pejabat saya sendiri, semua sibuk menghias. gantung ketupat, gantung lampu. tanda tak sabar-sabar nak sambut hari raya.
seronok juga tengok suasana begitu. sambil buat kerja, semua orang menyanyi-nyanyi sendiri lagu raya. mana yang gantung lampu, berkelip-kelip lampu menyala. meriah.
tapi, ada satu keluhan berat jauh di sudut hati. susah juga nak dengar keluhan itu sebab terlalu perlahan. ditenggelamkan dek lagu-lagu raya yang rancak. tapi saya cuba juga nak dengar keluhan itu. dari sejak pagi, saya cuba diamkan diri, dan akhirnya saya rasa saya berjaya mendengarnya.
risau. sudah masuk 25 hari puasa. bagaimana pencapaian saya agaknya di mata Yang Esa?
sejak 5 hari lepas, fitrah wanita datang melanda saya, menyebabkan ibadah yang cuba saya tingkatkan, jadi tergendala. tapi saya cuba juga buat apa yang boleh. dengar ayat-ayat suci al quran, zikir puji-pujian kepada Allah, dengar tazkirah, ceramah, tonton rancangan-rancangan 'membina' di tv, nyanyi lagu nasyid dengan anak-anak, masak juadah berbuka yang sedap-sedap untuk suami, ya, apa saja yang masih dikira ibadah. saya cuba. rugi juga rasanya tak dapat mengecapi 10 malam terakhir ramadhan, tapi saya yakin Allah Maha Mengetahui. saya berserah saja pada-Nya. doa saya, semoga dapat saya cari juga sesuatu di 10 malam terakhir ini. kalau tak dapat pada malam 10, 9, 8, 7, 6 dan 5, mungkin pada malam 4, 3, 2 dan 1. insya allah.
itu sebab pertama saya agak hiba.
saya juga hiba apabila masih ada yang tidak bersyukur di kalangan kita dengan bonus raya yang kita dapat. hiba juga apabila di ajak berbuka di hotel-hotel mewah, kita seronok. tapi bila di ajak berbuka di dalam khemah, juadah ala kadar catering & ada aktiviti solat terawikh selepasnya, kita mencebik.
na'uzubillah, begitukah rupanya iman kita semua? ramadhan yang bakal berlalu, tiadakah iktibar yang kita ambil darinya? tiadakah walau sekelumit kesedaran tentang hakikat hidup kita?
saya pun masih bertatih hendak mencapai 'solehah'. pada saya, semua wanita patut jadikan gelaran 'solehah' itu sebagai cita-cita. walaupun sukar, hampir mustahil untuk mencapai darjat 'solehah' setaraf dengan wanita-wanita solehah pada zaman Rasulullah SAW, pada saya, kita mesti buat yang terbaik untuk dapatkan 'solehah'. the end result - sama ada dapat atau tidak, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. yang penting, usaha kita, istiqomah kita, meraih 'solehah'.
justeru, bila dapat bonus raya, walau sebanyak atau sedikit mana, sebagai seorang yang ingin meraih 'solehah', kita patut ucap syukur ALHAMDULILLAH. masih ada rezeki yang Allah ingin bagi pada kita, di saat masih jauh kita daripada-Nya. juga, bila di ajak berbuka puasa ala kadar, selebihnya solat terawikh berjamaah, sebagai seorang yang ingin meraih 'solehah', kita patut rasa seronok hendak merebut peluang itu. masih ada peluang untuk mendapat pahala & redha Allah, di saat kita jarang-jarang ingat pada-Nya. subhanallah, banyaknya nikmat Allah yang kita tak perasan?
dalam keberkatan bulan Ramadhan yang masih berbaki, saya tadahkan tangan memohon kepada Allah agar kita semua diberi petunjuk dan hidayah-Nya. juga, kita harus ingat, petunjuk & hidayah Allah takkan datang begitu sahaja tanpa kita berusaha untuk mendapatkannya. semoga kita semua diberi kekuatan untuk mendekatkan diri kepada Allah, agar diberi petunjuk & hidayah-Nya, dalam usaha kita mencapai 'solehah'. Amin.
saya masih hiba.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment