Wednesday, January 12, 2011

Semuanya datang dari Allah, Alhamdulillah... :)


Kasreena Rumaisya, anak kesayangan ibu diberi hadiah oleh guru kelasnya. Mulanya, bila dia cerita dia dapat hadiah, saya sangka semua pelajar diberi hadiah sebab sekolahnya masih dalam Program Transisi dan Guru Penyayang. Mungkin itu cara cikgu nak ambil hati pelajar tahun satu.

Tapi bila dia tunjukkan pada saya dan suami hadiahnya (seperti di atas), hati saya terus berbunga-bunga gembira dan bersyukur tak henti-henti ke hadrat Ilahi atas kurniaan ini. Saya berdoa semoga Keena terus menjadi yang terbaik, bukan hanya dalam pelajaran, lebih penting, menjadi seorang muslimah yang terbaik, Amin. :)

p/s: Ini baru dapat Pelajar Terbaik Transisi dalam kelasnya sahaja, tapi saya sudah sangat gembira! Maaflah ya kalau 'over', tapi saya memang sangat teruja! ;D Hilang rasa letih kena buat semua kerja rumah dan urus anak-anak sendiri sejak ketiadaan pembantu! ;)

Selain kesyukuran yang teramat sangat saya panjatkan kepada Yang Esa, terselit rasa insaf dan kerdilnya diri apabila terbukti, Allah mendengar doa saya. Sejak hari pertama persekolahan, saya tidak henti-henti mendoakan kejayaan dan kesejahteraan Keena di sekolah. Saya sedikit kesal apabila azam untuk bangun sepertiga malam dan bermunajat kepadaNya sebaik Keena memulakan persekolahan belum berkesampaian. Azam untuk mendekatkan diri dengan Al Quran pada setiap hari juga belum tercapai. Yang menampakkan sedikit kejayaan ialah azam saya untuk buat solat sunat afdhal yang 10 - Dari Ibnu Umar ra berkata, "Aku menjaga 10 rakaat dari Rasulullah SAW: 2 rakaat sebelum solat Zhuhur, 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat sesudah solat Maghrib, 2 rakaat sesudah solat Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh. (HR Muttafaqun 'alaihi), itupun kadangkala ada yang tertinggal. Solat sunat dhuha dan witir juga nampak sedikit kesukaran untuk diistiqamahkan. Namun, di sebalik semua itu, Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tetap mendengar doa saya. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar... Terima kasih, Ya Allah...

Saya turut berdoa agar Allah jauhkan saya dari sifat riak dan takbur dengan kejayaan anak saya ini, kerana sesungguhnya segalanya datang dari Allah jua. Saya berdoa agar diberi kekuatan untuk terus beribadah kepadaNya, seperti suruhanNya dalam Ayat 56, Surah Az Zariyat - "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

Kepada anak kesayangan, Keena, juga saya titipkan nasihat agar jangan riak dan takbur. Semoga kejayaan ini buat dia lebih dan sentiasa bersyukur.

Tahniah, sayang! Jgn lupa ucap syukur pada Allah, Alhamdulillah... ;)
Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

No comments:

Post a Comment