Monday, May 31, 2010

hidup sebelum mati...

hari ini saya dikejutkan dengan berita pemergian seorang kawan. walaupun saya tidak rapat dengan beliau, saya kenal beliau kerana kami sama-sama belajar di uniten. al-fatihah buat beliau, semoga ditempatkan bersama-sama orang beriman...


yang lebih menyentuh hati saya ialah apabila saya melihat gambar-gambar beliau di facebook bersama-sama suami dan anak perempuannya yang baru mencecah usia 2 tahun. tanpa saya sedar, airmata keibuan saya berderai. sungguh saya simpati dengan anak kecil itu yang kehilangan ibu dalam usia sangat muda. begitu besar ujian Allah ke atas anak itu, hanya sempat menikmati kasih sayang seorang ibu kandung selama 2 tahun. masih belum mengerti apa erti pemergian abadi, yang tak akan kembali lagi.

Ya Allah, janjiMu benar belaka. maut di tanganMu, maka apabila tiba masa, nyawa kami dicabut, tanpa mengambil kira tua atau muda, sihat atau sakit, kaya atau miskin, lapang atau sempit. bila tiba masa, tidak kira kami masih punya suami, anak, ibu, ayah, tanggungjawab; Kau tetap akan melaksanakan janjiMu.

walaupun sedih, saya kuatkan hati agar peristiwa ini menjadi iktibar buat saya. saya mesti jadi yang terbaik di dalam segala-galanya kerana entah esok lusa, tiba hari saya. sekiranya hari itu nanti tiba, sudahkah saya bersedia? pada hari ini, jawapannya tentulah jauh dari bersedia. masih banyak kelemahan diri yang belum saya perbaiki. masih banyak tanggungjawab yang belum saya sempurnakan. sebagai seorang muslim, sebagai seorang isteri, sebagai seorang ibu, sebagai seorang anak, sebagai seorang kakak... namun, Allah Yang Maha Mengetahui betapa hati ini terlalu ingin menjadi segalanya yang terbaik. muslim terbaik, isteri terbaik, ibu terbaik, anak terbaik dan kakak terbaik.

Ya Allah, berilah kekuatan kepadaku untuk terus berjuang menjadi yang terbaik buatMu, buat suamiku, buat anak-anakku, buat kedua ibu bapaku dan buat adik-adikku. semoga sentiasa terpahat di minda maksud hadis Nabi Muhammad SAW - "INGAT 5 PERKARA, SEBELUM 5 PERKARA - 1) sihat sebelum sakit, 2) muda sebelum tua, 3) kaya sebelum miskin, 4) lapang sebelum sempit, 5) HIDUP sebelum MATI..."


No comments:

Post a Comment