Bismillahirrahmanirrahim...
Hari ini hari Jumaat. Hari penuh barakah. :)
Pagi-pagi lagi mak saya dah telefon, ajak saya bersarapan di rumahnya. Mak Ngah saya dari Kedah baru sampai, menghantar cucunya yang dibawa pulang ke kampung buat beberapa ketika. Kebetulan pula, setiap hari Jumaat, ayah saya tidak bekerja. Biasanya ayah akan hantar juga Mak Anjang (Nyang) saya yang menumpang saya ke pejabat, tapi disebabkan hari ini mak ajak saya bersarapan di sana, Nyang tunggu di rumah mak sahaja.
Selepas Keena ke sekolah dan suami ke pejabat, saya terus ke rumah mak. Mak Ngah nampak sihat. Cuma nampak dia sedikit cengkung, walaupun sebenarnya Mak Ngah memang kurus orangnya. Lebih kurang macam ayah saya juga, susah nak gemuk! Mak Ngah datang dengan anak bongsunya, yang kami semua panggil Kak Cik, dan cucunya, Iman. Mak Ngah datang sebab nak hantar Iman balik ke rumah umminya, anak Mak Ngah juga, yang duduk di Seremban. Kami sarapan nasi lemak pedas dan goreng pisang. Saya tak jumpa pun Kak Cik dan Iman sebab mereka tidur. Penat naik bas mungkin.
Keluar dari rumah mak pukul 8.30, saya sampai di pejabat pukul 9 pagi. Sebelum mula kerja, saya solat Sunat Dhuha dulu seperti biasa, cuma nak baca Al Ma'thurat tidak berkesempatan. Jadi, saya buka bacaan Al Ma'thurat di YouTube dan mendengarnya sahaja sambil mulakan kerja.
Hari ini, saya minta izin bos untuk keluar sebentar untuk urusan peribadi. Saya ke Sri Petaling dengan adik saya untuk urusan pelaburan. Alhamdulillah, urusan selesai dan pelaburan saya ada hasil. :) Gembiranya hati saya, sambil ucap syukur tak terhingga pada Allah. Kami kemudiannya makan tengahari di The Manhattan Fish Market, Alamanda dengan 2 orang sepupu kami. Alhamdulillah, kami kenyang dan seronok makan di situ. :)
Sebelum balik ke pejabat, kami singgah di MPH Bookstores, sebab sepupu saya ada cadangkan saya beli satu buku untuk buat persediaan jika anak-anak tanya tentang Allah dan benda-benda ghaib. Sepupu saya tahu anak saya suka bertanya itu dan ini. :) Tapi saya tak beli pun buku tu sebab kurang puas hati dengan jawapan-jawapan di dalamnya. Akhirnya, saya beli satu buku - Mendidik Anak Perempuan tulisan Abdul Mun'im Ibrahim. Sepupu saya kata, buku ini bagus. Sebenarnya, banyak juga buku yang saya beli tapi saya belum baca! Tak apalah, kan? Saya ada cita-cita nak buat 'mini-library' di rumah. Mesti best! :D
Solat Zohor dan Asar agak lambat juga hari ini, semoga Allah ampunkan saya. Bukan saya sengaja, tapi terleka dek timbunan kerja. Saya terasa hari ini kurang baik dari semalam sebab semalam saya berjaya solat awal. Tetapi Allah Maha Mengetahui. Saya berdoa semoga saya tidak tergolong dalam golongan yang celaka apabila hari ini lebih buruk dari semalam. Ya Allah, ampunkan hambaMu yang alpa ini...
Hari ini suami ajak ke majlis BBQ di rumah kawan pejabatnya. Jadi, pulang dari pejabat, saya terus bersiap-siap dan minta pembantu siapkan anak-anak juga. Saya agak berat hati juga nak bawa Rayyan, sebab penyakit kaki tangan dan mulutnya itu. Walaupun sudah beransur baik, saya risau juga. Tapi, suami kata dia nak bawa Rayyan. Jadi, saya pun tak membantah, cuma berdoa agar Rayyan baik-baik sahaja. Lagipun, dah lebih seminggu Rayyan tak ke mana-mana dek penyakitnya itu. Kesian pula...
Selepas solat Maghrib berjemaah, kami bertolak ke Puchong. Rayyan nampak seronok naik kereta, mungkin sebab dah lama tak berjalan-jalan! Saya pun seronok tengok dia seronok. Rayyan dah pandai menjawab bila saya tanya:
Saya: Rayyan anak siapa?
Rayyan: Ayah... (dengan pantas!)
Saya: Rayyan sayang siapa?
Rayyan: Ayah...
Saya: Rayyan bucuk siapa?
Rayyan: Ibu... (sambil senyum tersipu-sipu...)
Saya: Rayyan cucu siapa?
Rayyan: Atok...
Alhamdulillah, nampak dah agak jelas juga cakap Rayyan. Saya dah lama bercadang nak ajarkan Rayyan mengaji. Mula dengan Aa, Ba, Ta, Tha... Tapi belum berjaya lagi sebab susah juga nak suruh dia duduk diam-diam. Biasanya sampai Tha atau Ja, dah tak mahu. Tapi saya tak putus asa, Insya Allah, saya akan terus cuba ajar dia. Semoga Allah beri kekuatan pada saya.
Sampai di rumah kawan suami pukul 8.15, dah ramai tetamu yang sampai. Suami kenalkan saya pada semua kawan-kawan pejabatnya, ramai yang berbangsa Cina, tapi semua peramah dan baik. Tuan rumah, Farah, pun baik dan layan tetamu dengan ceria. Sempat juga dia berborak-borak dengan saya bertanya tentang anak-anak. Rumah Farah cantik, makanan yang dihidangkan pun sedap-sedap. Selain Ayam Bakar dan Ikan Bakar, ada makaroni sup, makaroni bakar dan steamboat! Saya makan steamboat yang pedas tapi sedap, ayam bakar dan makaroni bakar. Keena makan makanan kegemaran dialah, makaroni bakar. Rayyan makan main-main sebab pembantu saya dah suapkan bubur sebelum kami ke sini tadi. Alhamdulillah, kenyang juga walaupun sebenarnya teringin nak makan nasi sebab satu hari ni tak makan nasi lagi! Kami berbual-bual dan makan-makan sampai pukul 10. Perangai Keena - Masa orang lain beria-ia makan, dia beria-ia main. Bila suami ajak balik, tiba-tiba Keena kata dia lapar nak makan! Terpaksalah kami tunggu dia makan 2 ketul ayam bakar. Habis semua tetamu dah balik barulah kami balik! Kelakar juga... Seronok majlis BBQ malam ni, dan terima kasih kepada Farah sebab jamu kami makan macam-macam! Alhamdulillah...
Sampai di rumah pukul 11 malam, Rayyan dah tidur dari dalam kereta. Keena pun dah mula mengantuk. Saya siapkan Keena untuk tidur, peluk dan cium dia sebelum dia tidur. Dia pun dah tak banyak cakap, letih dan mengantuk lah tu! Sebelum tidur, saya solat Isya'. Mata saya pun dah layu, langsung tak baca Al Mulk malam ni. Saya rebahkan diri di sebelah Rayyan sambil baca doa dan zikir. Pukul berapa saya terlelap, saya pun tak sedar, tapi memang tak lama selepas saya baring. Tengok muka Rayyan sedap tidur, lagi buat saya cepat-cepat nak lelap!
Ya Allah, aku rasakan hari ini kurang baik jika dibandingkan dengan semalam. Sungguh aku tidak mahu tergolong dalam golongan yang celaka, Ya Allah. Ampunkanlah dosa-dosaku, Ya Allah. Semoga Kau beri kekuatan untuk aku tempuhi esok dengan lebih baik. Amin.
Semoga Allah redha dengan saya.
Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.
No comments:
Post a Comment