Tuesday, October 26, 2010

Semoga saya SABAR...


Isnin, 25 Oktober 2010. Saya sangat bersyukur, Allah masih beri saya peluang hidup sampai hari ini. Saya yakin, Allah tidak hidupkan saya untuk saya sia-siakan. Jadi, Insya Allah, saya ingin jadikan setiap hari yang saya lalui penuh dengan kebaikan. Lagipun, bukankah itu tujuan hidup kita yang sebenar? Buat baik, buat pahala, untuk jadi bekalan kita di 'sana' nanti.

Biasanya hari Isnin akan dikaitkan dengan 'Monday Blues'. Tapi saya cuba untuk tidak layan 'Monday Blues' saya. Saya bangun awal hari ni, 4.30 pagi sebab nak bersahur. Puasa ganti! :) Elok jugalah puasa, boleh juga bantu kurangkan makan! Selepas sahur, sementara tunggu Subuh, saya solat sunat. Tenang dan damai. Mesti seronok kalau dapat buat tiap-tiap hari. Saya akan cuba. Semoga Allah beri saya kekuatan. Selesai solat subuh, Rayyan terjaga. Saya tidurkan dia semula dan saya terus mandi. Selepas mandi, saya kejutkan Keena dan siapkan Keena pula untuk ke sekolah.

Hari saya di pejabat macam biasa, cuma saya dapat tahu saya kena pergi mesyuarat di Shah Alam pada hari Rabu, pukul 4 petang. Betul, itu dah jadi tugas saya, tapi saya risau fikir pukul berapa agaknya mesyuarat tamat dan pukul berapa pula saya akan sampai di rumah? Sempat ke masak untuk makan malam nanti? Benda-benda macam ini yang buat saya rasa macam tak nak kerja lagi. Saya nak duduk rumah, jaga anak-anak. Tapi buat masa ini, saya perlu kerja untuk bantu suami. Suami pun tahu saya lebih suka duduk rumah, dan saya tahu dia sedang usaha keras supaya saya boleh duduk di rumah dengan anak-anak. Insya Allah, satu hari nanti, cita-cita saya nak duduk rumah jaga anak-anak pasti tercapai. Ya Allah, bantulah kami.

Saya juga dapat berita dari kawan baik saya, yang suaminya yang ada tumor dalam otak dah beransur baik. Suaminya dah jalani 2 pembedahan dan masih di hospital untuk pemantauan. Alhamdulillah, leganya hati dengar berita baik ini. Yang saya agak terkilan, sampai hari ini, saya masih belum berkesempatan untuk pergi melawatnya. Apa pun, saya doakan kesejahteraan dia, walau dari jauh. 

Habis waktu pejabat, saya balik dan singgah di Billion untuk beli barang dapur. Hari hujan, jadi saya tak dapatlah ke pasar malam macam biasa. Sebab hari dah lewat dan saya pula puasa, saya cuma beli makanan di kedai hari ni. Nasi Goreng Cina, Nasi Goreng Kampung, Mee Bandung dan Sotong Masak Pedas. Alhamdulillah, masih ada rezeki yang banyak Allah bagi. Sampai di rumah dah hampir masuk waktu maghrib. Saya berbuka dengan buah tamar dan teh tarik. Lepas tu mandi dulu sebelum solat Maghrib berjemaah dengan Keena. Suami baru pulang masa tu.

Lepas makan malam, ajar Keena Iqra'. Dia sibuk nak saya ajarkan dia Iqra' 2. Tapi saya tengok Iqra' 1 pun dia masih belum lancar, jadi saya tak mahu. Saya rasa dia dah bosan asyik ulang Iqra' 1. Apa pun, saya nak dia betul-betul lancar Iqra' 1 baru boleh ke Iqra' 2. Dia baca juga Iqra' 1 walaupun 'moncong' je. Saya ingat nak buat sesuatu supaya dia tak bosan baca Iqra' 1. Idea dah ada, esok saya nak cuba. :)

Lepas Iqra', Keena main dengan Rayyan sambil saya dan suami tengok TV - The Good Wife. Saya suka juga cerita ni. Selain sebab ceritanya tentang peguam dan penyiasatan (saya dulu cita-cita nak jadi peguam! tapi Allah ada rancangan lain untuk saya. Akhirnya jaga akaun!), ceritanya juga tentang isteri yang terpaksa hadapi ujian bila suami ada 'affair' yang 'public' tahu, dia terpaksa kerja semula sebab suami masuk penjara, pada masa yang sama, ada tanggungjawab sebagai ibu. Ada banyak juga pengajaran yang boleh diambil dari cerita ni.

Kami naik tidur pukul 10.30 malam. Keena meragam lagi malam ni. Mulanya, saya tak mahu layan, tapi akhirnya saya terpaksa buat sesuatu bila dia mula menangis. Saya tak mahu tangisannya berlarutan dan ganggu tidur suami dan Rayyan pula. Saya temankan dia sekejap di biliknya, sambil bagi nasihat. Memang kalau ikut hati, rasa nak marah sebab dah 2-3 hari ni setiap kali nak tidur dia akan meragam. Tapi saya pujuk hati, ini amanah Allah pada saya. Mesti ada sebab kenapa dia asyik meragam. Mungkin adalah silap atau dosa saya yang Allah nak ampunkan. Jadi, saya mesti banyak bersabar dengan ragam anak-anak. Semoga Allah redha dan hanya Allah yang Maha Mengetahui. 


Saya tidur pukul 12.15 malam akhirnya. Ingat nak tidur awal, sebab esok nak puasa lagi. Harap boleh bangun sahur.

Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

No comments:

Post a Comment