Tuesday, April 19, 2011

Cerita Nabi Idris AS

Dua ayat dari Surah Maryam yang menyebut tentang Nabi Idris AS

Mencabar juga tugasan yang satu ini. Tidak banyak kisah Nabi Allah Idris AS yang diketahui, mahupun dalam Al Quran sendiri. Namun, itu tidak mematahkan semangat saya untuk menyediakan cerita Nabi Idris AS untuk Keena, Insya Allah.

Nabi Idris AS adalah nabi kedua yang wajib diketahui selepas Nabi Adam AS. Nabi Idris dikenali sebagai seorang ilmuwan kerana kepandaiannya di dalam pelbagai bidang ilmu. Nabi Idris juga sangat pandai menjahit. (Keena kata, "Macam Ayahlah, ye Ibu?" Sambil senyum, saya mengiakan. Keena pun tersenyum lebar, teruja!) Sambil menjahit, Nabi Idris suka berzikir. Dan Nabi Idris tidak pernah meminta upah untuk semua jahitannya. (Soalan Keena,"Habis, macam mana Nabi Idris nak dapat duit?". Saya terdiam sekejap. Hendak dijawab, saya tidak tahu faktanya. Kalau tidak dijawab, takut menjatuhkan semangat inkuirinya yang sedang tinggi pula. Sambil tawakkal, saya jawab, "Orang zaman dahulu selalunya ada kebun dan binatang ternakan. Mungkin jualan hasil kebun dan binatang ternakan Nabi Idris boleh dapatkan duit." Dalam hati saya pohon Allah ampunkan dosa saya jika saya tersilap, sambil berazam untuk cari jawapannya juga nanti.) Ada satu kisah yang agak terkenal tentang Nabi Idris dengan Syaitan. Pada suatu hari, sedang Nabi Idris menjahit, datang Syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki dan bertanya,"Wahai Idris, bolehkah Tuhanmu memasukkan dunia ini ke dalam sebiji telur?". Tujuan Syaitan ialah supaya Nabi Idris menjadi panik dan tergugatlah kepercayaannya kepada Allah SWT. Ternyata, kepercayaan Nabi Idris tetap teguh dan dengan penuh yakin Nabi Idris menjawab,"Tuhanku bukan sahaja boleh memasukkan dunia ini ke dalam telur, malah boleh memasukkan dunia ini ke dalam lubang jarum ini!" Sambil terus menusukkan jarum itu ke mata Syaitan. Sejak itu, Syaitan tidak lagi berani mengganggu Nabi Idris AS. (Soalan Keena,"Kenapa Nabi Idris tu kuat betul kepercayaannya kepada Allah SWT?". Saya terdiam sekali lagi. Dalam hati berkata, nampaknya selepas ini kena 'anticipate' soalan-soalan yang mungkin ditanya oleh Keena supaya boleh buat persediaan yang lebih rapi! Sekali lagi, sambil tawakkal saya jawab,"Itulah kelebihan Nabi-Nabi, Allah berikan kelebihan @ mukjizat kepada mereka, menjadikan kepercayaan mereka terhadap Allah SWT sangat kuat, supaya mereka dapat mengajak orang lain juga mempercayai Allah SWT dengan kuat juga!" Alhamdulillah, nampak Keena dapat terima jawapan itu dengan baik.

Saya sudah dapat agak cerita seterusnya yang diminta oleh Keena. "Adam, Idris, Nuh! Ha, lepas ni Ibu cerita Nabi Nuh pulak ye!". Alhamdulillah, di dalam Al Quran ada Surah Nuh. Jadi, saya akan mulakan 'research' saya di situ. Semoga Allah membantu saya... :)

Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

1 comment:

  1. hikmah sakit - ada masa untuk kongsi tazkirah keena di sini!

    ReplyDelete