3 hari lepas, bila Keena balik dari sekolah, dia cerita pada saya ada kawan sekelasnya yang sudah ada 'boyfriend'. Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya terkejut bila dia cerita perkara begitu, apalagi dia baru darjah satu! Tapi saya cuba kawal dan cakap pada Keena, 'Boyfriend tu kan kawan lelaki, kalau kawan je, apa salahnya...'. Tapi Keena tetap kata kawannya itu ada 'boyfriend yang bercinta punya!'. Pecah ketawa saya tetapi di hati ada rasa gundah yang melanda.
Allah Maha Besar, lagi Maha Mengetahui kegundahan saya. Lantas Dia memberi ilham kepada saya untuk selitkan sedikit pengisian lepas solat Maghrib berjemaah dengannya. Kebetulan saya baru lepas baca satu artikel tentang 'CINTA' juga. :)
Ibu: Keena, Keena tahu tak yang pertama sekali kita kena cinta pada siapa?
Keena: Allah.
Ibu: Pandai pun. Lepas Allah?
Keena: Rasulullah.
Ibu: Pandai anak Ibu. Lepas tu?
Keena: Ayah?
Ibu: (Senyum). Sebenarnya, kalau ikut Hadis Rasulullah SAW, seorang anak mesti cintai Ibu 3 kali ganda lebih daripada Ayah. (Lalu saya ceritakan perihal hadis tersebut kepada Keena.)
Ibu: Keena faham?
Keena: Faham.
Ibu: Ok, lepas Ibu?
Keena: Ayah!
Ibu: Bagus... Lepas Ayah?
Keena: Nenek?
Ibu: (Ketawa). Adiklah dulu. (Sambil tunjuk pada Rayyan yang sedang sibuk main laci!)
Keena: Mana ada, adiklah kena sayang Kak Long!
Ibu: (Ketawa lagi). Kalau adik kena sayang Kak Long, Kak Long pun kenalah sayang adik juga!
Keena: (Ketawa) Oklah... :D
Alhamdulillah, walaupun sesi pengisian itu ringkas sahaja, tetapi saya rasa cukup bermakna buat saya. Sambil berdoa, moga bermakna juga buat Keena.
Esoknya, selepas solat Maghrib berjemaah juga, saya cuba berikan sedikit pengisian lagi kepada Keena. Kali ini tentang kewajipan SOLAT. Saya ceritakan tentang ayat 56 Surah Az Zariyat yang bermaksud: "Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku." Sengaja saya ceritakan bagaimana pada mulanya Allah memerintahkan solat 50 waktu tetapi Rasulullah yang sangat sayangkan umatnya yang meminta dikurangkan sehingga tinggal 5 waktu! Saya juga tekankan betapa solat itu boleh menjadi ubat dan penawar. Maknanya, sakit bukan alasan untuk tidak solat, tetapi bila sakit, kena solat lebih lagi! Alhamdulillah, nampaknya Keena faham.
Hari ketiga, sebelum mula solat Maghrib berjemaah, Keena sudah tanya saya, "Hari ni Ibu nak cerita pasal apa?". Terkejut juga saya, tetapi saya terus senyum sambil dalam hati rasa sangat bersyukur. Nampaknya sesi 'bercerita' selepas solat itu mula terkesan di hatinya sehingga menanti-nanti 'cerita' seterusnya dari saya. Lalu saya tanya, "Keena nak Ibu cerita pasal apa?". "Keena nak Ibu cerita tentang Nabi yang pertama, Nabi Adam. Sebab ada kawan Keena nama dia Adam!". Sambil ketawa kecil, saya kata, "Ok!"
Cerita Nabi Adam - Saya ceritakan bagaimana dulu Nabi Adam tinggal di syurga tetapi kerana terpedaya dek hasutan syaitan yang menyuruhnya memakan buah larangan Allah, maka Nabi Adam telah diperintahkan Allah supaya meninggalkan syurga dan turun ke bumi. "Sebab tu kita mesti buat apa yang Allah suruh, dan jangan buat apa yang Allah larang. Kalau kita buat apa yang Allah suruh, kita akan masuk syurga, tapi kalau kita buat juga apa yang Allah larang, Allah akan keluarkan kita dari syurga." Keena mengangguk-angguk tanda faham. Alhamdulillah... :)
"Ibu, esok Ibu cerita pasal Nabi Idris pulak, ok!" kata Keena dengan semangat.
"Ok!" saya jawab dengan senyum, tapi dalam hati 'Apa ye cerita Nabi Idris? Nampaknya kena cari!' Bagus juga ada sesi pengisian @ tazkirah ringkas seperti ini. Bukan hanya bagus untuk Keena, tapi juga bagus untuk saya sebab saya pun kena buat persediaan sebelum boleh ber'cerita' kepada dia. Tugasan harian yang baru buat saya. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas nikmat ini. Semoga Allah istiqomahkan hati-hati kami, Amin...
Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.
share tazkirah dengan keena tu kat sini..nak dengar juga..:)
ReplyDelete