Thursday, October 27, 2011

Sungai

 مَّثَلُ ٱلۡجَنَّةِ ٱلَّتِى وُعِدَ ٱلۡمُتَّقُونَ‌ۖ فِيہَآ أَنۡہَـٰرٌ۬ مِّن مَّآءٍ غَيۡرِ ءَاسِنٍ۬ وَأَنۡہَـٰرٌ۬ مِّن لَّبَنٍ۬ لَّمۡ يَتَغَيَّرۡ طَعۡمُهُ ۥ وَأَنۡہَـٰرٌ۬ مِّنۡ خَمۡرٍ۬ لَّذَّةٍ۬ لِّلشَّـٰرِبِينَ وَأَنۡہَـٰرٌ۬ مِّنۡ عَسَلٍ۬ مُّصَفًّ۬ى‌ۖ وَلَهُمۡ فِيہَا مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٲتِ وَمَغۡفِرَةٌ۬ مِّن رَّبِّہِمۡ‌ۖ كَمَنۡ هُوَ خَـٰلِدٌ۬ فِى ٱلنَّارِ وَسُقُواْ مَآءً حَمِيمً۬ا فَقَطَّعَ أَمۡعَآءَهُمۡ
Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya) dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam Neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)! (Muhammad:15) 

Allah beri keizinan kepada kami untuk menghabiskan sehari suntuk di tepi sungai pada 26 Oktober 2011. Yang paling seronok mestilah anak-anak, Kasreena & Rayyan. Syukran jazilan kepada Nenek & Ucu kesayangan mereka yang tidak jemu-jemu melayan. Syukran jazilan Tok Long yang sudi tumpangkan kami di teratak tepi sungainya. Sambil mandi, sambil merenung kebesaran Tuhan. Subhanallah... Cantiknya sungai, cantiknya pokok-pokok hijau. Ini baru di dunia yang sementara. Dan Allah janjikan sungai dan pokok hijau yang lebih cantik, yang tidak terjangkau dek fikiran manusia di syurga yang kekal abadi nanti. Syurga bagi orang-orang yang bertakwa. 
Semoga kita tergolong di dalamnya, Amin.



























Wednesday, October 12, 2011

Kegembiraan Kasreena

Hati Kasreena berbunga ceria. Keceriaan jelas terpancar pada senyuman manis yang menghiasi wajah mungilnya. Melonjak-lonjak perasaan gembira itu sehingga adiknya Rayyan, turut gembira bermain dengannya pada hari ini. Tiada jeritan memberontak kedengaran daripada kedua-dua mereka. Jelas sekali kegembiraan 'Kak Long' turut sama mempengaruhi 'Abang Ngah' kesayangannya itu. 

Walaupun malam sudah agak lewat, kedua-duanya masih segar menanti kepulangan Ibu. Begitulah rutin setiap hari Selasa apabila Ibu ada kelas malam. Ibu hanya akan pulang pada pukul 10 malam atau lebih lewat. Ayah yang kurang sihat sudah tiada daya hendak melayan keceriaan anak-anak, lantas masuk tidur lebih awal. 

Kasreena tidak sabar-sabar menunggu Ibu pulang kerana ingin menunjukkan sesuatu kepada Ibu. Dalam hatinya sudah berkata, "Mesti Ibu seronok kalau Ibu tengok ini..."tangannya erat memegang satu set kertas. Ada perasaan puas.

Sesekali Kasreena melihat jam di dinding. Hari ini nampaknya Ibu lebih lewat dari biasa. Kasreena tidak tahu yang kelas Ibu dipanjangkan sedikit. Dia terus setia menanti.

Apabila terdengar bunyi kereta Ibu sampai di hadapan rumah, Kasreena terus meluru ke pintu. Ibu terkejut melihat anak-anak masih belum tidur pada jam itu. Biasanya Kasreena akan tertidur awal kerana keletihan bersekolah pagi hingga petang. Tapi hari ini pada jam 10.45 malam, wajahnya masih segar. Dan sangat teruja. Rayyan pula melompat-lompat kegirangan melihat Ibu pulang. Keletihan Ibu yang tadinya membeban, terasa ringan apabila melihat wajah-wajah ceria anak-anak.

Belum sempat Ibu turun dari kereta, Kasreena telah lebih dahulu membukakan pintu kereta untuk Ibu lantas menghulurkan kertas yang sejak tadi dipegangnya.

Ibu: Apa ni? (sambil tengok kertas yang dihulur).
Kasreena: (Senyum).
Ibu: Alhamdulillah, pandainya anak Ibu ni. (sambil peluk dan cium Kasreena).
*nota: rasa letih tadi terus hilang!
Kasreena: (Senyum lebih lebar).

Ibu dapat lihat wajah Kasreena lebih ceria selepas Ibu peluk dan cium dia. Pipinya yang montel nampak kemerah-merahan. Ibu pun turut ceria melihat keceriaan Kasreena. Walaupun pada hakikatnya jasad Ibu berasa sangat kepenatan kerana seharian bekerja dan belajar pula pada sebelah malamnya, namun kegembiraan yang Kasreena berikan kepada Ibu pada penghujung hari itu sangat memberikan makna. Membuatkan Ibu memanjatkan kesyukuran dan memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Mengurniakan. "Nikmat Allah yang mana lagi yang mahu didustakan?", Ibu teringat bait ayat Ar Rahman.

Dan malam itu, Kasreena tidur dengan senyuman lebar, bak kata P Ramlee - "Tidur dalam Iman". Dan Ibu mendapat pelajaran yang tidak ternilai, lebih bernilai daripada pelajaran yang dipelajarinya di kelas yang dihadirinya malam itu. 

Daripada Aisyah r.a. :
"Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."





Saturday, October 8, 2011

Jumaat Yang Gembira

"طَعَامُ اْلوَاحِدِ يَكْفِي اْلإِثْنَيْنِ وَطَعَامُ اْلإِثْنَيْنِ يَكْفِي اْلأَرْبَعَةَ وَطَعَامُ اْلأَرْبَعَةِ يَكْفِي ثَمَانِيَةً"
“Makanan untuk seorang cukup untuk dua orang, makanan dua orang cukup untuk empat orang dan makanan empat orang cukup untuk lapan orang.”
[1] HR. Muslim no: 2059.

Small Flame Set - RM29.90
.Rezeki Allah kepada kami berdua sebagai santapan tengahari
pada Jumaat, 7 Oktober 2011 di Alamanda, Putrajaya

Jumaat memang hari gembira
Penghulu hari yang sentiasa memberi ceria
Kepada kami yang bergelar wanita berkerjaya
Kerana sedikit panjang waktu rehat tengaharinya

Menu di gambar yang kami idamkan
Makanan laut dan juga ikan
Sebagai santapan di tengahari yang aman
Dengan doa mendapat keberkatan Tuhan

Walaupun menu itu sebenarnya untuk seorang
Kami berdua berkongsi hidang
Benarlah mafhum hadis - "Makanan untuk seorang cukup untuk dua orang"
Perut & hati kami berasa lapang

Syukur, syukur, Allah permudahkan
Kurniakan kepada kami segala kebahagiaan
Walaupun kecil tetapi sangat signifikan
Lalu nikmat Allah yang mana lagi yang mahu kami dustakan?

* * * * * * * * * *

**ditujukan buat sahabat sejati, dunia ukhrawi, Salwana Salihan... ;)**


Friday, October 7, 2011

Asam Pedas Ikan Pari

Wajah cerianya dengan anak-anak... :)

Wajah itu nampak sugul sejak beberapa hari yang lalu. Walau kesugulan itu cuba dikawalnya, ternyata dia tidak seceria selalu. Peristiwa-peristiwa kecil yang suram yang berlaku dalam hidupnya sejak awal minggu mungkin menjadi penyebab kesugulan itu.

Kata-kata pujukan dan semangat telah diberi. Dengan harapan dia akan kembali seperti sedia kala. Dan hari ini, apa yang bakal dihidangkan kepadanya semoga dapat menambah gembira di hati. 

5.20 petang - SMS diterima darinya berbunyi,"Masak asam pedas ikan kembung / pari... Soh mak guide..."

Tersenyum sendiri. Teruja. Kerana dalam hati, itulah yang dirancangkan untuk disediakan sebagai lauk makan malam hari ini. Untuk menggembirakan hatinya. Kerana itu lauk kesukaannya. Apatah lagi kalau resipi dari ibunya sendiri.

Dengan bantuan ibunya, Asam Pedas Ikan Pari berjaya disiapkan. Alhamdulillah.
Dengan penuh selera, dia makan bertambah-tambah. Alhamdulillah.
Syukur, Alhamdulillah.

Dan wajah cerianya sudah mula kembali...
Dan Resipi Asam Pedas Ikan Pari ~ Resipi Istimewa Ibu Mertuaku, kuabadikan di dalam blog ini. Kelak jika dia sugul lagi, resipi ini boleh menjadi penawarnya!

Asam Pedas Ikan Pari ~ Resipi Istimewa Ibu Mertuaku!
Bahan-Bahan:
Ikan Pari - 2 keping besar (dipotong kecil) - saya dapat 12 ketul kecil
Bendi - 15 biji
Bawang Merah - 20 ulas (kisar) - Ibu Mertua saya kata, lagi banyak bawang, lagi sedap! ;)
Bawang Putih - 10 ulas (kisar)
Cili Boh - 2 sudu besar - tak pedas sangat, kalau nak lagi pedas, silalah tambah ye...
Air Asam Jawa - 1 mangkuk
Daun Kesum - agak2 sendiri lah, saya masukkan banyak jugak, sebab nak bagi wangi...
Garam
Gula

Cara Masak:
1. Tumis bawang merah, bawang putih & cili boh sampai garing.
2. Masukkan air asam jawa & biar mendidih.
3. Masukkan ikan pari.
4. Masukkan bendi bila ikan dah separuh masak.
5. Masukkan daun kesum.
6. Seimbangkan garam & gula secukup rasa.
7. Siap! Senang, kan? ;)