Wednesday, October 12, 2011

Kegembiraan Kasreena

Hati Kasreena berbunga ceria. Keceriaan jelas terpancar pada senyuman manis yang menghiasi wajah mungilnya. Melonjak-lonjak perasaan gembira itu sehingga adiknya Rayyan, turut gembira bermain dengannya pada hari ini. Tiada jeritan memberontak kedengaran daripada kedua-dua mereka. Jelas sekali kegembiraan 'Kak Long' turut sama mempengaruhi 'Abang Ngah' kesayangannya itu. 

Walaupun malam sudah agak lewat, kedua-duanya masih segar menanti kepulangan Ibu. Begitulah rutin setiap hari Selasa apabila Ibu ada kelas malam. Ibu hanya akan pulang pada pukul 10 malam atau lebih lewat. Ayah yang kurang sihat sudah tiada daya hendak melayan keceriaan anak-anak, lantas masuk tidur lebih awal. 

Kasreena tidak sabar-sabar menunggu Ibu pulang kerana ingin menunjukkan sesuatu kepada Ibu. Dalam hatinya sudah berkata, "Mesti Ibu seronok kalau Ibu tengok ini..."tangannya erat memegang satu set kertas. Ada perasaan puas.

Sesekali Kasreena melihat jam di dinding. Hari ini nampaknya Ibu lebih lewat dari biasa. Kasreena tidak tahu yang kelas Ibu dipanjangkan sedikit. Dia terus setia menanti.

Apabila terdengar bunyi kereta Ibu sampai di hadapan rumah, Kasreena terus meluru ke pintu. Ibu terkejut melihat anak-anak masih belum tidur pada jam itu. Biasanya Kasreena akan tertidur awal kerana keletihan bersekolah pagi hingga petang. Tapi hari ini pada jam 10.45 malam, wajahnya masih segar. Dan sangat teruja. Rayyan pula melompat-lompat kegirangan melihat Ibu pulang. Keletihan Ibu yang tadinya membeban, terasa ringan apabila melihat wajah-wajah ceria anak-anak.

Belum sempat Ibu turun dari kereta, Kasreena telah lebih dahulu membukakan pintu kereta untuk Ibu lantas menghulurkan kertas yang sejak tadi dipegangnya.

Ibu: Apa ni? (sambil tengok kertas yang dihulur).
Kasreena: (Senyum).
Ibu: Alhamdulillah, pandainya anak Ibu ni. (sambil peluk dan cium Kasreena).
*nota: rasa letih tadi terus hilang!
Kasreena: (Senyum lebih lebar).

Ibu dapat lihat wajah Kasreena lebih ceria selepas Ibu peluk dan cium dia. Pipinya yang montel nampak kemerah-merahan. Ibu pun turut ceria melihat keceriaan Kasreena. Walaupun pada hakikatnya jasad Ibu berasa sangat kepenatan kerana seharian bekerja dan belajar pula pada sebelah malamnya, namun kegembiraan yang Kasreena berikan kepada Ibu pada penghujung hari itu sangat memberikan makna. Membuatkan Ibu memanjatkan kesyukuran dan memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Mengurniakan. "Nikmat Allah yang mana lagi yang mahu didustakan?", Ibu teringat bait ayat Ar Rahman.

Dan malam itu, Kasreena tidur dengan senyuman lebar, bak kata P Ramlee - "Tidur dalam Iman". Dan Ibu mendapat pelajaran yang tidak ternilai, lebih bernilai daripada pelajaran yang dipelajarinya di kelas yang dihadirinya malam itu. 

Daripada Aisyah r.a. :
"Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."





No comments:

Post a Comment