Friday, October 7, 2011

Asam Pedas Ikan Pari

Wajah cerianya dengan anak-anak... :)

Wajah itu nampak sugul sejak beberapa hari yang lalu. Walau kesugulan itu cuba dikawalnya, ternyata dia tidak seceria selalu. Peristiwa-peristiwa kecil yang suram yang berlaku dalam hidupnya sejak awal minggu mungkin menjadi penyebab kesugulan itu.

Kata-kata pujukan dan semangat telah diberi. Dengan harapan dia akan kembali seperti sedia kala. Dan hari ini, apa yang bakal dihidangkan kepadanya semoga dapat menambah gembira di hati. 

5.20 petang - SMS diterima darinya berbunyi,"Masak asam pedas ikan kembung / pari... Soh mak guide..."

Tersenyum sendiri. Teruja. Kerana dalam hati, itulah yang dirancangkan untuk disediakan sebagai lauk makan malam hari ini. Untuk menggembirakan hatinya. Kerana itu lauk kesukaannya. Apatah lagi kalau resipi dari ibunya sendiri.

Dengan bantuan ibunya, Asam Pedas Ikan Pari berjaya disiapkan. Alhamdulillah.
Dengan penuh selera, dia makan bertambah-tambah. Alhamdulillah.
Syukur, Alhamdulillah.

Dan wajah cerianya sudah mula kembali...
Dan Resipi Asam Pedas Ikan Pari ~ Resipi Istimewa Ibu Mertuaku, kuabadikan di dalam blog ini. Kelak jika dia sugul lagi, resipi ini boleh menjadi penawarnya!

Asam Pedas Ikan Pari ~ Resipi Istimewa Ibu Mertuaku!
Bahan-Bahan:
Ikan Pari - 2 keping besar (dipotong kecil) - saya dapat 12 ketul kecil
Bendi - 15 biji
Bawang Merah - 20 ulas (kisar) - Ibu Mertua saya kata, lagi banyak bawang, lagi sedap! ;)
Bawang Putih - 10 ulas (kisar)
Cili Boh - 2 sudu besar - tak pedas sangat, kalau nak lagi pedas, silalah tambah ye...
Air Asam Jawa - 1 mangkuk
Daun Kesum - agak2 sendiri lah, saya masukkan banyak jugak, sebab nak bagi wangi...
Garam
Gula

Cara Masak:
1. Tumis bawang merah, bawang putih & cili boh sampai garing.
2. Masukkan air asam jawa & biar mendidih.
3. Masukkan ikan pari.
4. Masukkan bendi bila ikan dah separuh masak.
5. Masukkan daun kesum.
6. Seimbangkan garam & gula secukup rasa.
7. Siap! Senang, kan? ;)

No comments:

Post a Comment