Tuesday, January 3, 2012

2 0 1 2

Sambutan Tahun Baru 2012 saya pada tahun ini berlainan sedikit kerana saya berada di Restoran Sate Kajang Hj Samuri di Bangunan Dato' Nazir atas urusan kerja. 

Audit pada malam tahun baru...

Bunga api di Stadium Kajang yang meriah... (ke membazir???)

Azam Tahun Baru 2012? Saya sudah mula berazam sejak Tahun Baru Hijrah (1 Muharram 1433 = 27 November 2011) yang lepas. Dan azam itu pun sebenarnya lebih kurang sama dengan azam pada tahun sebelumnya. Dan saya yakin juga, azam saya mungkin tidak jauh bezanya dengan azam kebanyakan kita, iaitu ingin jadi hamba Allah yang lebih baik. Bunyinya terlalu umum. Apa kata kita perincikan? Pada saya, tiada yang lebih terperinci untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik selain berpegang dengan teguh kepada 6 Rukun Iman & 5 Rukun Islam. Kenyataannya, sudah bertahun-tahun rukun-rukun ini melekat di dalam kepala. Seingat saya, waktu darjah satu lagi kita sudah mempelajarinya. Tapi, sejauh mana agaknya ianya telah dihayati? (Lebih kepada soalan untuk diri sendiri.)

Justeru, tahun 1433 Hijrah/2012 Masihi ini, saya ingin mengajak diri saya untuk:

1) Beriman dengan RUKUN IMAN dengan sebenar-benarnya. Paling utama, beriman kepada Allah dengan lebih lagi. Saya ingin menggapai tahap Iman seperti wanita-wanita ahli syurga, Asiah - Isteri Firaun, Maryam - Ibu Nabi Isa & Khadijah dan Aisyah - Isteri Rasulullah SAW. Biar target setinggi langit, kalau tidak mendapat langit, sekurang-kurangnya kita mendapat awan. Betul, kan? Juga pupuk Iman kepada malaikat, rasul, kitab, hari akhirat & qada' dan qadar dengan sebenar-benar Iman.

2) Laksanakan RUKUN ISLAM dengan sebaik-baiknya. Mengesakan ALLAH SWT dengan kalimah syahadah dan mengharap hanya pada Allah, bukan pada yang lain. Jaga solat yang wajib dan tambah nilai kepada solat yang wajib itu dengan solat sunat. Sentiasa berpuasa, bukan hanya pada bulan Ramadhan, tetapi tambah nilai puasa yang wajib itu dengan puasa-puasa sunat. Menunaikan zakat, dan tambah nilai zakat itu dengan sedekah. Dan kalau ada rezeki yang tidak disangka-sangka, saya memang sangat ingin menunaikan haji. Namun, andai masih belum ada rezeki, saya akan tetap berusaha mempersiapkan diri untuk ke rumah Allah itu, Insya Allah.

Azam tidak akan lengkap tanpa disertakan tawakkal bersama. Memang kita wajib mengharap hanya pada Allah, kan? Jadi, selepas berazam, jangan lupa berdoa mohon dimakbulkan oleh Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Berdoalah dengan sungguh-sungguh. 

Azam juga akan tinggal azam tanpa usaha yang gigih dan beterusan untuk mencapainya. Jadi, mesti bermujahadah untuk mencapai azam itu. Buat bersungguh-sungguh. 

Azam yang baik, Insya Allah, Allah akan bantu! Saya boleh! Kita semua boleh!

Cuti Tahun Baru diserikan dengan makan durian di SS2, PJ... Nyum... Alhamdulillah... ;)

the 'Musang King'!

No comments:

Post a Comment