Hitam - Beg Sek Keb, Merah - Beg Sek Agama... :) |
Alhamdulillah, Syukur pada Allah, kerana Allah masih beri nikmat hidup kepada Ibu untuk menyaksikan puteri muslimah kesayangan Ibu, Kasreena, masuk darjah 2 pada tahun 2012 ini. Seperti mana yang Ibu sebut pada Kasreena sewaktu makan malam sehari sebelum mula sekolah, "Dah 8 tahun dah anak ibu, rasa macam baru semalam 8 bulan, berdukung lagi dengan ibu..." Kasreena ketawa besar mendengar kata-kata Ibu. Ibu turut ketawa, sambil dalam hati tidak putus-putus berdoa agar Kasreena terus membesar dengan baik, jadi anak yang solehah dan memberi manfaat kepada orang lain.
4 Januari 2012 - Seperti biasa, hari pertama sekolah, Ibu dan Ayah bercuti untuk uruskan persekolahan Kasreena. Tahun ini, Kasreena sekolah agama (KAFA Integrasi Ar Raihan, Bandar Teknologi Kajang) pada sesi pagi dan sekolah kebangsaaan (Sek Keb Bdr Teknologi Kajang) pada sebelah petang. Kasreena nampak bersemangat hendak memulakan sekolah, pukul 6.45 pagi Kasreena sudah siap bersarapan dan mengajak Ibu ke sekolah dengan segera. Dan bukan Kasreena sahaja, tetapi Rayyan pun bangun awal pagi itu, seolah-olah turut teruja dengan hari pertama persekolahan kak longnya.
Kami sampai di sekolah agama pada jam 7.30 pagi dan terus menyemak nama Kasreena di papan kenyataan. Pada mulanya Ibu tidak dapat mencari nama Kasreena, tetapi setelah beberapa minit, barulah Ibu ternampak nama - "Qasrina Rumaisya binti Kamrul". Rupa-rupanya pihak sekolah tersilap mengeja nama Kasreena dan nama Ayah. Kasreena ditempatkan di kelas 2 Al-Bukhari. Ibu terfikir juga hendak bertanyakan Kasreena sama ada Kasreena tahu siapa itu Al-Bukhari, tetapi Ibu tangguhkan niat itu kerana Ibu hendak buat sedikit 'research' sebelum Kasreena bertanyakan pelbagai soalan tentang Imam Al-Bukhari kepada Ibu. :)
Pendaftaran berjalan lancar walaupun terpaksa menunggu agak lama, maklumlah, hari pertama sekolah. Sewaktu pendaftaran, ustazah meminta Ibu membetulkan ejaan nama Kasreena dan Ayah. Ustazah kata nama Kasreena cantik. Alhamdulillah, Ibu senyum sambil dalam hati berdoa agar Kasreena juga cantik akhlak dan budi pekerti.
Pendaftaran di sekolah kebangsaan pada sesi petang lebih ringkas. Disebabkan yuran persekolahan telah dimansuhkan, tiada bayaran perlu dibuat pada hari pendaftaran. Syukur Alhamdulillah... Jadi, Ibu dan Ayah cuma pastikan Kasreena masuk kelas dengan baik dan doakan yang terbaik untuk Kasreena.
Malamnya, Ibu bertungkus lumus membalut buku teks yang Kasreena baru terima. Banyak juga, sampai lenguh pinggang dan tangan Ibu. Tapi, Ibu seronok dapat balut buku-buku Kasreena dengan kemas. Ibu berdoa agar Kasreena dapat belajar dengan baik. Selepas selesai balut buku, Kasreena kemas kedua-dua beg 'Angry Birds' Kasreena. Tahun ini, Kasreena minta untuk pakai beg 'Angry Birds' untuk dua-dua sekolah. Ibu dan Ayah setuju sebagai penghargaan kejayaan Kasreena di dalam peperiksaan tahun lepas. Kasreena seronok sangat, jadi Ibu dan Ayah pun seronok juga. Tapi, Ibu pesan dengan Kasreena, pakai beg 'Angry Birds' boleh, jangan jadi 'Angry Birds', asyik marah-marah! ;)
4.1.2012 - 7 pagi. Kasreena Rumaisya sudah siap sedia hendak ke sekolah! :) |
Doa Ibu setiap kali lepas solat untuk anak-anak Ibu:
رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa."
No comments:
Post a Comment