Alhamdulillah, saya sangat-sangat bersyukur kepada Allah. Keena kesayangan saya dengan rasminya bergelar 'graduan' Smartreader pada 28 November 2010 yang lalu. Seperti mana saya catatkan pada status saya di FB, hati saya sangat berbunga-bunga dan sedikit sebak melihat anak kesayangan mengambil 'ijazah'nya. Ini baru 'ijazah' Smartreader! Syukur, Keena berjaya habiskan 3 tahun di Smartreader dengan cemerlang. Sepanjang 3 tahun, setiap kali sesi 'Meet-The-Teachers', saya tidak pernah kecewa dengan komen guru-guru Keena. Dia merupakan salah seorang pelajar contoh. Sekadar berkongsi, minta Allah jauhkan saya dari sifat riak dan takbur. Dan saya sangat-sangat bersyukur kepada Allah kerana tidak lain, semua itu datangnya dariNya jua.
Selepas graduasi, ada konsert persembahan oleh pelajar-pelajar Smartreader. Sungguh menghiburkan. Keena menari tarian Wau Bulan dengan rakan-rakan seusianya. Saya rasa persembahan Keena paling menghiburkan. Tapi, saya mungkin bersikap 'bias', sebab itukan Keena kesayangan saya! :D
Selepas tarian, ada persembahan nyanyian oleh semua pelajar 6 tahun. Lagu 1Malaysia oleh Faizal Tahir. Bersemangat betul Keena menyanyi. Saya tengok anak-anak yang lain duduk tegak je sepanjang nyanyian, tetapi anak saya yang seorang itu - siap lenggok, goyang, gaya, semuanya ada! Ketawa saya dan suami melihat gaya Keena.
Sepanjang 3 tahun di Smartreader, tiap-tiap tahun Keena akan buat persembahan tarian. Masa 4 tahun - tarian 'Bollywood', masa 5 tahun - tarian Michael Jackson dan masa 6 tahun - tarian Wau Bulan. 1 Malaysia, kan? :) Saya harap Keena puas dengan semua tarian yang pernah disertainya. Sebabnya, saya harap bila Keena masuk darjah 1 nanti, kalau boleh saya mahu dia bertudung ke sekolah. Saya pernah cakap hasrat hati saya itu kepadanya dan dia pun nampaknya bersetuju, Alhamdulillah. Jadi kalau sudah bertudung, saya harap tiada lagi acara tarian yang akan disertainya. Apa pun, itu cuma harapan saya sahaja. Saya berdoa agar Allah makbulkan harapan saya. Masuk darjah 1 nanti, kalau boleh, saya mahu Keena 'rapat' dengan Al Quran. Saya berazam mahu ajar dia hafazan Al Quran, Insya Allah.
Saya yakin Keena ada potensi untuk menghafal Al Quran. Sebabnya, saya mula ajar dia Al Fatihah seawal umur 4 tahun. (Awal ke? Agaknya ada ibu yang ajar lebih awal!) Umur 5 tahun, Keena sudah mula hafaz Ayat Kursi. Yang saya perhatikan, agak mudah hendak ajar, asalkan kita konsisten. Macam Al Fatihah dan Ayat Kursi yang Keena hafaz, saya memang akan baca kedua-duanya dengan dia setiap hari sebelum tidur. Tahun ini, bila saya mula ajak Keena solat, saya akan baca bacaan solat itu kuat sedikit supaya dia boleh dengar. Alhamdulillah, Keena sudah mula hafaz bacaan dalam solat. Yang lebih baik, dan saya sangat-sangat gembira dan bersyukur, doa selepas solat pun Keena sudah boleh baca sedikit-sedikit. Alhamdulillah, sungguh besar nikmat kegembiraan yang Allah beri.
Keena, walaupun baru 6 tahun, tapi sudah banyak suka duka saya dan suami lalui dalam membesarkannya. Yang suka, kami jadikan kenangan yang terindah. Dan yang duka, kami ambil sebagai mehnah. Saya sedar, perjalanan Keena masih jauh. Saya berdoa agar Allah beri yang terbaik buat Keena. Walaupun dia seorang yang agak pemarah dan kuat merajuk, tetapi dia juga seorang yang cerdik dan cepat belajar. Kadangkala, potensinya di luar jangkaan saya. Lantas buat saya sedar, terpulang pada saya dan suami, sebagai ibu dan ayahnya, untuk memastikan potensi itu digilap dan dijayakan. Saya pohon Allah beri saya dan suami kesabaran dalam mendidik anak-anak kami. Sebab saya tahu, "Sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang SABAR."
Buat anak kesayangan ibu, semoga Keena jadi hamba Allah yang taat, anak yang solehah dan muslimah sejati. Doa ibu akan selalu mengiringi Keena.
Ada seorang jiran memanggil Keena - 'Smart Girl', sejak kecil hingga sekarang, beliau masih panggil Keena begitu. Saya berterima kasih kepada beliau, kerana saya terfikir - apa yang kita ucapkan selalu itu kan doa, jadi secara tidak langsung, jiran saya itu mendoakan anak saya, dengan cara yang mungkin beliau pun tidak sedari. :)
Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.