Sebenarnya, saya tulis post ini untuk minggu sebelum Aidiladha, tapi disebabkan kesibukan, saya tak sempat nak publish. Masih tak dapat nak istiqomah menulis blog ni macam tulis diari, hari-hari. Apa pun, ini kisah minggu 'sakit' di rumah saya bermula 4 November 2010 - 13 November 2010.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Minggu ini minggu 'sakit' di rumah saya. Kenapa saya kata minggu sakit? Sebabnya sejak hari Khamis semua orang dalam rumah saya diuji Allah dengan sakit. Mula dengan Rayyan, yang demam pada hari Khamis. Pembantu saya turut demam. Jadinya, pada hari Jumaat, cuti Deepavali, kami sekeluarga hanya duduk di rumah sahaja. Pada malam hari Deepavali, demam pembantu saya semakin teruk sampai saya terpaksa papah dia ke klinik. Sabtu malam, kami ke Jusco Cheras Selatan bila demam Rayyan berkurang. Sekarang ni Rayyan suka lembik-lembikkan badan dia bila dipegang. Masa di Jusco, saya sedang pegang dia dan dia buat lembik, saya tarik tangan dia, tak sengaja tertarik kuat! Menangis sakanlah dia. Malam tu dia tidur dengan tangan berbalut, suami balut. Yang sedihnya bila suami tanya dia, mana sakit? Dia tunjuk pergelangan tangan kiri dia sambil cakap "Ibu buat Yayen..." Minta maaf ye anak ibu sayang, sungguh ibu tak sengaja! :(
Ini gambar anak-anak di Jusco... :)
(p/s: Gambar-gambar tu semua sebelum insiden tangan terseliuh! :P)
Esok paginya kami bawa dia ke klinik sebab risau pula. Alhamdulillah, doktor sahkan terseliuh sikit dan doktor sapu ubat dan balut tangannya. Tak berkesempatan pula saya nak ambil gambar tangan Rayyan berbalut. Dari klinik, kami terus ke Langat untuk kenduri doa selamat di 'rumah peranginan' baru Pak Long saya. Rumah tu betul-betul di tepi Sungai Chongkak. Memang best! :)
Yang seronoknya, bila saya bawa Rayyan masuk dalam sungai, tangannya yang sakit terus tak sakit lagi! Siap dia boleh tepuk-tepuk air sungai tu sampai terpercik ke mukanya. Seronok betul dia. Saya pun gembira tengok anak-anak seronok dapat mandi sungai. Menjelang petang, adik saya, Ekah dan Ean nak balik awal sebab Ean kena kerja malamnya. Tiba-tiba Ekah terseliuh dan jatuh. Hanya Allah yang tahu betapa tersentapnya hati, sebab adik saya Ekah, sedang mengandung 2 bulan. Saya tak dapat nak tolong Ekah sebab saya sedang melayan Rayyan dan Keena di dalam sungai. Mak saya bergegas bawa Ekah ke hospital. Alhamdulillah, semuanya baik kecuali kakinya terseliuh dan perlu disimen.
Hari Isnin, saya ke pejabat seperti biasa. Sempat melawat Ekah sebentar di hospital pada paginya. Keena mengadu sakit perut. Saya ingat sakit perut biasa jadi saya suruh dia minum air banyak-banyak dan rehat. Malamnya, Keena mengadu sakit perutnya semakin sakit! Sampai lewat malam, dia tak dapat tidur. Saya cuma sapukan minyak telon ke perutnya. Pagi Selasa baru kami bawa dia ke klinik. Doktor kata mungkin gastrik. Hari yang sama, Rayyan pula muntah-muntah sampai dia tidak boleh tidur. Malam itu juga kami bawa dia ke klinik. Doktor kata, mungkin virus dari Keena. Hari Selasa dan Rabu saya bercuti untuk jaga anak-anak sebab pembantu saya pun nampak tidak sihat. Rabu pagi saya bawa pembantu ke klinik untuk kali kedua sebab ubatnya dah habis, tapi dia masih belum baik sepenuhnya. Batuknya masih kuat. Doktor kata paru-parunya berbunyi agak kuat, jadi kena sedut gas setiap 6 jam. Dari klinik, kami terus ke rumah mak saya. Di rumah mak, saya pula tiba-tiba sakit kepala. Saya letak minyak angin di kepala dan tidur. Adik saya, Ekah dah keluar dari hospital pada hari Selasa dan berehat di rumah mak saya.
Petangnya, lepas bawa pembantu untuk sedut gas, saya minta ubat juga dari doktor, kami pulang dan saya terus tidur sampai maghrib. Baru lega sikit sakit kepala saya. Malamnya, suami ajak makan di luar saja sebab saya pun tak sempat nak masak sebab sakit kepala. Kami makan malam di Beranang Cafe. Di situ, Rayyan tiba-tiba muntah-muntah semula dan badannya panas. Habis satu badan saya kena muntah dia. Lepas muntah, dia terus tertidur. Kesian Rayyan. Kami yang lain, terpaksa makan malam di kedai itu dengan sisa bau muntah Rayyan yang masih melekat di baju saya yang tak dapat dibasuh habis! Lepas makan, kami ke rumah mak saya yang tidak jauh dari Beranang Cafe. Saya salin baju, bagi Rayyan makan ubat demam dan letak 'Cool Fever' di kepalanya. Pukul 10, kami bawa pembantu saya untuk sedut gas lagi.
Malamnya, suami pula tiba-tiba muntah-muntah dan mengadu sejuk sampai menggigil-gigil badannya. Malam itu, saya tidur dengan anak-anak di bilik saya dan suami tidur di bilik Keena. Mulanya, Keena yang meragam nak tidur dengan saya, sebab tu suami mengalah. Tapi rupanya ada hikmahnya, sebab suami pun tak sihat malam tu, jadi biarlah dia tidur sendirian tanpa gangguan Rayyan atau Keena terjaga pada tengah malam!
Pagi Khamis, saya bawa suami ke klinik. Cuti lagi saya hari Khamis itu. Doktor kata, virus anak-anak mungkin dah kena pada suami. Saya pun tak sangka virus tu boleh berjangkit-jangkit, tapi doktor kata memang boleh! Dalam hati terdetik, lepas ni saya pula ke akan kena? Minta-minta Allah jauhkanlah... Balik dari klinik dan sepanjang hari, suami saya tidur saja. Saya pun biarkan saja, kesian dia. Alhamdulillah, menjelang petang, dia beransur baik. Tapi saya pula terasa loya dan tak sedap perut. Saya makan ubat dan baring saja, berehat. Malamnya, kami ke klinik lagi sebab pembantu saya masih perlu sedut gas. Balik dari klinik, singgah di rumah mak saya dan Keena minta tidur di rumah neneknya. Balik dari rumah mak saya, perut saya mula meragam lagi. Saya makan ubat, letak minyak angin di perut dan tidur.
Pagi Jumaat, saya mula asyik berulang ke bilik air. Naik lembik badan dibuatnya. Ujian Allah kena pada semua orang dalam rumah saya, nampaknya. Alhamdulillah, ujian Allah buat kami semua dapat kami lalui dengan tabah. Teringat nasyid kumpulan Raihan - "Ingat 5 perkara, sebelum 5 perkara, sihat sebelum sakit...". Memang betul, bila sakit barulah hargai masa sihat.
"Ya Allah, kurniakanlah kesihatan yang baik buat ku dan seluruh ahli keluargaku, supaya mudah untuk kami beribadat kepadaMu..."
Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.
No comments:
Post a Comment