Jumaat, 27 Disember 2002 - Saya dan suami diijabkabulkan oleh ayah saya yang tersayang. Syukur, gembira, sedih dan gelisah - semua perasaan ini bercampur baur dalam hati saya pada masa itu. Syukur, akhirnya saya sah menjadi isteri kepada lelaki yang saya cintai itu. Gembira, impian untuk menjadi suri hatinya tercapai jua. Sedih, terasa seperti 'berpisah' dengan Mak & Ayah. Gelisah, bagaimana nanti hidup sebagai seorang isteri?
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Isnin, 27 Disember 2010 - 8 tahun telah berlalu. Kalau dulu kami cuma berdua, kini lebih meriah dengan kehadiran dua orang permata hati, Alhamdulillah. Hidup kami bagai lautan yang terbentang luas, ada pasang dan ada surutnya. Dengan izin Allah jua, kemanisan hidup kami nikmati dengan rasa syukur. Kepahitan hidup, kami gagahi dengan rasa insaf. Betapa besar kasih dan sayang Allah kepada kami. Pada setiap kemanisan, ada kepahitan, dan pada setiap kepahitan, terselit kemanisan. Semuanya agar kami tidak lupa dan tidak alpa.
Syukur, ya, saya masih dan akan terus bersyukur, dengan segala nikmat ini. Gembira, ya, saya masih dan harapnya akan terus gembira, di dunia dan akhirat, sebagai seorang isteri dan ibu kepada keluarga yang sangat saya cintai ini. Sedih, ya, kadangkala apabila keinginan untuk menjadi isteri solehah dan ibu mithali teruji, saya sedih. Cuma saya berdoa agar kesedihan itu menjadikan saya lebih tabah dan Allah beri kekuatan kepada saya untuk teruskan perjalanan dan perjuangan. Gelisah, ya, perasaan gelisah kadangkala datang, apabila memikirkan sudah terlaksanakah amanah yang Allah beri untuk menjaga suami dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang. Namun, saya berdoa agar kegelisahan itu menjadi penguat semangat saya untuk terus meraih solehah, demi mencari Redha dan Cinta Allah.
8 tahun bersamamu, wahai suami, terasa cepatnya masa berlalu. Terima kasih, abang, kerana terlalu banyak yang abang beri, hingga Ana tidak tahu bagaimana hendak membalasnya. Semoga Allah balas dengan pahala dan syurga untuk abang.
Terima kasih, Ya Allah, atas limpahan nikmatMu yang tidak bertepi. Jadikanlah kami hambaMu yang taat, berikanlah kami kesihatan yang baik untuk melaksanakan suruhanMu, permudahkanlah urusan kami dalam urusan ke jalanMu, lembutkanlah hati-hati kami agar sentiasa mengingatiMu, berilah kami petunjuk dan hidayahMu dan tempatkanlah kami di dalam syurgaMu bersama-sama orang-orang yang beriman. Hanya padaMu, Ya Allah, tempat kami memohon. Amin.
Ingin terus meraih Solehah, demi Cinta kepada Allah.
No comments:
Post a Comment