Saturday, December 18, 2010

SUPERMOM & SUPER MUSLIM, Insya Allah... :)


Agaknya kalau blog ini macam rumah, 3 minggu dibiarkan, pasti sudah berhabuk sana sini. Terkilan juga rasanya tidak dapat menulis dan berkongsi rasa selama 3 minggu. Namun, apakan daya, banyak perkara perlu diuruskan sampaikan tiada sisa masa boleh diambil untuk DIARIKU ini.

Bulan Disember 2010 akan saya kenang sebagai BULAN UJIAN bagi kami sekeluarga, apabila pembantu rumah saya yang sudah saya anggap macam adik sendiri akhirnya 'lari' meninggalkan kami. Sampai saat ini, saya sendiri masih tidak tahu apa perkataan yang sesuai untuk 'pemergian'nya itu, sebab itu saya kata dia 'lari'. Kecewa, marah, sedih, hairan, bingung... semua perasaan ini bercampur baur di dalam hati saya apabila perkara ini terjadi kepada kami sekeluarga.

Kecewa mengenangkan tergamaknya dia 'lari' begitu sahaja. Kalau pun ada masalah, tidak bolehkah berbincang baik-baik seperti sebelum-sebelum ini?

Marah kerana tindakannya itu seolah-olah menikam saya dari belakang. Saya begitu percayakan dia, saya hormat dia kerana dia jaga anak-anak saya dengan baik.

Sedih kerana bukan sahaja saya sudah anggap dia macam adik sendiri, tetapi anak-anak juga sangat rapat dengannya. Malah, mak saya, nenek saya dan adik-adik saya sudah anggap dia seperti keluarga sendiri.

Hairan memikirkan kenapa agaknya dia sanggup buat begitu? Saya rasa saya sudah layan dia dengan baik. Wallahua'lam, mungkin masih ada kekurangan pada diri saya dalam perhubungan dengannya.

Bingung memikirkan bagaimana anak-anak saya selepas tiada pembantu rumah nanti? Siapa yang hendak saya percaya untuk mengasuh anak-anak saya selepas ini. Atau mungkin saya patut berhenti kerja sahaja dan jaga anak-anak dengan tangan dan kudrat sendiri (seperti mana yang saya impikan selama ini!)?

Di sebalik apa yang terjadi, saya pujuk hati, kuatkan semangat. Hidup mesti diteruskan. Yang 'pergi' biarlah 'pergi'. Saya pun tidak mengharapkan dia kembali. Malah, kalau dia kembali pun, saya sudah jauh hati. Biarlah saya cuba uruskan semuanya sendiri. Bersesuaian pula dengan Awal Muharram, Tahun Baru Hijrah, saya tanamkan azam baru, untuk menjadi seorang SUPERMOM!

  1. Saya masih PERLU bekerja untuk mencari KESELESAAN HIDUP untuk keluarga. Kalau ikutkan naluri seorang IBU, sekarang juga saya hendak berhenti kerja dan jaga anak-anak sepenuh masa. Namun, hanya Allah yang mengetahui kedudukan saya dan suami. Dan saya tidak pernah putus berdoa agar Allah murahkan rezeki kami sekeluarga dan cita-cita saya untuk jadi SURIRUMAHTANGGA sepenuh masa akan tercapai.
  2. Walaupun bekerja, saya ingin uruskan rumahtangga saya dengan TANGAN SENDIRI. Dulu, masa tiada pembantu rumah, biasanya makan malam akan saya beli di kedai sahaja. Baju yang perlu digosok, saya akan hantar ke dobi. Sejak ada pembantu rumah, tiap-tiap petang saya akan sediakan makan malam sendiri dan baju yang perlu digosok akan diuruskan oleh pembantu saya. Kini, saya harap saya boleh terus sediakan makan malam dan gosok baju sendiri. Semoga Allah mudahkan segala urusan untuk saya.
  3. Saya mahu didik anak-anak jadi ANAK SOLEH dan SOLEHAH. Jadi, saya berazam untuk luangkan masa untuk SOLAT JAMAAH dengan suami dan anak-anak. Buat permulaan, solat Maghrib MESTI berjamaah. Dan saya harap sedikit-sedikit, akan dipanjangkan ke solat Isya' berjamaah dan solat Subuh berjamaah. Malah, kalau hari cuti, harapnya dapat solat Zohor dan Asar berjamaah. Saya juga ada azam untuk ajar anak-anak CINTAKAN AL QURAN. Saya hendak ajar mereka mengaji sendiri. Insya Allah, semoga Allah kurniakan saya kesabaran untuk mengajar mereka.
3 azam baru yang nampak mudah, tetapi saya tahu jika saya tidak bersungguh-sungguh dan tidak istiqomah, saya tidak akan dapat mencapainya. Bersama-sama azam ini, saya panjatkan setulus doa kepada Allah agar diberi petunjuk, hidayah, kasih sayang, kekuatan dan kesabaran untuk menjayakannya. Sesungguhnya tiada tempat untuk saya mengadu dan meminta selain dariNya jua.

Di sebalik ujian yang Allah beri, saya sudah nampak hikmahnya. Sungguh Allah Maha Besar! Ujian ini mengajar saya menjadi lebih kuat, lebih sabar, lebih redha dan lebih matang. Benarlah Allah tidak menguji dengan ujian yang tidak mampu ditanggung hambaNya. Allah Maha Penyayang, maka bersama-sama ujian, sentiasa diiringi kasih sayangNya yang tidak bertepi, berserta petunjuk dan hidayah, hingga akhirnya ujian itu menjadi 'hadiah' paling berharga bagi diri hambaNya itu. Alhamdulillah... Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah.

Dan yang lebih penting daripada menjadi SUPERMOM ialah menjadi SUPERMUSLIM! :D



Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

No comments:

Post a Comment