Thursday, December 8, 2011

SYURGAMU...



Segala yang ada dalam hidupku
Kusedari semua milikMu 
Ku hanya hambaMu yang berlumur dosa 

Tunjukkan aku jalan lurusMu 
Untuk menggapai SyurgaMu 
Terangiku dalam setiap langkah hidupku 

Karena… 
Kutahu… 
Hanya Engkau… 
Tuhanku… 

Allahu Akbar 
Allah Maha Besar 
Ku memujaMu di setiap waktu 

Hanyalah padaMu 
Tempatku berteduh 
Memohon redha dan ampunanMu 
Tunjukkan aku jalan lurusMu 
Untuk menggapai SyurgaMu 
Terangiku dalam setiap langkah hidupku 

Karena… 
Kutahu… 
Hanya Engkau… 
Tuhanku… 

Allahu Akbar 
Allah Maha Besar 
KumemujaMu di setiap waktu 

Hanyalah kepadaMu 
Tempatku berteduh 
Memohon redha dan ampunanMu 

Allahu Akbar 
Allah Maha Besar 
KumemujaMu di Setiap Waktu

Thursday, December 1, 2011

Al Insyirah (Kelapangan) Bagi Kami...

Tempat Kedua (1 Uthman Al Affan) - KAFA Integrasi Ar Raihan, Bandar Teknologi Kajang

Tempat ke-3 (1 Tekun) - Sek Keb Bandar Teknologi Kajang


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,
Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan IMAN dan HIDAYAT petunjuk)?
Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam);
Yang membebani tanggunganmu, (dengan memberikan pelbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?
Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan pelbagai kemuliaan)?
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
Kemudian apabila kamu telah selesai (daripada beramal soleh), maka bersungguh-sungguhlah kamu berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),
Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah kamu memohon (apa yang kamu gemar & ingini)...


(Nota Ibu: Benarlah kata-kata Allah Yang Maha Besar. Surah ini Ibu ulang-ulang sepanjang masa Kasreena menghadapi peperiksaan akhir tahunnya yang lalu. Alhamdulillah, Kasreena berjaya dengan cemerlang. Ibu doakan anak kesayangan Ibu terus cemerlang, bukan sahaja di dunia, tetapi jua di akhirat sana!)

Saturday, November 12, 2011

KISAH RUMAISYA

Nama penuhnya ialah RUMAISYA BINTI MILHAN. Beliau adalah ibu kepada Anas bin Malik. Keturunan bangsawan dari kabilah Ansar suku Khazraj. Memiliki sifat keibuan dan berwajah manis menawan. Berfikiran cerdas dan bersikap tertib, berhati-hati, matang serta berakhlak mulia. Beliau merupakan salah seorang wanita pertama memeluk Islam dan juga seorang wanita solehah yang istimewa di mata Rasulullah SAW.

Suaminya, Malik bin Nadhir, tidak memeluk Islam seperti Rumaisya dan sangat marah apabila isterinya memeluk Islam, dan mengajarkan pula Islam kepada anak mereka, Anas. Dalam keadaan marah, Malik telah keluar dari rumah dan dibunuh pula oleh musuhnya di tengah jalan. Biar pun kematian suami, Rumaisya tetap tabah membesarkan anaknya, Anas dan telah berjanji untuk tidak berkahwin lagi sehingga Anas sendiri yang menyuruhnya.

Apabila Anas meningkat remaja, Rumaisya membawa Anas bertemu Rasulullah SAW dan menyerahkan satu-satunya anak kesayangannya itu untuk menjadi pembantu Baginda. Rasulullah SAW pula menerima Anas dengan rasa gembira.

Rumaisya kemudiannya telah dilamar oleh seorang bangsawan musyrik yang bernama Abu Thalhah, tetapi ditolaknya pinangan itu walaupun Abu Thalhah menawarkan mas kahwin yang banyak. Rumaisya tidak tergoda sedikit pun dengan kesenangan dan kemewahan dunia yang sementara yang dijanjikan oleh Abu Thalhah, tetapi sebaliknya memberi syarat supaya Abu Thalhah memeluk Islam terlebih dahulu. Abu Thalhah yang kagum dengan sifat Rumaisya yang langsung tidak memandang kekayaan, terus memeluk Islam dengan rela hati dan menikah dengan Rumaisya.

Diriwayatkan oleh Tsabit dari Anas - "Aku tidak pernah mendengar mas kahwin yang lebih mulia daripada mas kahwin Rumaisya binti Milhan iaitu keislaman suaminya."

Rumaisya dan Abu Thalhah dikurniakan seorang anak iaitu Abu Umair, namun, Allah SWT ingin menduga pasangan ini lalu Abu Umair jatuh sakit dan telah meninggal dunia. Sewaktu anak mereka meninggal dunia, Abu Thalhah tiada di rumah kerana menunaikan solat berjemaah di masjid. Apabila beliau pulang dan bertanyakan khabar anaknya, isterinya Rumaisya menjawab dengan penuh tenang bahawa anak mereka sudah semakin sembuh kerana tidak mahu menyedihkan hati suaminya. Ternyata Rumaisya adalah seorang isteri yang sangat tabah dan sabar. Jawapannya membuatkan suaminya berasa senang hati dan terus tidur kerana terlalu letih.

Keesokan harinya, barulah Rumaisya memberitahu suaminya tentang pemergian anak kesayangan mereka ke Rahmatullah, itu pun dengan pertanyaan penuh hikmah:

"Wahai suamiku, apa pendapatmu jika ada orang yang meminjamkan barang kepada kita dan sekarang dia mahukan barang yang dipinjamnya itu kembali? Patutkah kita memulangkannya?"

Lalu Abu Thalhah menjawab dengan penuh yakin, "Sudah tentu sekali kita perlu memulangkannya!"

"Wahai suamiku, oleh itu, redhakanlah pemergian anakanda Abu Umair kerana Allah SWT yang telah meminjamkan Abu Umair kepada kita, telah pun mengambil kembali barang pinjamanNya itu."

Walaupun sangat terkejut dan sedih dengan berita itu, Abu Thalhah menerima dan redha dengan ketentuan Ilahi. Mereka kemudiannya telah pergi bertemu dengan Rasulullah SAW untuk mengkhabarkan tentang kematian anak mereka. Rasulullah SAW mendoakan Rumaisya & Abu Thalhah - "Semoga Allah SWT memberikan barakah pada malam pengantin kalian berdua."

Rumaisya & Abu Thalhah dikurniakan pula seorang lagi anak lelaki yang diberi nama Abdullah bin Thalhah oleh Rasulullah SAW. Abdullah bin Thalhah pula dikurniakan dengan 7 orang anak lelaki yang kesemuanya bergelar 'Hafiz'.

Rumaisya binti Milhan adalah seorang wanita solehah istimewa yang dijanjikan syurga. Sabda Rasulullah SAW: "Aku bermimpi memasuki syurga, dan ternyata di sana ada Rumaisya binti Milhan!"

Ya Allah, semoga anak kami KASREENA RUMAISYA BINTI KAMARUL akan jadi srikandi Islam,
persis RUMAISYA BINTI MILHAN... Ameen...

Nota Ibu: Kisah Rumaisya telah Ibu ceritakan pada Keena pada suatu malam sebelum Keena tidur. Daripada riak wajahnya, Ibu tahu Keena sangat gembira dengan cerita 'dirinya' itu. Terima kasih nenek Keena kerana memberikan nama 'Rumaisya' kepada Keena lebih 7 tahun yang lalu. Semoga Keena akan jadikan Rumaisya binti Milhan dan semua srikandi Islam sebagai idola hidup Keena.

Thursday, October 27, 2011

Sungai

 مَّثَلُ ٱلۡجَنَّةِ ٱلَّتِى وُعِدَ ٱلۡمُتَّقُونَ‌ۖ فِيہَآ أَنۡہَـٰرٌ۬ مِّن مَّآءٍ غَيۡرِ ءَاسِنٍ۬ وَأَنۡہَـٰرٌ۬ مِّن لَّبَنٍ۬ لَّمۡ يَتَغَيَّرۡ طَعۡمُهُ ۥ وَأَنۡہَـٰرٌ۬ مِّنۡ خَمۡرٍ۬ لَّذَّةٍ۬ لِّلشَّـٰرِبِينَ وَأَنۡہَـٰرٌ۬ مِّنۡ عَسَلٍ۬ مُّصَفًّ۬ى‌ۖ وَلَهُمۡ فِيہَا مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٲتِ وَمَغۡفِرَةٌ۬ مِّن رَّبِّہِمۡ‌ۖ كَمَنۡ هُوَ خَـٰلِدٌ۬ فِى ٱلنَّارِ وَسُقُواْ مَآءً حَمِيمً۬ا فَقَطَّعَ أَمۡعَآءَهُمۡ
Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya) dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam Neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)! (Muhammad:15) 

Allah beri keizinan kepada kami untuk menghabiskan sehari suntuk di tepi sungai pada 26 Oktober 2011. Yang paling seronok mestilah anak-anak, Kasreena & Rayyan. Syukran jazilan kepada Nenek & Ucu kesayangan mereka yang tidak jemu-jemu melayan. Syukran jazilan Tok Long yang sudi tumpangkan kami di teratak tepi sungainya. Sambil mandi, sambil merenung kebesaran Tuhan. Subhanallah... Cantiknya sungai, cantiknya pokok-pokok hijau. Ini baru di dunia yang sementara. Dan Allah janjikan sungai dan pokok hijau yang lebih cantik, yang tidak terjangkau dek fikiran manusia di syurga yang kekal abadi nanti. Syurga bagi orang-orang yang bertakwa. 
Semoga kita tergolong di dalamnya, Amin.



























Wednesday, October 12, 2011

Kegembiraan Kasreena

Hati Kasreena berbunga ceria. Keceriaan jelas terpancar pada senyuman manis yang menghiasi wajah mungilnya. Melonjak-lonjak perasaan gembira itu sehingga adiknya Rayyan, turut gembira bermain dengannya pada hari ini. Tiada jeritan memberontak kedengaran daripada kedua-dua mereka. Jelas sekali kegembiraan 'Kak Long' turut sama mempengaruhi 'Abang Ngah' kesayangannya itu. 

Walaupun malam sudah agak lewat, kedua-duanya masih segar menanti kepulangan Ibu. Begitulah rutin setiap hari Selasa apabila Ibu ada kelas malam. Ibu hanya akan pulang pada pukul 10 malam atau lebih lewat. Ayah yang kurang sihat sudah tiada daya hendak melayan keceriaan anak-anak, lantas masuk tidur lebih awal. 

Kasreena tidak sabar-sabar menunggu Ibu pulang kerana ingin menunjukkan sesuatu kepada Ibu. Dalam hatinya sudah berkata, "Mesti Ibu seronok kalau Ibu tengok ini..."tangannya erat memegang satu set kertas. Ada perasaan puas.

Sesekali Kasreena melihat jam di dinding. Hari ini nampaknya Ibu lebih lewat dari biasa. Kasreena tidak tahu yang kelas Ibu dipanjangkan sedikit. Dia terus setia menanti.

Apabila terdengar bunyi kereta Ibu sampai di hadapan rumah, Kasreena terus meluru ke pintu. Ibu terkejut melihat anak-anak masih belum tidur pada jam itu. Biasanya Kasreena akan tertidur awal kerana keletihan bersekolah pagi hingga petang. Tapi hari ini pada jam 10.45 malam, wajahnya masih segar. Dan sangat teruja. Rayyan pula melompat-lompat kegirangan melihat Ibu pulang. Keletihan Ibu yang tadinya membeban, terasa ringan apabila melihat wajah-wajah ceria anak-anak.

Belum sempat Ibu turun dari kereta, Kasreena telah lebih dahulu membukakan pintu kereta untuk Ibu lantas menghulurkan kertas yang sejak tadi dipegangnya.

Ibu: Apa ni? (sambil tengok kertas yang dihulur).
Kasreena: (Senyum).
Ibu: Alhamdulillah, pandainya anak Ibu ni. (sambil peluk dan cium Kasreena).
*nota: rasa letih tadi terus hilang!
Kasreena: (Senyum lebih lebar).

Ibu dapat lihat wajah Kasreena lebih ceria selepas Ibu peluk dan cium dia. Pipinya yang montel nampak kemerah-merahan. Ibu pun turut ceria melihat keceriaan Kasreena. Walaupun pada hakikatnya jasad Ibu berasa sangat kepenatan kerana seharian bekerja dan belajar pula pada sebelah malamnya, namun kegembiraan yang Kasreena berikan kepada Ibu pada penghujung hari itu sangat memberikan makna. Membuatkan Ibu memanjatkan kesyukuran dan memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Mengurniakan. "Nikmat Allah yang mana lagi yang mahu didustakan?", Ibu teringat bait ayat Ar Rahman.

Dan malam itu, Kasreena tidur dengan senyuman lebar, bak kata P Ramlee - "Tidur dalam Iman". Dan Ibu mendapat pelajaran yang tidak ternilai, lebih bernilai daripada pelajaran yang dipelajarinya di kelas yang dihadirinya malam itu. 

Daripada Aisyah r.a. :
"Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."





Saturday, October 8, 2011

Jumaat Yang Gembira

"طَعَامُ اْلوَاحِدِ يَكْفِي اْلإِثْنَيْنِ وَطَعَامُ اْلإِثْنَيْنِ يَكْفِي اْلأَرْبَعَةَ وَطَعَامُ اْلأَرْبَعَةِ يَكْفِي ثَمَانِيَةً"
“Makanan untuk seorang cukup untuk dua orang, makanan dua orang cukup untuk empat orang dan makanan empat orang cukup untuk lapan orang.”
[1] HR. Muslim no: 2059.

Small Flame Set - RM29.90
.Rezeki Allah kepada kami berdua sebagai santapan tengahari
pada Jumaat, 7 Oktober 2011 di Alamanda, Putrajaya

Jumaat memang hari gembira
Penghulu hari yang sentiasa memberi ceria
Kepada kami yang bergelar wanita berkerjaya
Kerana sedikit panjang waktu rehat tengaharinya

Menu di gambar yang kami idamkan
Makanan laut dan juga ikan
Sebagai santapan di tengahari yang aman
Dengan doa mendapat keberkatan Tuhan

Walaupun menu itu sebenarnya untuk seorang
Kami berdua berkongsi hidang
Benarlah mafhum hadis - "Makanan untuk seorang cukup untuk dua orang"
Perut & hati kami berasa lapang

Syukur, syukur, Allah permudahkan
Kurniakan kepada kami segala kebahagiaan
Walaupun kecil tetapi sangat signifikan
Lalu nikmat Allah yang mana lagi yang mahu kami dustakan?

* * * * * * * * * *

**ditujukan buat sahabat sejati, dunia ukhrawi, Salwana Salihan... ;)**


Friday, October 7, 2011

Asam Pedas Ikan Pari

Wajah cerianya dengan anak-anak... :)

Wajah itu nampak sugul sejak beberapa hari yang lalu. Walau kesugulan itu cuba dikawalnya, ternyata dia tidak seceria selalu. Peristiwa-peristiwa kecil yang suram yang berlaku dalam hidupnya sejak awal minggu mungkin menjadi penyebab kesugulan itu.

Kata-kata pujukan dan semangat telah diberi. Dengan harapan dia akan kembali seperti sedia kala. Dan hari ini, apa yang bakal dihidangkan kepadanya semoga dapat menambah gembira di hati. 

5.20 petang - SMS diterima darinya berbunyi,"Masak asam pedas ikan kembung / pari... Soh mak guide..."

Tersenyum sendiri. Teruja. Kerana dalam hati, itulah yang dirancangkan untuk disediakan sebagai lauk makan malam hari ini. Untuk menggembirakan hatinya. Kerana itu lauk kesukaannya. Apatah lagi kalau resipi dari ibunya sendiri.

Dengan bantuan ibunya, Asam Pedas Ikan Pari berjaya disiapkan. Alhamdulillah.
Dengan penuh selera, dia makan bertambah-tambah. Alhamdulillah.
Syukur, Alhamdulillah.

Dan wajah cerianya sudah mula kembali...
Dan Resipi Asam Pedas Ikan Pari ~ Resipi Istimewa Ibu Mertuaku, kuabadikan di dalam blog ini. Kelak jika dia sugul lagi, resipi ini boleh menjadi penawarnya!

Asam Pedas Ikan Pari ~ Resipi Istimewa Ibu Mertuaku!
Bahan-Bahan:
Ikan Pari - 2 keping besar (dipotong kecil) - saya dapat 12 ketul kecil
Bendi - 15 biji
Bawang Merah - 20 ulas (kisar) - Ibu Mertua saya kata, lagi banyak bawang, lagi sedap! ;)
Bawang Putih - 10 ulas (kisar)
Cili Boh - 2 sudu besar - tak pedas sangat, kalau nak lagi pedas, silalah tambah ye...
Air Asam Jawa - 1 mangkuk
Daun Kesum - agak2 sendiri lah, saya masukkan banyak jugak, sebab nak bagi wangi...
Garam
Gula

Cara Masak:
1. Tumis bawang merah, bawang putih & cili boh sampai garing.
2. Masukkan air asam jawa & biar mendidih.
3. Masukkan ikan pari.
4. Masukkan bendi bila ikan dah separuh masak.
5. Masukkan daun kesum.
6. Seimbangkan garam & gula secukup rasa.
7. Siap! Senang, kan? ;)

Friday, September 30, 2011

PAHALA

"Kak Long saaaayang Rayyan!" 


Kejadian nikmat Allah pada suatu petang...


  • Keena Yang Baru Lepas Mandi: Alaa... Baju kat atas... Keena takutlah nak naik sorang2...
  • Ibu Yang Letih Baru Balik Kerja: Ajak adik teman...
  • Keena: Yen, jom teman Kak Long naik atas...
  • Rayyan Yang Pakai Baju Batman: Tak nak...
  • Keena: Kalau Rayyan teman Kak Long, nanti dapat PAHALA tau...
  • Rayyan: Yayen nak dapat PAHALA... (dengan penuh 'innocent')
  • Keena: Ha, jom teman Kak Long! (sambil pegang tangan Rayyan & naik atas!)
  • Ibu: (Senyum sorang-sorang sambil ucap syukur, syukur & syukur...)

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * 

Teringat ceramah Prof Dr Muhaya Mohamad di mana dia syorkan kita gunakan 'bahasa akhirat' sebagai bahasa perbualan dalam rumah; pahala dan dosa, syurga dan neraka. Perbualan seperti itu akan sentiasa ingatkan kita tentang TUJUAN HIDUP kita yang sementara ini ~ BUAT PAHALA; untuk menuju destinasi kita yang abadi ~ SYURGA yang sejahtera. 

Ya Allah, tempatkanlah kami sekeluarga di dalam syurga-Mu. Ya Allah, kami pohonkan syurga-Mu...

Wednesday, September 14, 2011

PERGI TAK KEMBALI


LIFE IS SHORT, PRAY HARD!

Mati. Ia sesuatu yang pasti. Yang tersembunyi ialah bila akan mati. Di mana akan mati. Bagaimana akan mati. Siapa yang akan ada di sisi ketika mati. Itu semua hanya Allah Yang Maha Mengetahui. 

Hakikatnya, kita dipinjamkan nyawa, tidak lain hanya untuk beribadat kepada Allah, mencari keredhaanNya. Dengan keredhaan Allah itu kita mendambakan 'Husnul Khatimah', pengakhiran yang baik, mati di dalam keimanan dan ditempatkan di dalam syurgaNya. Itu janji Allah yang pasti.

"Ya Allah, hidupkanlah kami dengan Iman, dan matikanlah kami dengan Iman, dan masukkanlah kami ke dalam syurga dengan Iman. Dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih di antara yang mengasihani."

Al Fatihah kepada pakcik suami saya yang telah kembali ke Rahmatullah pada 11 September 2011. Ya Allah, ampuni dia, kasihani dia dan tempatkan dia di kalangan orang beriman, Amin.

Jom muhasabah diri, sudah bersediakah kita untuk mati? 



Tuesday, September 13, 2011

Pertunangan

10 Sept 2011, hari pertunangan sepupu tersayang, Nurul 'Aqilah. Ya Allah, berkatilah Nurul 'Aqilah & tunangnya. Peliharalah mereka daripada dosa. Bimbinglah mereka menuju redha-Mu. Permudahkanlah urusan mereka untuk membina syurga dunia, rumahtangga yang Sakinah, Mawaddah wa Rahmah. Amin...

Dari Kanan: Imran, Ibu (that's ME!), Cik Uya peluk Keena, Nurul 'Aqilah yang diraikan (pangku Syamil), Mama Imran (pangku Yaya)... ;D 
Nurul 'Aqilah & Acik tercinta (mak saya lah tu!)
Nurul 'Aqilah & bonda tercinta (tudung coklat) & bakal bonda mertua (tudung biru)

Friday, September 9, 2011

Semoga Aidilfitri Benar-Benar Jadi Kemenangan

Kullu Am wa Antum Bi Khair ( كل عام و انتم بخير )


Semoga Aidilfitri kita lebih bermakna di sisi Allah SWT. Syukur, Aidilfitri kami sekeluarga disambut dengan bertambah ahli keluarga. Adik saya, Asyraf, kini beraya berdua dengan isterinya, Leela. Dan adik saya, Refqah, menerima 'miracle baby' - Intessar Raiqa.

Blog saya sudah 'berhabuk'. Namun, semoga tulisan "comeback" ini dapat membuang habuknya dan memberi manfaat buat kita semua, Insya Allah.

Semalam saya diberi peluang oleh Allah SWT untuk solat zuhur di Masjid Kajang. Saya sebenarnya sangat terkesan setiap kali membaca tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim tentang solat berjemaah di masjid. Dengan kata lain - "bertemu dengan Allah SWT di rumah-Nya". Saya bukan seorang yang terlalu teruja untuk ke masjid. Bukankah bagi muslimah lebih baik solat di rumah sahaja? Jadi, masjid hanya akan jadi tempat solat jika dalam musafir. Tetapi kali ini, Allah SWT buka pintu hati saya untuk menuju ke masjid dengan niat untuk solat berjemaah.

Sebaik sampai di perkarangan masjid, hati saya sudah sebak. Tapi saya kuatkan hati dan menahan diri dari menangis sebab malu pula kalau dilihat orang. "Allahu Akbar", tuan imam memulakan solat zuhur. Dan tanpa dapat ditahan lagi, airmata saya turun mencurah-curah. Saya terpaksa menahan diri dari teresak-esak sehingga seluruh badan saya menggeletar. Namun, saya tetap kuatkan hati meneruskan solat. Pada masa itu saya rasa sangat kerdil, sangat hina dan sangat berdosa. Dan saya hanya memohon agar Allah ampunkan saya dan bimbing saya. Saat berkongsi pengalaman itu di saat ini pun saya masih sebak dan mengalirkan airmata. Saya pun kurang pasti mengapa sampai begitu, namun saya bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk menikmati perasaan seperti itu.

Usai solat zuhur berjemaah, saya rasa sangat sayang untuk meninggalkan masjid dan membiarkan perasaan itu berlalu pergi. Saya teruskan dengan solat-solat sunat dan tadarus Al Quran. Airmata terus turun membasahi pipi tatkala saya bersolat sunat dan bertadarus Al Quran. Tiba-tiba saya teringatkan suami, dan sangat ingin minta maaf padanya. Terasa diri ini terlalu banyak melukakan hatinya. Bukankah sepatutnya sebagai seorang muslimah, selepas Allah SWT & Rasulullah SAW, saya perlu dahulukan suami saya? Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda, "Sekiranya manusia dibenarkan menyembah manusia lain, maka aku akan perintahkan para isteri supaya menyembah suami masing-masing."? Saya capai telefon bimbit dan terus menghantar sms memohon maaf kepadanya. Airmata terus mengalir, lebih banyak daripada airmata yang keluar semasa memohon maaf darinya pada pagi hari raya.

Ia satu perasaan yang berbeza yang belum pernah saya rasa sebelum ini. Aneh, airmata yang turun tidak mendukacitakan, tetapi menenangkan saya. Syukur kepada Allah kerana memberikan saya ketenangan yang sangat saya perlukan. Mungkin kerana terlalu banyak komitmen dan tekanan yang menghimpit menyebabkan saya "down". Namun, Allah Maha Mengasihani, Allah Maha Penyayang, Dia tidak membiarkan saya "down" terus.

Saya simpulkan 2 perkara penting daripada pengalaman ini:
1. "Inna mal a'malu binniat" - Sesungguhnya sesuatu perkara itu bergantung kepada niat. Mungkin niat saya ke masjid untuk solat berjemaah itu menjadikan ia sesuatu yang lebih bermakna. Wallahua'lam.
2. "Innallaha ma'ana" - Sesungguhnya Allah bersama-sama kita. Selama ini Allah SWT sangat hampir, tetapi mungkin saya yang lalai dan tidak sedar kenyataan itu. Astaghfirullah.

~ Dari Abu Hurayrah r.a., katanya: Bersabda Rasulullah Saw.: “Berfirman Allah Yang Maha Agung: Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal) ~

Terlalu banyak doa yang saya panjatkan kepada Allah SWT. Malu kerana meminta terlalu banyak sedang diri begitu banyak dosa dan kurang pula beribadat kepada-Nya. Namun, hanya kepada-Nya tempat meminta, kerana Dia Yang Maha Mendengar dan Maha Memberi.

Ya Allah, ampunkan kami dan bimbinglah kami menuju redha-Mu.

Friday, April 22, 2011

Bread Pudding (with lots of LOVE!) :D



It's one of my many many favourite dessert. Never failed to indulge with it whenever we (my 'partner in crime', Salwana & me) went to Delifrance for lunch. Even better, at Delifrance, they serve it with Vanilla Ice Cream. Nyum... :)

I finally, successfully made some of it myself when I was at home, given MC by my doctor, two days back. I agree now when some say, "Cooking is a therapy..."

I didn't expect too much for this was my first try. But, to my surprise, it did turn out okay and most importantly, Keena & Rayyan love it so much. Watching them eating with all their hearts really made my day! (although it was my sick day!) Alhamdulillah, what more would a mother ask for? ;)

The Recipe:

5 pieces bread (I used Gardenia)
400ml coconut milk
1 cup wheat flour
1/2 cup sugar
100ml fresh milk
2 eggs
1 teaspoon vanilla essence
1/2 teaspoon salt
1 cup raisin
(if you like, you can also add 1 can of corn)


How to do?


1. Tear off bread and soak in coconut milk for a while.
2. Mix flour, milk and egg in mixer/blender.
3. Pour into bread & coconut milk.
4. Add vanilla essence,sugar & salt. Mix them well.
5. Add raisin & corn. Mix well again.
6. Put in oven - 180c for 1 hour. (But I don't have one, so I steamed them. Worked just fine!)

Tip: Put on a smile on your face throughout the process, and think of your loved ones. :)


Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

Tuesday, April 19, 2011

Cerita Nabi Idris AS

Dua ayat dari Surah Maryam yang menyebut tentang Nabi Idris AS

Mencabar juga tugasan yang satu ini. Tidak banyak kisah Nabi Allah Idris AS yang diketahui, mahupun dalam Al Quran sendiri. Namun, itu tidak mematahkan semangat saya untuk menyediakan cerita Nabi Idris AS untuk Keena, Insya Allah.

Nabi Idris AS adalah nabi kedua yang wajib diketahui selepas Nabi Adam AS. Nabi Idris dikenali sebagai seorang ilmuwan kerana kepandaiannya di dalam pelbagai bidang ilmu. Nabi Idris juga sangat pandai menjahit. (Keena kata, "Macam Ayahlah, ye Ibu?" Sambil senyum, saya mengiakan. Keena pun tersenyum lebar, teruja!) Sambil menjahit, Nabi Idris suka berzikir. Dan Nabi Idris tidak pernah meminta upah untuk semua jahitannya. (Soalan Keena,"Habis, macam mana Nabi Idris nak dapat duit?". Saya terdiam sekejap. Hendak dijawab, saya tidak tahu faktanya. Kalau tidak dijawab, takut menjatuhkan semangat inkuirinya yang sedang tinggi pula. Sambil tawakkal, saya jawab, "Orang zaman dahulu selalunya ada kebun dan binatang ternakan. Mungkin jualan hasil kebun dan binatang ternakan Nabi Idris boleh dapatkan duit." Dalam hati saya pohon Allah ampunkan dosa saya jika saya tersilap, sambil berazam untuk cari jawapannya juga nanti.) Ada satu kisah yang agak terkenal tentang Nabi Idris dengan Syaitan. Pada suatu hari, sedang Nabi Idris menjahit, datang Syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki dan bertanya,"Wahai Idris, bolehkah Tuhanmu memasukkan dunia ini ke dalam sebiji telur?". Tujuan Syaitan ialah supaya Nabi Idris menjadi panik dan tergugatlah kepercayaannya kepada Allah SWT. Ternyata, kepercayaan Nabi Idris tetap teguh dan dengan penuh yakin Nabi Idris menjawab,"Tuhanku bukan sahaja boleh memasukkan dunia ini ke dalam telur, malah boleh memasukkan dunia ini ke dalam lubang jarum ini!" Sambil terus menusukkan jarum itu ke mata Syaitan. Sejak itu, Syaitan tidak lagi berani mengganggu Nabi Idris AS. (Soalan Keena,"Kenapa Nabi Idris tu kuat betul kepercayaannya kepada Allah SWT?". Saya terdiam sekali lagi. Dalam hati berkata, nampaknya selepas ini kena 'anticipate' soalan-soalan yang mungkin ditanya oleh Keena supaya boleh buat persediaan yang lebih rapi! Sekali lagi, sambil tawakkal saya jawab,"Itulah kelebihan Nabi-Nabi, Allah berikan kelebihan @ mukjizat kepada mereka, menjadikan kepercayaan mereka terhadap Allah SWT sangat kuat, supaya mereka dapat mengajak orang lain juga mempercayai Allah SWT dengan kuat juga!" Alhamdulillah, nampak Keena dapat terima jawapan itu dengan baik.

Saya sudah dapat agak cerita seterusnya yang diminta oleh Keena. "Adam, Idris, Nuh! Ha, lepas ni Ibu cerita Nabi Nuh pulak ye!". Alhamdulillah, di dalam Al Quran ada Surah Nuh. Jadi, saya akan mulakan 'research' saya di situ. Semoga Allah membantu saya... :)

Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

Thursday, April 14, 2011

Tugasan Baru Ibu


3 hari lepas, bila Keena balik dari sekolah, dia cerita pada saya ada kawan sekelasnya yang sudah ada 'boyfriend'. Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya terkejut bila dia cerita perkara begitu, apalagi dia baru darjah satu! Tapi saya cuba kawal dan cakap pada Keena, 'Boyfriend tu kan kawan lelaki, kalau kawan je, apa salahnya...'. Tapi Keena tetap kata kawannya itu ada 'boyfriend yang bercinta punya!'. Pecah ketawa saya tetapi  di hati ada rasa gundah yang melanda. 

Allah Maha Besar, lagi Maha Mengetahui kegundahan saya. Lantas Dia memberi ilham kepada saya untuk selitkan sedikit pengisian lepas solat Maghrib berjemaah dengannya. Kebetulan saya baru lepas baca satu artikel tentang 'CINTA' juga. :)

Ibu: Keena, Keena tahu tak yang pertama sekali kita kena cinta pada siapa?
Keena: Allah.
Ibu: Pandai pun. Lepas Allah?
Keena: Rasulullah.
Ibu: Pandai anak Ibu. Lepas tu?
Keena: Ayah?
Ibu: (Senyum). Sebenarnya, kalau ikut Hadis Rasulullah SAW, seorang anak mesti cintai Ibu 3 kali ganda lebih daripada Ayah. (Lalu saya ceritakan perihal hadis tersebut kepada Keena.)
Ibu: Keena faham?
Keena: Faham.
Ibu: Ok, lepas Ibu?
Keena: Ayah!
Ibu: Bagus... Lepas Ayah?
Keena: Nenek?
Ibu: (Ketawa). Adiklah dulu. (Sambil tunjuk pada Rayyan yang sedang sibuk main laci!)
Keena: Mana ada, adiklah kena sayang Kak Long!
Ibu: (Ketawa lagi). Kalau adik kena sayang Kak Long, Kak Long pun kenalah sayang adik juga!
Keena: (Ketawa) Oklah... :D

Alhamdulillah, walaupun sesi pengisian itu ringkas sahaja, tetapi saya rasa cukup bermakna buat saya. Sambil berdoa, moga bermakna juga buat Keena. 

Esoknya, selepas solat Maghrib berjemaah juga, saya cuba berikan sedikit pengisian lagi kepada Keena. Kali ini tentang kewajipan SOLAT. Saya ceritakan tentang ayat 56 Surah Az Zariyat yang bermaksud: "Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku." Sengaja saya ceritakan bagaimana pada mulanya Allah memerintahkan solat 50 waktu tetapi Rasulullah yang sangat sayangkan umatnya yang meminta dikurangkan sehingga tinggal 5 waktu! Saya juga tekankan betapa solat itu boleh menjadi ubat dan penawar. Maknanya, sakit bukan alasan untuk tidak solat, tetapi bila sakit, kena solat lebih lagi! Alhamdulillah, nampaknya Keena faham.

Hari ketiga, sebelum mula solat Maghrib berjemaah, Keena sudah tanya saya, "Hari ni Ibu nak cerita pasal apa?". Terkejut juga saya, tetapi saya terus senyum sambil dalam hati rasa sangat bersyukur. Nampaknya sesi 'bercerita' selepas solat itu mula terkesan di hatinya sehingga menanti-nanti 'cerita' seterusnya dari saya. Lalu saya tanya, "Keena nak Ibu cerita pasal apa?". "Keena nak Ibu cerita tentang Nabi yang pertama, Nabi Adam. Sebab ada kawan Keena nama dia Adam!". Sambil ketawa kecil, saya kata, "Ok!"

Cerita Nabi Adam - Saya ceritakan bagaimana dulu Nabi Adam tinggal di syurga tetapi kerana terpedaya dek hasutan syaitan yang menyuruhnya memakan buah larangan Allah, maka Nabi Adam telah diperintahkan Allah supaya meninggalkan syurga dan turun ke bumi. "Sebab tu kita mesti buat apa yang Allah suruh, dan jangan buat apa yang Allah larang. Kalau kita buat apa yang Allah suruh, kita akan masuk syurga, tapi kalau kita buat juga apa yang Allah larang, Allah akan keluarkan kita dari syurga." Keena mengangguk-angguk tanda faham. Alhamdulillah... :)

"Ibu, esok Ibu cerita pasal Nabi Idris pulak, ok!" kata Keena dengan semangat.

"Ok!" saya jawab dengan senyum, tapi dalam hati 'Apa ye cerita Nabi Idris? Nampaknya kena cari!' Bagus juga ada sesi pengisian @ tazkirah ringkas seperti ini. Bukan hanya bagus untuk Keena, tapi juga bagus untuk saya sebab saya pun kena buat persediaan sebelum boleh ber'cerita' kepada dia. Tugasan harian yang baru buat saya. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas nikmat ini. Semoga Allah istiqomahkan hati-hati kami, Amin...

Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

Thursday, February 24, 2011

Selamat Hari Jadi, my heroes...

Februari, bulan istimewa sebab hari lahir 2 lelaki paling saya sayang; KAMARUL dan KASYFEE RAYYAN. 17 Februari 2011, Rayyan berumur 2 tahun dan 23 Februari 2011, ayahnya berumur 34 tahun. Pada kedua-dua hari, kami makan malam yang ringkas seperti biasa, cuma ada tambahan pencuci mulut - kek harijadi! :)

17 Feb 2011 - Harijadi Rayyan

23 Feb 2011 - Harijadi Ayah
Semoga Allah selamatkan Rayyan dan Ayah di dunia dan yang lebih penting, di akhirat sana. Semoga Rayyan jadi anak soleh. Semoga Ayah jadi ayah soleh. :)

Semoga Allah meredhai keluarga kami.

Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

Monday, February 14, 2011

Hadiah di Maulidurrasul

Sumber Foto: www.pts.com.my

Hadiah untuk diri sendiri sempena Maulidurrasul ini. Sebahagian usaha berterusan untuk menyuburkan Cinta Rasul dalam diri sendiri, dan mudah-mudahan dapat dikongsi pengajarannya terutama dengan suami tercinta dan anak-anak tersayang. Semoga dipermudahkan Allah SWT perjalanan pembacaannya, hingga muka surat terakhir. 

Salam Maulidurrasul. Mari meriahkan Maulidurrasul ini dengan selawat sebanyak-banyaknya kepada Junjungan kita, semoga dapat bersama Rasulullah di 'sana' nanti, seperti mana pesan Baginda - "Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku." (Imam Al Nasai dan Ibnu Hibban)


Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.

Friday, February 11, 2011

"Maka Beruntunglah Orang-Orang Yang Asing"

Seperti biasa, memandu ke pejabat setiap pagi, saya akan dengar Warna Pagi di IKIM.FM. Pagi ini topiknya "Cinta Rasulullah". Ada satu hadis yang dibacakan oleh ustaz tetamu jemputan, mengenai 'Islam Kembali Dagang' yang buat saya rasa sebak. Sampai di pejabat, saya terus cari hadis tadi untuk lebih mendalaminya. Ini dia:

Hadis 09
Sumber: rangeboy.wordpress.com

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing”.
H.R. MUSLIM

Kenapa saya sebak? Saya insaf betapa akhir zaman itu kini telah tiba. Saya sebak kerana saya rasa diri ini masih jauh dengan Allah. Saya mengaku menjadi Hamba Allah, tetapi sangat sedikit perhambaan saya kepadaNya. Tujuan hidup yang asal - beribadah kepada Allah, saya rasakan masih belum tercapai. Ya Allah, lemahnya saya...

Saya berdoa agar saya tergolong dalam golongan orang-orang asing yang beruntung itu. Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada hambaMu yang serba lemah ini. Amin.

Ingin terus meraih solehah, demi cinta kepada Allah.